Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 28 November 2007

ABDULLAH, BERHENTILAH SERTA MERTA

OLEH : kudakepang


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang wajar mengundurkan diri dari persada kuasa Malaysia. Kosongkan jawatan Perdana Menteri dengan segera. Kosongkan lain-lain jawatan dalam kerajaan dengan serta-merta. Lepas itu panggil perhimpunan agung luar biasa UMNO untuk letak jawatan presiden parti.

Lintah darat serupa Khairy Jamaluddin dan Patrick Lim yang selama ini bagaikan sokong membawa rebah, jangan sekali-kali masuk campur. Ini urusan Abdullah dengan rakyat. Ini masalah Abdullah dengan negara.

Rakyat makin derita berketuakan Abdullah. Negara tambah kucar-kacir dipimpin Abdullah. Demi rakyat dan demi negara, Abdullah kenalah korbankan jawatannya yang sedang jadi sumber rezeki seluruh lintah darat di sekelilingnya.

Abdullah tak payah lengah-lengah, tak payah tangguh-tangguh. Balik dari sidang CHOGM kali ini, kemaslah pejabat dan tinggalkanlah Seri Perdana. Lepas itu, ucapkanlah selamat tinggal kepada persada kuasa buat selama-lamanya.

Setelah tak ada apa-apa jawatan, baca semula puisi Ku Cari Damai Abadi. Abdullah kena tanya diri sendiri, benarkah selama jadi Perdana Menteri, yang dicarinya bukan harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya; bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya; dan bukan kawan-kawan untuk hidup berfoya-foya?

Sesudah itu, Abdullah jawablah pertanyaan suara hati sendiri, benarkah yang dicari selama jadi Perdana Menteri, adalah Al-Ghazali dan Al-Shafie? Benarkah yang mahu dibongkar oleh Abdullah selama ini adalah kitab suci untuk cari pedoman dan sunnah nabi untuk jadi panduan semoga dapat menikmati hidup yang damai abadi?

Untuk pengetahuan Abdullah, apa yang saya suarakan di sini hanya tuntutan saya sendiri kepada pemimpin yang sudah tidak lagi saya yakini. Tapi, janganlah Abdullah terkejut kalau tuntutan saya ini sama dengan tuntutan gelombang rakyat di seluruh negara.
......................................................................

Malaysia Today

24/11: Abdullah telah salah gunakan kuasa?
ANTARA KITA


Mohd Sayuti Omar

MUNGKIN nelayan di Kuala Kedah atau pengayuh beca di Kuala Terengganu dan tukang rumah di Kuala Balah, Jeli Kelantan dapat menerima sekiranya mereka diberitahu, polis terpaksa menghalang cadangan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) hendak berhimpun di hadapan kedutaan British pada Ahad ini kerana ianya menganggu ketenteraman awam.

Bagi mereka alasan yang diberikan polis bagi menghalalkan tindakan tidak demokratik dan bertentangan dengan semangat perlembagaaan itu adalah sangat baik.

Begitu juga mereka (ketiga jenis manusia itu) akan menerima kalau apa yang disebut tv dan radio bahawa perhimpunan raksasa 100,000 rakyat 10 November lalu tidak berjaya walaupun ia disertai kira-kira 80,000 orang.

Mereka lebih percaya kepada dakwaan polis mengatakan perhimpunan itu hanya disertai 4,000 orang saja dan ia telah menimbulkan kekecauan di ibu kota Kuala Lumpur.

Mereka juga mungkin percaya kalau diberitahu gara-gara perhimpunan itu menyebabkan beberapa stesen LRT dan sebahagian Dataran Merdeka atau Masjid Negara sendiri pecah dan hancur!

Mereka percaya dan yakin dengan luahan pasukan propangandis itu kerana mereka berada kira-kira 400 hingga 600 kilometer daripada ibu kota tempat berlangsungnya himpunan berkenaan. Mereka juga percaya dan yakin kerana mereka membaca laporan itu dalam akhbar-akhbar penjilat buntut kerajaan.

Kerterbatasan maklumat, suasana kehidupan serta naifnya pengetahuan mereka menyebabkan mereka menelan segala alasan itu secara hidup-hidup. Tetapi bagaimana dengan kita dan masyarakat yang celik maklumat dan tahu mentafsirkan perlembagaan serta memahami falsafah dan prinsip demokrasi sebenarnya?

Bagi mereka yang tidak menjadikan Utusan Melayu, Berita Harian serta RTM1, RMT2 dan TV3 sebagai sumber maklumat dan 'hadith sahih', sukar untuk menerima segala alasan dan hujah yang diberikan itu. Sebab separuh daripada apa yang disiarkan oleh media massa propaganda itu memihak kepada kerajaan dan tidak berdiri di garisan 'khatulistiwa' kebenaran dan keadilan.

Kita akan mudah menolak segala alasan-alasan itu. Bukan kerana kedegilan dan luapan emosi kemarahan tetapi hakikat semua alasan yang diberikan itu tidak masuk akal. Lebih malang lagi tindakan dilakukan oleh pihak berkuasa itu; menghalang dan enggan mengeluarkan permit untuk himpunan itu jelas mencabuli perlembagaan dan hak serta kebebasan sebagai seorang rakyat dalam sebuah negara merdeka untuk berhimpunan yang dijamin oleh perlembagaan.

Kesimpulannya dakwaan dan alasan mengatakan setiap perhimpunan yang akan berlaku di Kuala Lumpur atau di mana-mana telah mendatangkan masalah dan menyebabkan negara kerugian dan pelabur asing enggan masuk adalah tidak benar sama sekali dan suatu alasan dangkal. Gambaran buruk itu sengaja diberikan kerana pihak kerajaan takut kepada bayang-bayang noda dan dosanya sendiri.

Mengenai hasrat Hindraf untuk mempertahankan hak mereka itu, tanpa mengambilkira apakah tindakan mereka itu baik dan relevan pada masa ini sesudah negara merdeka 50 tahun, ia seharusnya diteliti sebaik mungkin. Perlu ada perasaan keadilan dan keterbukaan dalam melayani kehendak golongan itu. Ia tidak boleh dihalang dan dicemuhi dengan alasan-alasan yang realatif sifat politiknya.

Sebenarnya tujuan dan niat Hindraf itu jangan mudah dipersempitkan atau terlalu prejudis sehingga merasakan usaha mereka itu menganggu negara.

Misalnya boleh saja dianggapkan tindakan Hindraf itu setelah mereka menyedari bahawa masyarakat India di negara ini diabaikan. Parti-parti India yang wujud sejak sebelum merdeka dan selepas merdeka mungkin tidak dapat memperjuangkan nasib kaum itu. Pemimpin parti India hanya tahu membuncitkan perut sendiri saja dan membiarkan perut masyarakat India kempis. Maka mereka perlu mencari ruang bagaimana untuk mendapatkan pembelaan dan wang mudah.

Khabarnya Hindraf telah menyaman kerajaan British yang bertanggungjawab membawa kaum itu ke negara ini dan menuntut ganti rugi sebanyak AS$4 trillion atau RM14 juta trillion atau sebanyak AS$2 juta setiap orang India di negara ini.

Bayangkan kalau tuntutan itu berjaya orang India negara ini akan menjadi jutawan segera dan selepas ini tentulah ramai orang India akan melancung ke luar negeri. Wang tersepak (panas) itu juga akan membolehkan mereka menziarahi India melihat tempat kelahiran datuk nenek mereka di sana.

Itu adalah usaha dan ikhtiar masyarakat India dalam membantu kaum berkenaan. Dalam hal ini apa yang menjadi persoalan dan hendak diperkatakan ialah mengenai halangan terhadap himpunan 10,000 yang dicadangkan itu. Mengapa mereka dihalang daripada berhimpun?

Tujuan mereka berhimpun hanya untuk menyerahkan memorandum kepada kedutaan British bagi menyokong tindakan saman ke atas kerajaan bekas kolonial itu. Jika diamati maksud himpunan itu sebagai menyatakan sokongan masyarakat India ke atas tindakan itu dan tidak lebih dari itu. Apakah berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada hak dan kepentingan sendiri tidak boleh?

Setiap apa yang berlaku dalam negara ini memberi implikasi politik kepada kerajaan. Orang yang mendapat kesan langsung ialah Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri.

Dunia akan menuduh Abdullah sebagai tidak terbuka dan takut dengan himpunan-himpunan seperti itu. Kebetulan pula negara baru sahaja mengalami peristiwa perarakan dan himpunan rakyat 100,000 yang juga dihalang dan menjadi kontroversi.

Tanggapan halangan ke atas tujuan Hindraf itu pasti menjadi lebih buruk lagi apabila sehingga kini sudah tiga orang pemimpin dan penasihat Hindraf ditangkap. Tindakan polis mendapat waran tangkap secara tergesa-gesa untuk menangkap Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy, penasihat undang-undang Hidraf P. Uthayakumar dan V. S. Ganapathy Reo benar-benar mencalarkan maruah kebebasan dan demokrasi negara. Media asing sudah pasti akan mengulas kejadian itu dan menyimpulkan bahawa di Malaysia sudah tidak ada demokrasi.

Sesungguhnya tindakan polis atau kerajaan yang menafikan hak rakyat seperti kumpulan Hindraf itu sesuatu yang amat dikesali. Kita bersetuju dengan niat tindakan itu demi keselamatan negara. Tetapi soalnya apakah alasan itu tepat dan jujur?

Sukar untuk dipastikan apakah Abdullah yang juga Menteri Keselmatan Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas polis senang dengan cara yang dilakukan sekarang ini; membentangi dirinya dan memperkukuhkan kedudukan politiknya dengan menggunakan kuasa polis yang bersenjata? Kalaulah hakikatnya memang begini ini menunjukkan bahawa Abdullah tidak yakin kepada gaya dan pendekatan pemerintahan yang digunapakainya kini.

Cara beliau itu bukan saja ia menodai asas-asas atau prinsip yang dislongankan dalam konsep Islama Hadhari, tetapi cara itu juga jelas membuktikan beliau telah menyalah gunakan kuasa (polis) untuk kepentinagn politiknya. Seandaianya beliau tidak cepat menyedari perkara ini dan 'asyik' melaksanakannya, tidak mustahil suatu hari nanti tuduhan yang pernah dicampakkan ke atas pundak bekas PM Dr Mahathir Mohamad sebelum ini akan turut sama dilemparkan ke atas batang tubuhnya.

Dan seruan yang amat kita tidak suka mendengarnya ialah 'Undur Abdullah Undur...' Namun, seruan itu tidak dijamin akan hanya tetap tersekang di halkum rakyat saja, mereka akan melaungkan juga apabila kesabaran sudah hilang dan keadaan menjadi semakin melampau kelak!

Tiada ulasan: