Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 7 Februari 2008

ALI RUSTAM PERLU CERMIN DIRI SEBELUM BERKATA MENGENAI KELANTAN

Zaili Muhammad

MELAKA, 7 Feb (Hrkh) - Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam cuba menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinannya yang dilihat telah gagal memajukan Negeri Melaka serta dibayangi dengan pelbagai pembaziran dan penyelewengan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, bahawa Ali Rustam sepatutnya tidak layak mempertikaikan bantuan dari Kerajaan Pusat ke Kelantan kerana itu adalah wang rakyat yang wajib digunakan bagi membangunkan negeri.

"Ali Rustam tidak layak bercakap macam itu kerana pembangunan yang ada pada hari ini semuanya dari wang rakyat sehinggakan gajinya juga dibayar oleh rakyat.

"Beliau kena selesaikan dulu masalah negeri Melaka yang kini menanggung hutang sehingga RM 1.05 bilion dan sebab itulah cukai naik, semuanya naik," kata Ustaz Ghani.

Mengulas lanjut Ustaz Ghani berkata, sekiranya PAS memerintah negara kelak, peruntukkan untuk negeri tetap akan diberikan juga walaupun diperintah oleh parti yang berbeza kerana itu sudah termaktub di dalam perlembagaan.

Difahamkan, pelbagai kelemahan, pembaziran dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran beliau sejak mengambil-alih pimpinan kerajaan negeri pada tahun 1999 menyebabkan hutang kian bertambah dari RM 482 juta kepada RM 1.05 Bilion pada tahun 2006.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab berkata, bahawa kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Ali Rustam sendiri telah membazirkan berbilion wang yang diperolehi dari pusat dalam melakukan pelbagai projek yang tidak menguntungkan negeri.

"Lihatlah projek pengindahan Sungai Melaka yang telah menelan belanja RM 335 juta tetapi hasilnya begitu mendukacitakan, sungai masih berbau busuk, airnya kotor dan juga berkelodak dengan lumpur seperti air longkang di muaranya.

"Begitu juga Projek Air Terjun Buatan di Bukit Sebukor berharga RM 1.7 juta yang tidak mendatangkan faedah untuk rakyat dan Jeti Parameswara sebanyak RM 13 juta yang tidak boleh digunakan sebaik sahaja siap kerana akibat mendapan lumpur berpunca dari projek Pulau Melaka yang juga terbengkalai," jelasnya.

Perbadanan Tanah Adat Melaka (PERTAM) yang dipengerusikan beliau juga terus mencatat kerugian terkumpul sehingga 31.12.2006 sebanyak RM 40.96 juta daripada pinjaman pokok sebanyak RM 35.91 juta yang diperolehi kerana tidak mampu membayar balik pinjaman.

Ketiga-tiga buah anak syarikat PERTAM pula telah mengalami kerugian dengan prestasi kewangan pada 31.12.2005 iaitu PERTAM Construction Sdn Bhd dengan kerugian terkumpul RM 5.03 juta, PERTAM Properties Sdn Bhd dengan kerugian terkumpul RM 0.32 juta dan PERTAM Trading Sdn Bhd dengan kerugian terkumpul RM 0.65 juta.

Terbaru, Bank Rakyat sedang menjalankan proses untuk melelong Menara PERTAM kerana gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM 28.57 juta bagi membina menara itu.

Sebelum ini, pejabat Ali Rustam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di mana beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) telah disita berikutan kegagalan agensi itu membayar tunggakan hutang lebih RM2 juta.

Selain pejabat beliau tujuh tingkat lain milik PKNM termasuk yang menempatkan pejabat pengurus besar di bangunan MITC itu turut disita. -

Tiada ulasan: