Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 17 Mei 2007

PROJEK PERUMAHAN RAKYAT 'HILANG', PENDUDUK TUNTUT JANJI ADUN

OLEH : ZAILI MUHAMMAD

JASIN, 12 Mei (Hrkh) - Pada pilihan raya umum 2004, beliau datang dengan seribu janji manis. Tampil gah merasmikan rumah contoh yang kononnya untuk rakyat. Tapi kini, tapak perumahan tersebut masih kosong, seolah semua projek yang diuar-uarkan semasa pilihan raya lalu hilang ditelan bumi. Apa yang berlaku?

Rumah contoh yang gah semasa dirasmikan pada pilihan raya umum lalu.Itulah yang dipersoalkan oleh para penduduk di sekitar Dun Serkam yang meminta Adun Serkam yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Jasin, Dato' Wira Ahmad Hamzah agar menunaikan janjinya ketika beliau merasmikan rumah contoh perumahan rakyat Taman Serkam Jaya Fasa 1 pada pilihan raya 2004 yang lalu.

Projek perumahan yang terletak bersebelahan Sekolah Rendah Serkam Darat itu masih tiada sebarang kerja dilakukan walaupun setelah hampir tiga tahun berlalu dan kini mula terbiar serta dipenuhi semak -samun selain dijadikan padang ragut oleh perternak lembu.

Seorang penduduk yang ditemui, Mat Nor Modeng, 38, menyatakan bahawa setelah dirasmikan rumah contoh itu ketika kempen pilihan raya lalu, tiada tindakan susulan dari pihak pemaju bahawa projek perumahan akan dibangunkan.

"Kami pun hairan kenapa setelah begitu lama, hanya rumah contoh saja yang dibina dan lagi papan tanda projek itu tidak menyatakan tarikh mula projek serta tarikh siap projek dijalankan," kata Mat Nor.

Harun Abu, 43, pula menyifatkan tindakan itu mungkin hanya sebagai gimik kempen pilihan raya oleh Umno yang ingin menunjukkan kepada pengundi bahawa Umno membawa banyak projek pembangunan kepada rakyat.

Papan tanda projek yang membuktikan segala janji manis BN."Sebenarnya apa yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya itu hanyalah helah bagi memancing undi dan akan diulang lagi pada pilihan raya yang akan tiba tidak lama lagi.
"Kami di Dun Serkam yakin akan menolak Umno pada pilihan raya kali ini kerana banyak janji dan permasalahan penduduk tidak diperdulikan oleh Yang Berhormat Ahmad Hamzah," katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, dalam tinjauan Harakahdaily mendapati, papan tanda projek bersebelahan rumah contoh itu menyebut bahawa,"Cadangan membina dan menyiapkan perumahan kos rendah 99 unit dan rumah kos sederhana 125 unit di atas sebahagian lot 2909 dan 2266 mukim Serkam dan lot 738 mukim Tedong untuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)" dan pemajunya ialah MRCB Utama Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor.

Projek seluas 74 ekar itu adalah bertujuan membina rumah kediaman dan lot kedai adalah usahasama MAIM dengan MRCB Sdn Bhd & Delima Tegoh Sdn Bhd.

Namun, yang musykil setelah tiga tahun berlalu tiada sebarang kerja atau penanaman cerucuk besi pun dilakukan dan ini menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk setempat.

Tiada ulasan: