Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 15 November 2007

SEDIH KITA TIDAK DAPAT KUASAI BAHASA MALAYSIA

SAYA rasa terkesima membaca komen Budi Hartono (Lim Sia Kim), pelajar Indonesia di universiti swasta negara ini dalam ruangan ini kelmarin.

Komen jujurnya berhubung penggunaan bahasa Malaysia di kalangan rakyat negara ini menyentak dan menghiris hati saya.

Mengapa, kerana itulah realitinya dan kerana kita terpaksa ditegur oleh orang asing yang berasakan rakyat Malaysia semakin hilang jati dirinya. Tidak mampu bertutur bahasa Malaysia dengan baik.

Malah ada yang berasa malu menggunakan bahasa yang sudah diwartakan sebagai bahasa kebangsaan ini.

Sebagai orang yang kini bekerja di Indonesia, saya cukup teruja dengan kemampuan rakyat negara itu memartabatkan bahasa Indonesia.

Perbezaan etnik dan keturunan tidak pernah menghalang masyarakat Indonesia untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan mereka. Bahasa Indonesia merupakan kebanggaan mereka.

Di Jawa Timur, etnik Cina turut fasih berbahasa Jawa. Di Irian Jaya, masyarakat pribuminya daripada rumpun Polinesia bertutur dalam bahasa Indonesia tanpa meminggirkan bahasa suku mereka.

Malah di Timor Leste (bekas wilayah Indonesia) yang sudah merdeka, bahasa Indonesia masih menjadi bahasa perhubungan.

Lebih menakjubkan, orang asing yang bekerja di negara itu begitu fasih berbahasa Indonesia. Mereka sanggup meluangkan waktu untuk mempelajari bahasa Indonesia.

Dalam kebanyakan waktu pula, sesama orang asing lebih gemar berbahasa Indonesia.

Mengapa di Malaysia, semangat ini nampak seperti tenggelam? Orang asing sendiri pun hairan dengan sikap kita ini.

Tidak keterlaluan disimpulkan, bahasa Indonesia dari rumpun Melayu ini kini jauh lebih popular daripada bahasa Malaysia.

Mungkin kita sudah lupa bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang mendaulatkan bahasanya kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Tetapi mendaulatkan bukan sekadar dalam bentuk simbol-simbol seperti pada papan tanda dan surat rasmi. Ia haruslah wujud nyata dalam kehidupan rakyat.

NAIMI JAMIL,
Kemang, Jakarta Selatan.

sumber dari yahoogroups

Tiada ulasan: