Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 21 November 2006

PENDERITAAN ARIEL SHARON BERTERUSAN

PADA 3 November lalu, bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, 78, kembali dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Sheba, selepas dikesan mengalami jangkitan baru di bahagian jantungnya.

Selepas tiga hari dia dikeluarkan dari unit itu dan ditempatkan semula di unit pemulihan pernafasan di hospital itu. Ia bagaimanapun bukanlah kali pertama bekas pemimpin Israel 'keluar masuk' unit rawatan rapi dan bilik pembedahan untuk menerima rawatan. Ogos lalu, Sharon dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas dikesan mengalami neumonia dan ditempatkan di situ selama dua minggu.

Sejak koma akibat diserang angin ahmar pada 4 Januari lalu, bekas pemimpin Israel yang terkenal dengan kekejaman dan sikap tidak berperikemanusiaan itu sudah menjalani pelbagai pembedahan besar di bahagian otak serta bahagian lain tubuhnya.

Bagaimanapun, tidak banyak perubahan positif berlaku. Kini sepanjang masa, dia hanya terlantar, tidak sedarkan diri, tidak mampu langsung untuk menggerakkan badan malah tidak berupaya walau untuk sekadar menggerakkan mata. Dia juga tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya. Malangnya pada masa sama maut masih belum mahu mengakhiri riwayatnya dan Sharon terpaksa melalui hari dengan penuh kesengsaraan dan kesakitan.

Jun lalu, sebuah majalah di Jeddah melaporkan sekumpulan doktor terpaksa mengusung Sharon ke bilik pembedahan selepas luka dialaminya menjadi busuk dan mengakibatkan jangkitan teruk.


Pembedahan itu adalah untuk memotong dan menyambung semula ususnya yang busuk dan mengelak jangkitan itu merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Demikianlah nasib seorang bekas pemimpin yang ketika sihat begitu angkuh, kejam, tidak berperikemanusiaan dan terkenal dengan pelbagai tindakan kejam di luar jangkauan pemikiran manusia waras. Ketika itu dia seperti terlupa akan putaran hidup insan yang tidak selamanya berada dalam keadaan sihat dan mampu melakukan apa saja.

Umat Islam terutama rakyat Palestin sama sekali tidak melupakan bagaimana pemimpin kejam itu menyebabkan mereka kehilangan tanah kelahiran, tempat tinggal dan anggota keluarga tercinta.

Dia memulakan kerjayanya di bidang ketenteraan dengan menyertai unit komando utama Israel, Haganah yang bertanggungjawab melakukan keganasan dan kekejaman sehingga memaksa penduduk Palestin melarikan diri dari tempat tinggal mereka.

Pada 1953, dia mengasaskan Unit 101 yang melancarkan serangan terhadap kawasan pelarian dan perkampungan Palestin. Pada tahun sama dia menyerang Kampung Qibya di Jordan dan mengarahkan anggotanya meletupkan bangunan, memusnahkan pintu dan tingkap sebelum melontarkan bom tangan, menyebabkan 69 orang awam terbunuh, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.

Pada 1971, dalam usahanya menawan Gaza, Sharon mengambil tindakan meletupkan rumah orang awam, memenjarakan dan menyeksa beratus-ratus penduduk Palestin.

Pada 1977, dia dilantik sebagai menteri pertanian selepas menyertai Parti Likud dipimpin Menahem Begin bertanggungjawab mewujudkan penempatan haram Yahudi di Palestin. Pada masa sama dia juga menjadi penyokong kuat Gush Emunim, pergerakan pelampau Yahudi yang mendesak supaya menyekat penubuhan sebuah negara Palestin dan memperluaskan penempatan haram.

Kekejamannya semakin ketara selepas dilantik menjadi Menteri Pertahanan. Pada awal 1982. Dia merancang melakukan pencerobohan terhadap Lubnan menerusi dasar 'Keamanan untuk Galilee' dengan menempatkan ribuan tentera di sempadan supaya dapat menceroboh Lubnan.


Dalam serangan dari udara dan darat, sebahagian Lubnan musnah manakala 14,000 orang awam terbunuh.

Pada 12 Ogos tahun sama, tentera Zionis sekali lagi melancarkan serangan meriam besar-besaran selama 11 jam ke atas Lubnan menyebabkan 500 penduduk tempatan dan pelarian Palestin terbunuh. Kejadian ini dikenali sebagai 'Black Thursday'. Sebulan kemudian dia mengarahkan tenteranya menyerang Beirut dengan alasan mahu mengusir 2,000 pejuang Palestin dari bandar raya itu.

Sharon juga yang mengarahkan serangan ke atas kem pelarian Palestin di Sabra dan Shatila yang berlaku pada 18 September 1982, menyebabkan kira-kira 1,500 orang terbunuh. Pertubuhan hak asasi manusia menyatakan angka korban lebih daripada 3,000 orang. Ramai wanita diperkosa dan diseksa sebelum dibunuh.

Inilah kekejaman paling dahsyat pernah dilakukan Sharon dan dosa besarnya tidak akan sedikit pun dilupakan umat Islam.

Namun begitulah hakikat putaran hidup manusia yang gemar menumpahkan darah ini. Saluran ke otak yang tersumbat menyebabkan seluruh sistem tubuhnya rosak dan dia lumpuh seluruh badan, tidak lagi dapat berbuat apa-apa.

Tuhan memperlihatkan kekuasaannya untuk menjadi teladan manusia lain apabila jasad Sharon mula membusuk satu demi satu sedangkan dia masih hidup. Kini hanya masa menentukan bila riwayat Sharon berakhir.

Jelas seperti apa dinyatakan dalam al-Quran surah Fusilat ayat 53, Allah berfirman yang maksudnya: "Kami akan memperlihatkan mereka tanda-tanda kekuasaan kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri sehingga jelaslah kepada mereka bahawa al-Quran itu benar."

Tiada ulasan: