Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 15 Februari 2008

PRU - 12 : PENGENDALI LAMAN WEB, BLOGGERS SEDIA GEMPUR BN

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - Laman web dan bloggers pro pembangkang sudah pasti akan menggunakan internet sebagai medium utama dalam menghadapi propaganda Barisan Nasional sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke 12 ini.

Di sebalik pelbagai usaha BN untuk menyekat kebebasan penyebaran maklumat, ia ternyata gagal menghalang kemaraan rakyat yang semakin sedar dengan pelbagai salahlaku serta penyelewengan pemimpin kerajaan.

Walaupun internet terhad kepada segmen tertentu dari kalangan pengundi, namun perkembangan pesat teknologi maklumat serta peningkatan rakyat celik IT amat membimbangkan BN, terutamanya menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

Pengendali laman web terkenal, Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin berpendapat, internet tetap digunakan secara konsisten dan lebih aktif oleh rakyat Malaysia sejak pilihan raya umum 2004 setelah tercetusnya gelombang reformasi kebangkitan rakyat akibat tangkapan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita telah bersedia dengan strategi di peringkat bloggers untuk berhadapan dengan pihak Umno sejak 10 tahun yang lalu, bukan hanya dalam jangka masa mendekati pilihan raya ini,"

Tegasnya, meskipun ramai yang mempunyai tanggapan mengenai kepentingan web tersebut yang masih dipandang rendah akan keberkesanannya kepada pengundi, Raja Petra memaklumkan bahawa terdapat sebilangan pengundi yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun yang tidak pernah mengundi sebelum ini mendaftar untuk mengundi dalam pilihan raya kali ini selepas terkesan dengan pengaruh maklumat pada laman web.

"Mereka ini adalah pengundi yang tidak pernah mendaftar, tetapi setelah mendapat maklumat daripada laman-laman web mereka mengambil keputusan untuk mengubah kerajaan yang ada kerana telah 'fed-up',"

Selain itu, beliau menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 11 juta bilangan pengguna internet berdaftar di Malaysia yang aktif menggunakan teknologi 'broadband' atau jalur lebar sepanjang tahun.

"Ini bermakna sebahagian besar daripada mereka merupakan pengundi dalam pilihan raya ini, walaupun kita mengetahui bahawa orang bandar kurang berminat untuk mengundi berbanding orang kampung. Sebab itu Umno-BN mensasarkan orang kampung yang pada pandangan mereka lebih mudah untuk digula-gulakan,"

Dalam pada itu, pihaknya juga mendapat maklumat bahawa Umno-BN telah mengadakan banyak perbincangan bagi mengatur strategi khusus memerangi laman web dan blog pembangkang namun kesemuanya menemui kegagalan.

"Mereka telah kaji cara untuk tangani 'cyber war' menjelang pilihan raya dengan menubuhkan kumpulan 'cyber-troopers' di bawah kelolaan Dato' Azalina dan Dato' Norza, tetapi semuanya gagal kerana kita telah tahu taktik mereka yang menghantar komen-komen yang membanjiri blog dan laman web kita sebagai perangkap,"

Jelasnya, usaha yang mereka jalankan sejak 1998 itu gagal menyaingi kumpulan pengendali laman web dan blog alternatif.

Sementara itu, seorang lagi penulis blog yang sensasi, Jeff Ooi pula merasakan sungguhpun kempen menggunakan internet sebagai medium mempengaruhi pengundi tidak relevan dengan kawasan luar bandar, ia tidak bermakna ia harus dikesampingkan.

"Sememangnya kempen siber memang tidak relevan dengan kawasan luar bandar kerana tiada akses internet yang mantap. Tetapi parti-parti politik telah lama menggunakan saluran tersebut untuk menyampaikan agenda kepada pengundi,"

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa rakyat Kelantan adalah antara pengguna internet yang agresif.

"Internet telah biasa digunakan secara agresif di Kelantan. ketika saya singgah di sebuah warung di tepi jalan sebuah pekan kecil, saya sangat terkejut kerana ia mempunyai akses internet tanpa wayar (wireless)," katanya.

Dengan tidak menafikan bahawa terdapat halangan serta kekurangan kempen menggunakan saluran internet ini, beliau masih menyatakan bahawa ia merupakan suatu ruang yang seharusnya dimanafaatkan secara maksimum oleh jentera parti yang bertanding.

Hal ini sekaligus menangkis dakwaan yang dibuat oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy, yang menyatakan bahawa laman web dan blog tidak akan menjadi faktor penentu dalam pilihan raya kali ini

Bagaimanapun, beliau melihat ia akan menjadi ' jentera ' yang lebih penting bagi menghadapi pilihan raya selepas ini.

Selain itu, Khairy turut mengakui pasukan dalam alam siber Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia masih gagal menyaingi jentera siber pro pembangkang namun ia sudah ada permulaan yang agresif.

"Saya nampak pasukan kita masih belum dapat bersaing tetapi sudah ada permulaan dan saya nampak perkara ini penting bukan untuk pilihan raya kali ini tetapi pada pilihan raya selepas ini," kata Khairy pada Agendadaily ketika ditemui selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gopeng, dekat Sungai Rapat Ipoh, Perak petang Sabtu.

Beliau menganggap ketika ini amat penting bagi jentera perang alam siber pemuda digerakkan berlatih menghadapi pilihan raya secara ' realiti ' untuk tujuan membina kekuatan bagi menghadapi 'peperangan' sebenar dalam pilihan raya ke 13.

Katanya, "kalau kita ketinggalan kali ini, kita tidak ada latihan, kita tidak dapat praktis. Saya nampak alternatif media ini tidak akan menjadi satu faktor penentu di pilihan raya kali ini tapi pada pilihan raya akan datang atau seterusnya faktor media alternatif ini akan menjadi lebih penting".

"Kalau kita tidak menggunakan kesempatan ini untuk 'berlatih' dalam alternatif media ini, kita akan kehilangan satu peluang yang baik. Kita sekarang kena dry run disamping kita cuba menangkis segala tohmahan dalam internet tapi kita akui mereka jauh mendahului kita dalam internet tetapi inilah juga masa yang baik untuk kita cuba dry run. "

sumber : harakahdaily

Tiada ulasan: