Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 14 Disember 2007

PINDAH TOL JELAPANG, JANGAN TUNGGU HINGGA MAUT SEKALI LAGI!

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Hrkh) - Persatuan Penasihat Pengguna-pengguna Malaysia menyarankan agar kerajaan mempercepatkan pemindahan Plaza Tol Jelapang setelah kes kemalangan ngeri di tol itu mengorbankan lapan orang mangsa manakala 28 lagi cedera parah.

Presiden Persatuan Penasihat Pengguna- Pengguna Malaysia, Varatharajoo Murugan berkata, proses pemindahan Plaza Tol Jelapang perlu disegerakan kerana sekiranya pihak kerajaan masih lagi memandang ringan terhadap isu ini, berkemungkinan banyak lagi mangsa yang akan terkorban.

Hal ini secara tidak langsung akan memberi gambaran buruk masyarakat terhadap kerajaan kerana tidak memandang serius perkara ini, katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Secara umumnya kemalangan yang berlaku di plaza tol tersebut dilaporkan hampir kerap berlaku setiap tahun.

Lebih kurang enam jenis kemalangan yang dilaporkan berlaku sejak dari tahun 2002 lagi dengan lebih 11 kematian yang dicatatkan berlaku bermula dari tahun 2003, ujarnya.

Kerajaan telah sedia maklum bahawa kawasan tersebut adalah sebuah kawasan yang berbukit sebelum sampai ke plaza tol Jelapang, katanya.

"Namun pihak kerajaan masih memandang ringan terhadap perkara ini. Dimanakah inisiatif kerajaan untuk mengatasi masalah kemalangan yang semakin kerap berlaku ini?," katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu bahawa semua kerja- kerja pembinaan laluan alternatif sedang giat dijalankan dan dijangka siap pertengahan tahun 2008, kata Varatharajoo.

Kata Varatharajoo lagi, Samy juga berkata pengguna lebuh raya tidak perlu lagi untuk berhenti membayar tol atau mengambil tiket di Plaza Tol Jelapang sebaliknya menggunakan lebuhraya alternatif yang baru itu.

"Perkara yang menjadi kemuskilan pihak kami adalah, laporan kemalangan telah banyak dilaporkan sejak dahulu lagi dan Menteri Kerja Raya bersama Menteri Besar Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali hanya turun padang apabila berlakunya sesuatu kemalangan itu," katanya.

Namun sehingga ke hari ini tiada tanda- tanda pemindahan segera plaza tol Jelapang itu dilakukan, ujarnya.

"Perlukah lebih banyak lagi kemalangan yang berlaku barulah tindakan diambil?. Dimanakah keprihatinan pihak kerajaan terhadap pengguna jalan raya dan lebuh raya ini?," soalnya.

Sekiranya tiada tindakan yang segera dilakukan dikhuatiri lebuh raya tersebut akan mengorbankan lebih banyak lagi mangsa selepas ini, ujarnya

Tiada ulasan: