Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 11 Mei 2008

PENDIDIKAN SEKS: KERAJAAN JANGAN HANYA "TANGKAP MUAT"

Aniz Nazri

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Hrkh) - Cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Dato' Ng Yen Yen untuk memasukkan slot Pendidikan Seks kepada para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilihat dibuat dengan sikap ambil mudah dan seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

Muslimat PAS Pusat menegaskan, kementerian berkenaan (KPWKM) bersama Kementerian Pelajaran sewajarnya meletakkan dan menjelaskan kepada umum akan konsep, objektif dan mekanisma Pendidikan Seks itu sebelum mengambil tindakan bersifat "tangkap muat" kepada para pelatih PLKN dan seterusnya kepada generasi muda seluruhnya.

Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah al-Jundi, berkata konsep, objektif dan mekanisma Pendidikan Seks tersebut mestilah diterima serta mengambilkira pandangan semua kaum dan agama dalam negara ini, memandangkan rakyat Malaysia adalah rakyat yang beragama, beradab dan berbudaya luhur.

"Konsep, objektif dan mekanisma itu nanti seeloknya dimuatkan terus ke dalam Dasar Sosial Negara (DSN) yang telah dilancarkan pada 19 Ogos 2003 kerana yang jelas wujud kelompangan yang sangat ketara dalam DSN meskipun telah lima tahun berlalu selepas ianya dibawa kepada khalayak," kata beliau dalam kenyataan medianya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga berkata sehingga kini, Muslimat PAS telah mengenalpasti bahawa pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak dan lapisan masyarakat belum diambilkira bagi menghasilkan pengisian yang terbaik untuk program tersebut.

Menurutnya, pandangan dan perspektif Islam contohnya merupakan aspek yang sangat penting untuk diberi perhatian agar agenda program tersebut dapat membuahkan hasil yang terbaik.

Muslimat PAS, kata Athirah menyedari bahawa pendidikan seks telah menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat melibatkan masyarakat awam, kerajaan, ahli akademik dan lain-lain.

Oleh sebab itu, tambah beliau topik berkaitan konsep, objektif dan mekanisma pendidikan seks merupakan aspek penting yang terlebih dahulu mesti dilumatkan dalam perbincangan kerana ia perlu difahami secara tuntas, jelas dan mendalam sebelum program tersebut dilaksanakan.

"Semua itu merupakan asas di dalam menentukan kerangka, halatuju dan halacara pelaksanaan program pendidikan tersebut. Dalam pada itu, kriteria guru yang akan dipertanggungjawabkan dalam pengajaran subjek itu perlu diberi penakanan. Tentunya individu tersebut seseorang yang mesti terlatih, berilmu, berakhlaq, bertanggungjawab dan santun dalam penyampaiannya," tegas beliau.

Sehubungan itu, Muslimat PAS ingin mengingatkan kementerian terbabit bahawa Malaysia tidak wajar terbawa-bawa dan dibiarkan mengikut rentak atau acuan negara-negara Barat, yang jelas generasi muda mereka dalam konteks pendidikan seks yang mereka amalkan, 'ibarat semakin dididik, semakin rosak.'

Athirah juga berkata , Muslimat PAS percaya adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab apabila pihak kementerian bertindak mengemukakan cadangan tersebut dalam satu program yang jelas mempunyai visi dan misi yang khusus dalam konteks patriotisme seseorang remaja.

Apatah lagi, tegas beliau umum mengetahui betapa modul-modul yang sedia ada dalam PLKN sepertimana Modul Fizikal, Modul Kenegaraan, Modul Pembinaan Karekter dan Modul Khidmat Komuniti sudah terlalu padat dan berat .

"Bukan setakat itu, kementerian wajar sedar dan mengambil iktibar daripada segala masalah yang telah timbul dalam PLKN sejak ia diperkenalkan pada tahun 2004. Kekerapan pelbagai masalah bersilihganti sepanjang tempoh pelaksanaannya seperti pergaduhan, gangguan seksual, peras ugut, ragut, mencabul, penyalahgunaan dadah, kes kehilangan pelatih dan yang paling malang ialah sehingga kini sejumlah 16 kematian pelatih telah direkodkan.

Lebih merisaukan kita semua, khususnya ibu bapa ialah apabila subjek pendidikan seks tersebut dihidangkan kepada para remaja yang merupakan pelatih PLKN dalam keadaan di mana mereka berjauhan daripada pemerhatian keluarga," tegas beliau lagi.

Justeru, Muslimat PAS menegaskan bahawa PLKN bukanlah satu medium hatta bukan juga satu tempat dan masa yang sesuai untuk kementerian terbabit menyelitkan subjek atau modul pendidikan seks kepada para pelatih.

Cadangan tersebut, katanya mesti ditarikbalik dengan segera dan KPWKM disaran terlebih dahulu menjelaskan kepada rakyat tentang konsep, objektif dan mekanisma Pendidikan Seks yang mahu diterap dan diserap masuk kepada generasi muda negara kita

sumber : Harakahdaily

JASINDAILY : mansuhkan sahaja program ini. banyak musibahnya daripada kebaikan. lebih baik peruntukan PLKN digantikan kepada biasiswa untuk pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS...

Tiada ulasan: