Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 21 Jun 2007

TRANSFORMASI METODOLOGI PENDIDIKAN NEGARA.

Keadaan sekarang boleh dikatakan semakin kacau bilau dengan keruntuhan nilai-nilai kemanusiaan, bertukar ganti dengan nilai-nilai kehaiwanan. Mungkin inilah yang dijelaskan oleh Allah SWT sebagai: Mereka adalah seumpama binatang ternak, bahkan lebih teruk.

Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM200 juta setahun untuk proses memerangi dadah dan proses pemulihan penagih. Pelbagai front ditubuhkan untuk memerangi dadah seperti Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (2004), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan atau AADK (1996), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) (1976) dan Majlis Anti Dadah Kebangsaan; malah Akta Dadah Merbahaya 1952 telah dipinda beberapa kali untuk memberikan hukuman lebih berat.

Dikatakan terdapat 43 000 sehingga 142 000 atau lebih pelacur di Malaysia terdiri daripada lelaki, perempuan, pondan, malah kanak- kanak lelaki dan perempuan. (International Labor Organization. Dario Agnote, "Sex trade key part of S.E. Asean economies, study says, "Kyodo News, 18 August 1998).

Satu kajian I-Kon yang membabitkan 100 remaja di sekitar KL dan Shah Alam berusia lingkungan 15-30 tahun mendapati: 57% pernah bercium, 69% remaja pernah berpeluk dengan teman istimewa, 55% pernah menonton filem lucah, malah 31% (31 orang) mengaku pernah mengadakan hubungan seks dan 7 daripada mereka melakukan perbuatan ini ketika belum mencecah usia 15 tahun.

Pada 2005, 7000 orang pelajar dibuang sekolah dan 15000 digantung sekolah. Pergaduhan ala samurai yang menggemparkan negara berlaku pada Februari 2007 di Kuala Terengganu melibatkan dua kumpulan pelajar amat menakutkan. Gangsterisme melibatkan Mohammad Razin yang dipukul selama 4 jam oleh 16 orang pelajar, begitu juga Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin yang hampir lumpuh dipukul rakan-rakan sekolah. Malah, Mohd Farid Ibrahim mati dipukul pada Mac 2005 di sebuah sekolah di Seremban.

Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai sistem dan saranan untuk mengatasi masalah-masalah yang kian meruncing, termasuklah cadangan- cadangan daripada perseorangan yang ganjil seperti pemberian kondom percuma dan pemakaian seluar dalam besi. Namun, ia seolah-olah seperti kerajaan Amerika yang mengeluarkan hampir 250 juta poundsterling untuk mengatasi masalah peminuman minuman keras. 300 orang dihukum mati sedangkan 532 335 dipenjarakan. Namun peminuman minuman keras semakin berleluasa dan sukar dibendung sehingga Amerika terpaksa membatalkan undang-undang larangan tersebut.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) melihat perlunya satu transformasi dalam sistem dunia pendidikan masa sekarang. Kita tidak boleh terus-menerus terjerat dalam dunia ciptaan Barat sebagaimana disebut oleh Alan Richardson. Kita perlu keluar daripada kesempitan dunia ini kepada keluasan pemikiran melangkaui horizon dunia menuju akhirat.

Pertama: Penerapan nilai-nilai rohaniah. Sir Iqbal ada mengkritik sistem pendidikan masa sekarang dengan menyifatkan: Sistem pendidikan sekarang tidak mengajar air mata penuntut untuk menangis dan tidak melahirkan hati yang khusyu'. Imam al-Alusi apabila menerangkan ayat ke-9 dalam surah al-Zumar menyatakan kepentingan memiliki ilmu dan beramal dengannya; menghidupkan malam dengan sujud dan ruku' dan bimbang tentang nasib di akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhan-Nya.

Justeru, penerapan nilai-nilai murni yang diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2004) sepatutnya dilaungkan dan diagendakan semula secara sistematik dan terancang: Baik hati, berdikari, hemat tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional, dan semangat bermasyarakat.

Kedua: Kebebasan berfikir. Kita kadang-kadang perlu melihat kemajuan yang telah dicapai oleh dunia Barat dalam bidang keilmuan. Mereka tidak mencampur adukkan nilai keintelektualan dan akademik dengan peribadi mereka. Intelektual mereka boleh menerima apa sahaja pandangan meskipun bertentangan dengan pendapat peribadi mereka, malah mereka sendiri melakukan research dan penulisan tentang ilmu- ilmu Islam.

Lahirlah Qamus al-Munjid dan kitab tentang fahras al-Quran yang dikarang mereka sehingga mendapat pengiktirafan daripada Al-Azhar.


Mereka ternyata mementingkan perkembangan akal pemikiran tanpa ada batas-batas sentimen. Edward De Bono sebagai contoh memperkenalkan pemikiran lateral. Pengajian untuk murid-murid sekolah rendah tidak menjemukan sebaliknya menghiburkan. Inilah yang disebut oleh Albert Einstein: The imagination is more power than knowledge.

Ketiga: Menyahkan pragmatisme dan utilitarianisme. Abdul Rahman Hj Abdullah dalam Wacana Falsafah Ilmu (m/s 103, 2005) menyatakan aliran pragmatisme dan utilitarianisme, iaitu sistem pendidikan dirangka berdasarkan kepentingan semasa atau bersifat trendy kini agak dominan. Penguasaan dalam Information Technology (IT) sangat ditekankan sekarang. Namun perlu diingat Prof Dr Hassan Langgulung menyatakan bahawa IT adalah kemahiran, bukannya ilmu. Begitu juga unsur hedonisme yang kian menguasai dunia pendidikan masa sekarang sehingga menyisihkan unsur-unsur perenialisme dan esensialisme.

Terlalu banyak perkongsian yang mungkin boleh dibuat dalam membentuk sistem pendidikan nasional yang lebih bersifat wisdom dalam membentuk keperibadian yang unggul. Pandangan ini tidak menafikan plan yang telah dirangka kerajaan, malah menyokong kesungguhan Perdana Menteri dalam membuat perubahan (sebagaimana ucapan beliau di Kuwait), namun kemungkinan ia boleh diperhalusi lagi.

Malah, pandangan-pandangan anak muda seperti yang diketengahkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia dalam Student Right's Day pada 8 Jun 2007: Menuntut pendidikan yang berimbang dan adil, memberi perhatian terhadap pembentukan Modal Insan melalui sistem yang holistik dan berdaya tahan, keadilan, kebebasan, keberanian, pelaksanaan pendidikan yang telus dan tidak dipolitikkan, perlu mendapat perhatian kalangan ahli akademik dan kerajaan.

Sistem dan nilai pendidikan tidak harus dipolitikkan namun individu tidak seharusnya dilarang berpolitik.

Simposium dan wacana ilmu yang melibatkan golongan terpelajar mesti diadakan. Himpunkan para profesor, ulama', mahasiswa, dan seumpama dengannya untuk membahaskan sistem pendidikan sepertimana diharapkan oleh Sir Iqbal. Kita meyakini sistem pendidikan yang mengadunkan antara nilai duniawi dan ukhrawi pasti dapat mencapai matlamat Human Capital dan Intellectual Capital sebagaimana dicanangkan.

Karya-karya agung tentang ilmu mesti didiskusikan semula. Karya Franz Rosenthal (Knowledge Triumphant), Al-Syatibi (Pendidikan Menurut al- Syatibi), Al-Nawawi (Riyad al-Solihin), Al-Ghazali (Ihya' 'Ulum al- Din), dan banyak lagi. Begitu juga wacana tentang kehidupan tokoh- tokoh terkemuka seumpama Ibn Sina (perubatan), Al-Biruni (astronomi), Al-Batani (pertanian), Al-Khawarizmi (matematik) dan lain-lain termasuklah failosuf Yunani, Achimedes, Aristotle, Xenophonos, dan lain-lain.

Kita perlu meneruskan kebangkitan nilai dan aktiviti keilmuan kalangan kita dengan melihat kejayaan-kejayaan orang terdahulu. Teknik membuat kertas di Sepanyol (1150 M), John Dalton memasukkan teori atom dalam bidang kimia (1803 M), Fourier mengarang karya bertajuk The Mathematical Theory Of Heat dalam fizik matematik yang akhirnya berjaya memenangi Grand Prize (1812 M), A. Henri Becquerel, Pierre Curie, dan Marie Curie memenangi Nobel Fizik (1903 M) dengan penemuan unsur keradioaktif, Albert Eistein (genius) menerbitkan teori kerelatifan (1905 M), Wilhelm Wien memenangi Nobel Fizik (1911 M) dengan penemuan hukum penyinaran haba, dan banyak lagi. Kejayaan dan kemampuan mereka sepatutnya menjadi contoh kepada generasi sekarang.

Saya akhiri segala pengharapan ini dengan menegaskan pemerhatian hikmah Abul Hassan 'Ali al-Hasany al-Nadwy dalam Maaza Khasir al- 'Alam bi Inhitat al-Muslimin bahawa dunia seluruhnya mengalami kerugian besar apabila mengetepikan agama Islam sebagai sistem terunggul. Moga-moga, tanah Nusantara akan menjadi pusat ilmu setelah kejatuhan Baghdad, Pulau Sicily di Selatan Itali dan Cordova di Sepanyol.

Sekian, PMIUM Untuk Semua.
www.pmium.org

Tiada ulasan: