Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 14 Disember 2007

BAJU KUNING! BIARKAN MEREKA NAIK ANGIN, KITA MAKAN ANGIN...

oleh : Penarik Beca

Banyak SMS yang diterima mengenai perhimpunan orang-orang Melayu yang naik angin dengan Hindraf. Perhimpunan itu dikatakan akan diadakan di Kampung Baru. Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan bahawa Umno dan Pekida tidak terlibat dengan penyebaran SMS itu.

Menteri Pelajaran yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga menafikan pembabitan dirinya dan menantu Perdana Menteri yang Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam perhimpunan itu.

Persoalannya, adakah menjerit dalam media sahaja? Gelagat tak ketahwan darat dengan laut Ketua Pemuda Umno itu mengingatkan kepada peristiwa 13 Mei 1969. Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Harun, ketika negara kacau-bilau dengan kegilaan orang-orang yang dihasut dan dirasuk ahli-ahli politik celaka dan jahat dalam rusuhan berdarah itu, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Asri Muda memanggil ketua-ketua masyarakat Melayu dan Cina ke rumah beliau untuk satu jamuan makan.

Kehadiran mereka ke jamuan makan di rumahnya itu diambil kesempatan oleh bekas Yang diPertua Agong PAS itu untuk berbincang serta menasihatkan mereka supaya mengelakkan diri dan pengikut-pengikut mereka dari sebarang perbuatan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Hasil daripada tindakan itu serta beberapa tindakan lain, Kelantan bebas dari sebarang rusuhan kaum ketika itu.

Ketika ketua-ketua Hindraf mahu bertemu beliau, tidak diketahui apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi serta para pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang lain bagi menghadapi keadaan yang agak meruncing kini. Yang diketahui ialah laporan polis ke atas ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik kerana berkata, orang Melayu tidak pernah mengadakan protes dan oleh itu jangan memaksa mereka berbuat demikian kerana mereka akan mengeluarkan parang untuk mempertahan ketuanan Melayu di negara ini.

Sebelum itu, Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencadangkan supaya dilucutkan kewarganegaraan ketua-ketua Hindraf. Kenyataan-kenyataan seperti itu menyebabkan amat sukar untuk menafikan bahawa hampir kesemua kenyataan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional bagaikan mengapi-apikan kemarahan orang-orang Melayu.

Memang benar, Hindraf menyakitkan hati orang-orang Melayu dengan tuntutan supaya dihapuskan hak-hak istimewa orang-orang Melayu. Sedangkan, penghapusan hak-hak istimewa Melayu itu, menurut Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar, telahpun dilakukan oleh Umno.

Memang benar orang-orang Melayu sakit hati kerana disebutkan sebagai bodoh (they lacked intelligence) oleh Hindraf seperti yang terkandung dalam perkara 11 tuntutan mereka kepada kerajaan British yang menyatakan:

The Claimant avers that the Defendant’s Colonial Government in Malaya could not employ the local Malays for they lacked cooperation, tolerance, understanding, initiative, intelligence and loyalty. Hence the forced migration hereinabove referred to in Paragraph 5 became ever more necessary.

Namun demikian, itu tidak bermakna para pemimpin Umno boleh dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengheret kepada pergaduhan kaum seperti yang diucapkan oleh Abdul Rahim. Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya diucapkan oleh pemimpin parti pemerintah.

Sebab itulah, kalau benar terjadi perhimpunan di Kampung Baru bagi membalas perhimpunan Hindraf, para pemimpin Umnolah yang bertanggungjawab walaupun mereka mendakwa tidak terlibat. Mungkin benar mereka tidak terlibat menganjur dan menyertai perhimpunan itu. Tetapi, bolehkah sejarah dilarang dari mencatitkan bahawa pemimpin-pemimpin Umno bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam?

Ketika pemimpin-pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, rakyat mesti kembali kepada perjuangan asal mereka menuntut keadilan. Perdana Menteri telah menyatakan bahawa beliau mesti berlaku adil kepada semua pihak dan ia diwajibkan oleh Islam. Kita juga, sebagai rakyat, mesti berlaku adil kepada Perdana Menteri dengan menuntut beliau benar-benar berlaku adil dan bukan hanya cakap sahaja.

10 November lalu, lautan manusia telah membanjiri jantung ibu kota menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Mereka hanya menuntut sesuatu yang memang ingin dilakukan oleh Perdana Menteri, berlaku adil kepada semua pihak. Itu sahaja tuntutan mereka. Mereka tidak menuntut Perdana Menteri berundur - "Sudah Lah, tak nak Lah, undur Lah!"

Sayangnya, Perdana Menteri bukan sahaja enggan memberikan keadilan yang diharapkan itu malah menggertak dengan kata-kata "saya pantang dicabar". Rakyat tidak mencabar. Rakyat hanya menuntut hak mereka.

Oleh kerana pilihan raya yang adil dan bersih itu sememangnya hak mereka, rakyat akan terus menuntut dan menuntut. Petang Sabtu akan datang pun, 8 Disember, rakyat akan terus menuntut hak mereka. Tetapi jangan bimbang, Perdana Menteri. Mereka adalah rakyat yang berhimpun secara aman dengan penuh disiplin 10 November lalu. Mereka bukan perusuh.

Kal ini mereka tidak akan berhimpun, walaupun secara aman dan berdisiplin. Mereka hanya mahu jalan-jalan, makan-makan, minum-minum dan membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

1 Disember lalu, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Jalan Kebun, Kelang dan Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar dalam ceramahnya di Markaz Tarbiyyah, Taman Melewar, menyeru semua pihak "jalan-jalan, minum-minum, makan-makan dan shopping dengan memakai t-shirt Bersih atau pakaian kuning di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 8 Disember ini".

"Para penyokong di Kuala Lumpur dan Selangor jangan tunggu ada ketua untuk jalan-jalan cari makan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tanpa risalah, tanpa ceramah," kata Mahfuz.

Beliau mencadangkan "jalan kekuningan dari Sogo sampai bazar yang boleh tembus ke Masjid India".

Memang, tidak ada perhimpunan, tidak ada slogan dan tidak ada sepanduk. Hanya makan angin sahaja di Jalan Tuanku Abdul Rahman, mungkin boleh dimulakan seawal pukul 1.00 tengah hari. Makan angin dengan memakai t-shirt Bersih atau baju kuning.

Tiada ulasan: