Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 22 Januari 2008

VIDEO PANAS DI KEPALA BATAS

Oleh Kamal Amir

SEMBANG kedai kopi dan warung kaki lima semakin panas sejak petang kelmarin membawa ke hari ini. Ada kisah terbaru didesas-desuskan bakal meledak di Kepala Batas kawasan Perdana Menteri bersebelahan pula kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Ada perkhabaran Nurul Izzah anak mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bakal diletakkan sebagai calon menggantikan ibunya Datin Seri Wan Azizah yang merupakan proksi Anwar seandainya pilihan raya umum berlangsung pertengahan Mac 2008 kesan terhalangnya pimpinan Keadilan itu yang masih dalam “musim pantang” selepas terpasung selama enam tahun di Sungai Buloh.

Pemilihan Nurul Izzah menggantikan ibunya Presiden Keadilan kerana desakan penyokong mahukan Datin Seri Dr. Wan Azizah diletakkan bertanding menentang Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas. Sejauh mana kebenaran desas-desus tersebut hanya waktu penentu segala.

Namun begitu, apa yang lebih menarik adalah cerita bakal meledak di Kepala Batas berhubung pengedaran pita video seperti lakonan ranjang Chua Soi Lek melibatkan pemimpin tertinggi negara dalam percaturan moral sewaktu kunjungannya ke Singapura.

Kiriman sms sewaktu sessi pembacaan puisi anjuran Prima di Telapak Budaya, Tepian Tasek Taman Seri Gombak, Selangor petang tadi berbunyi, "bersedia mulai sekarang ada cerita lebih menggemparkan di Kepala Batas, pengedaran pita video melibatkan pemimpin bakal tercetus".

Sejauh mana benarnya sosek-sosek tersebut sukar untuk dibuktikan. Namun, kalangan kaki "gebang" kedai kopi dan warung kaki lima semakin bersemangat menyatakan semacam adanya gerakan terancang menjelang pengumuman pilihan raya umum bakal beredarnya pita video tersebut bermula dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kenapa Kepala Batas dipilih sebagai pelancaran pengedaran pita video sedemikian? Ada kalangan menyatakan bahawa ia merupakan sebahagian daripada agenda tingkat empat melaksanakan perang saraf politik untuk segera menyingkirkan beberapa orang pemimpin tertentu. Katanya ada “grand design” sedang dicetuskan bagi merobah landskap politik tanah air.


Untuk waktu terdekat, andainya pilihan raya umum dilangsungkan, Pulau Pinang bakal menjadi "padang maut" dominasi Barisan Nasional disebabkan rakyat negeri tersebut merasa cukup marah serta tidak dapat menerima tindakan pengkayaan kroni dan orang keliling Abdullah Ahmad Badawi.

Kontrak pembinaan Jambatan Pulau Pinang ke-2 tidak sedikitpun mampu dicecah oleh rakyat tempatan, malahan parti Gerakan juga dikatakan turut kempunan memperolehi sebarang peluang menjana penghasilan biarpun untuk tujuan tabung politik parti Gerakan. Kerana itulah Ketua Menteri Koh Tsu Khoon sudahpun memberi isyarat awal bakal mencetuskan situasi sukar ke arah perlaksanaan kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut.

Lebih mengelegak lagi kemarahan rakyat Pulau Pinang, setelah mendapat perkhabaran pembangunan Bandar Pintar (Penang Global City Centere) menelan belanja sejumlah 20 bilion dijadikan lubuk pengumpulan harta untuk Patrick Lim dan kroni Abdullah termasuk anak menantunya di mana pembiayaan kos pembangunannya diambil dari kantung negara.

Labun Patrick Lim selama ini kononnya dana pembangunan Bandar pintar itu terhasil dari biaya para pelabur luar negeri adalah "mimpi kosong" di tengah rembang matahari. Tiada sebarang petunjuk memperlihatkan adanya aliran kemasukan pelaburan dari luar sebaliknya peruntukan awal telahpun dikeluarkan dari kantung wang rakyat.

Akhbar The Edge edisi 31 Disember 2007 menyiarkan komentar panjangnya berhubung persepsi warga Pulau Pinang begitu membara amarah mereka atas tindakan Abdullah Ahmad Badawi mengagihkan projek pembangunan jambatan kedua serta Bandar Pintar PGCC di kalangan orang keliling terutama Patrick Lim.

Bantahan warga Pulau Pinang samada secara terang atau sembunyi-sembunyi bakal diterjemahkan dengan "pukulan maut" apabila mereka tidak lagi meletakkan pengharapan ke atas gabungan kerajaan Barisan Nasional serta bakal memberikan kesempatan kepada parti pembangkang menerajui negeri tersebut.

Mantan Menteri Kewangan Melayu Pertama Tengku Razaleigh Hamzah turut meramalkan sukarnya di musim pilihan raya kali ini menggamit keyakinan rakyat Pulau Pinang untuk memberi laluan mudah kepada calon-calon Barisan Nasional sama ada dari Gerakan, MCA mahupun Umno sebagai menzahirkan rasa kecewa mereka oleh perlakuan korupsi dan pengkayaan kroni begitu berleluasa era Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam kesempatan makan tengahari bersamanya selesai sembahyang Jumaat kelmarin, bekas Menteri kewangan tersebut sekali lagi menegaskan persoalan moral pemimpin serta kehidupan sukar rakyat menghadapi badai inflasi kesan korupsi yang seolah-olah tidak termampu dibendung lagi merupakan getir paling pahit untuk dialami oleh Barisan Nasional musim pilihanraya kali ini.

Harga barang terus mencanak, pendapatan rakyat tidak mampu mengimbangi kenaikan tersebut untuk bergelut dalam badai inflasi merupakan gerhana suram tanpa sinar keceriaan hidup di bumi merdeka pastinya meletakkan Barisan Nasional berada di situasi payah mengulangi kecemerlangan menang besar seperti musim pilihan raya ke-11 pasca musim awal pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi.

"Rakyat dapat melihat budaya korupsi yang semakin berleluasa dan gagal dibendung oleh Perdana Menteri. Indeks jenayah kian meningkat, kos harga barang keperluan juga tidak seimbang dengan kadar kenaikan gaji kakitangan kerajaan, malahan para pekerja di sektor swasta kian terhimpit. Masalah pengangguran siswazah semakin tepu menjadikan bilangannya bukan lagi puluhan ribu tetapi mencecah ratusan ribu.

"Moral pemimpin juga semakin terserlah dilihat begitu sumbang di mata rakyat. Budaya Timur yang meletakkan sopan di khalayak tidak terjelma apabila bagaikan adanya kebebasan terlampau tanpa santundijelmakan mutakhir ini.

"Pengkayaan kroni dan orang keliling menjadikan kemewahan hasil negara hanya dinikmati oleh golongan tertentu sedangkan masyarakat bawahan serta pertengahan tiada kesempatan menerima faedah dari hasil pembangunan. Situasi seperti ini tentulah dilihat tidak adil oleh rakyat.

"Seharusnya rakyat bawahan diberikan peluang untuk mengubah taraf kehidupan melalui kepelbagaian peluang sama ada di sektor dagang mahupun industri. Namun begitu dengan hanya kelompok kecil di kalangan kroni dan orang keliling sahaja berkesempatan membina kekayaan sementara yang lain sekadar menjadi penonton tentulah situasi sebegini menghampakan rakyat," jelas Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam perbualan tersebut berkali-kali Tengku Razaleigh mengingatkan ancaman terbesar yang boleh membawa kehancuran sesebuah negara adalah budaya korupsi. Menurutnya jika perlakuan membina kekayaan berlandaskan korupsi gagal dibendung, pastinya kehancuran bagaikan berada di ambang pintu .

Menjawab persoalan semakin rancaknya rakyat memperkatakan persoalan moral pemimpin, beliau turut menekankan pentingnya seorang pemimpin itu menghindarkan diri dari terjebak ke kancah nafsu-nafsi. "Perdana Menteri di sebuah negara Eropah akhirnya disingkirkan oleh rakyatnya kerana menjalin hubungan terlarang dengan kekasihnya.

"Sedangkan negara yang bukan menjadikan Islam sebagai agama rasminya serta majoriti rakyatnya tidak menganuti agama Islam boleh bertindak sebegitu, menyingkirkan pemimpinnya yang sumbang maharam, bagaimana pula dengan negara kita yang berpaksi kepada Islam sebagai addin serta berbudaya timur.

"Tentulah persoalan moral menjadi kriteria terpenting di mana seorang pemimpin perlu menjaga tingkahlakunya dengan tidak mengamalkan budaya yang kurang sopan agar dirinya memperolehi penghormatan rakyat," tambahnya lagi.

Kembali menyorot persoalan bakal meledaknya cerita panas di Kepala Batas, kalangan penganalisa politik merasa yakin kemungkinan besar pilihan raya umum bakal ditangguhkan ke satu masa yang lebih sesuai bagi membolehkan Abdullah Ahmad Badawi mencari upaya membersihkan beberapa isu besar yang bakal meledak di masa terdekat.

Siapakah pemimpin selepas Chua Soi Lek bakal didedahkan cerita panasnya? Siapakah yang didakwa pernah menjalin hubungan terlarang sesama jenis? Siapa pula yang dikatakan terakam dalam lakonan berahi sewaktu bertandang ke Singapura dan luar negeri? Siapa pula akan terseret ke mahkamah kerana didakwa terlibat dengan jenayah perdagangan? Semua ini tentunya akan terjawab seandainya benar seperti yang dikatakan bakal beredarnya pita video rakaman perilaku pemimpin bermula di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Paling sensasi dengar khabarnya ada pula seorang bekas isteri pemimpin sedang menyiapkan buku memoir kehidupannya sepanjang kehidupan berumahtangga dengan pemimpin tersebut sebelum diceraikan. Aduhai teramat sempang-peranang jadinya aroma politik menjelang saat pengumuman Abdullah Ahmad Badawi bakal membubarkan dewan rakyat untuk memanggil pilihan raya ke-12.

http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/1439/35/

Tiada ulasan: