Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 17 Februari 2010

HUKUM TETAP HUKUM : JAIP TUNGGU LAMPU HIJAU

Hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Sukarnor, 33, akan dilaksanakan selepas bekas model sambilan itu diperkenankan menghadap Tengku Mahkota Pahang yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak boleh bertindak sebelum Kartika menghadap Tengku Abdullah.Menurutnya, ia berikutan permohonan Kartika untuk menghadap Tengku Abdullah bagi menyelesaikan masalahnya.“Kartika perlu menghadap Tengku Mahkota sebelum sebarang keputusan dibuat. Selepas menerima lampu hijau, kita akan melaksanakan hukuman tersebut, malah persiapan sudah dilakukan untuk tujuan itu,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian: semalam.

Sementara itu, Kartika, ketika dihubungi Sinar Harian di Ipoh semalam, enggan memberi komen mengenai kenyataan Pengarah Jaip itu.Pada 20 Julai 2009, Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku bersalah minum arak di sebuah hotel jam 11.40 malam, 11 Julai 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Pada 18 Ogos tahun lalu, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika ditahan berkuat kuasa pada tarikh tersebut bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu.

Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan kerana menghormati Ramadan.

Pada 26 Januari lalu, Tengku Abdullah bertitah bahawa baginda bersedia menerima menghadap Kartika berhubung isu penangguhan pelaksanaan hukuman sebat itu.Bagaimanapun, selepas tarikh tersebut, baginda memaklumkan belum menerima permohonan secara rasmi daripada wanita itu.

Terbaru, Kartika memberitahu dia sudah menghantar surat memohon menghadap Tengku Abdullah selepas sambutan Tahun Baru Cina.Bapanya, Sukarnor Abdul Mutalib berkata, dia yakin masalah yang membelenggu Kartika dapat diselesaikan dengan campur tangan Tengku Abdullah, selaku Yang Dipertua :Muip.

Sumber : Sinar Harian Pahang 

Tiada ulasan: