Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 16 November 2007

MANA LEBIH PENTING, ANGKASAWAN ATAU GRADUAN ??

Saya sedang meneliti satu kekeliruan.

Pertamanya, baca petikan Berita Harian di bawah terlebih dahulu:

Program angkasa lepas bukan pembaziran: PM

IPOH: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, peruntukan besar yang disediakan kerajaan untuk program angkasawan bukan satu pembaziran kerana banyak faedah diperoleh rakyat dan negara.


Perdana Menteri berkata, pembabitan dalam industri angkasa lepas juga antara pendekatan yang dilaksanakan kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Belanja besar (untuk program itu) bukan bermakna ia satu pembaziran. Kita ada wang dan kemampuan. Wang masih ada untuk menjalankan projek serta program yang akan membawa kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kompleks Pentadbiran dan Komersial Gugusan Manjoi di sini, semalam. Kompleks bernilai lebih RM5 juta itu yang mula dibina pada 2005, merangkumi Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Ipoh, stadium mini dan gerai berhawa dingin.

Oh..kerajaan ada wang. Baik, kita terima.


Perbelanjaan hampir RM100 juta untuk menghantar angkasawan ( kalau boleh dipanggil angkasawan ) akan difikirkan untuk dilanjut ke penghantaran kedua yang bakal melibatkan Mejar ( kejap saja dah naik pangkat ) Faiz Khalid, dijangka tahun 2010.

Baik, kita setuju kerajaan ada wang. Tetapi, bila membaca berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia ini beberapa hari lepas, kelihatan seolah-olah kerajaan tak ada wang. Benarkah? Baca petikan di bawah:

Mustahil untuk mansuhkan caj pentadbiran PTPTN

PUTRAJAYA 22 Okt. - Adalah mustahil untuk memansuhkan caj pentadbiran skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada masa kini kerana ia akan menambah perbelanjaan mengurus kerajaan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, ini kerana sumber PTPN itu sebahagian besarnya datang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


"KWSP telah mengenakan caj lima peratus kepada PTPN, jadi PTPN kenakan caj pentadbiran kepada pelajar sebanyak tiga peratus.

"Pada masa ini, subsidi kerajaan kepada pelajar ialah dua peratus, beza faedah itu, (dan) pada masa ini ia berjumlah RM300 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Hari Raya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia, Datuk M. Kayveas, pada perhimpunan agung parti itu semalam, supaya kerajaan menghapuskan kadar faedah (caj pentadbiran) skim PTPTN.

Mustapa berkata, isu itu merupakan isu besar dan "kita boleh kaji perkara ini, tetapi itulah kekangan atau halangan yang dihadapi kerajaan oleh kerana pengajian tinggi ini amat mahal dan semakin tinggi kosnya dan mustahil bagi kerajaan untuk membiayainya 100 peratus."

Tadi kata kerajaan ada wang, sekarang kerajaan mustahil pula untuk membiayai kadar faedah demi masa depan anak-anak Malaysia untuk berjaya di menara gading.


Mana lebih penting, masa depan seorang rakyat Malaysia yang bakal menikmati 'syahwat' bermain gasing dan yoyo sambil menjamah rendang terbang di angkasa raya ataupun melepaskan bebanan ratusan ribu mahasiswa yang kian terbeban dek kerana dihambat oleh tekanan pembayaran faedah yang tinggi dikenakan oleh PTPTN?

Mana lebih afdhal, melihat seorang rakyat Malaysia terapung di angkasa memakai baju batik sambil melambai-lambai ke arah kamera ataupun melihat anak bangsa berjubah lengkap megah menerima skrol ijazah dalam keadaan diri tidak menanggung beban hutang 'along berdaftar' yang bakal mengganggu nyenyak tidurnya?

Jawapannya?
Bukan pada kerajaan, tapi pada rakyat!

Tiada ulasan: