MUNGKIN sasaran pembangkang untuk menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen pada pilihan raya akan datng tidak mudah tercapai namun hati rakyat akan terubat sekiranya beberapa tokoh yang dicalonkan atau bertanding dalam pilihan raya ke-12 kelak mendapat peluang untuk masuk ke parlimen.
Ketokohan, kepakaran dan track rekod yang dimilik tokoh-tokoh ini cukup untuk menggegarkan parlimen dan mematahkan hujah pihak Kerajaan. Apa yang berlaku pada tahun 1999 akan berulang. Kehadiran tokoh-tokoh ini juga boleh mebuatkan Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri, serta Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri panas punggung dan tidak senang duduk kerana terpaksa menjawab segala persoalan rakyat yang pasti dibangkitkan oleh mereka.
Sekurang-kurang terdapat 10 tokoh yang mampu berbuat demikian. Kalau kesemua mereka ini dipilih dan diangkat rakyat, kumpulan ini cukup menjadikan Kerajaan BN untuk periode akan datang cemas dan berhati-hati untuk bercakap dan menjaga tindakan tanduk mereka. Tentu pihak Kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hati mereka, menjadi parlimen sebagai serkas tempat berhibur sambil meluluskan sesutau mengikut sesuka hati seperti mana sebelum ini.
Paling perit ialah Kerajaan kena menjawab segala penyelewengan, salah lakukan pengurusan dan sebagainya bakal ditimbul dan dihujahkan mereka pada setiap kali sessi parlimen berlangsung.
Kelompok
Mereka ini juga bolehlah dikira benar-benar 'wakil rakyat' kerana mereka juga kebetulan mempunyai kepakaran masing-masing dan bercakap mewakili semua kelompok dan golongan masyarakat tanpa mengira sempadan politik dan kepentingan budaya dan ethnik.
Tokoh-tokoh itu ialah Abdul Hadi Awang, Nasaruddin Mat Isa, Kamaruddin Jaaffar, Muhammad Sabu, Mahfuz Omar, Sallahuddin Ayub yang telah teruji kehebatan dan kepetahan mereka berhujah di parlimen sebelum ini ataupun pada masa ini seperti Salahuddin dan Kamaruddin Jaafar.
Parlimen akan menjadi bertambah bergegar kalau mereka ini dibantu pula oleh Ibrahim Ali, Dr Mohd Hatta Ramli, Saifuddin Nasution Ismail dan Wan Abdul Rahim Abdullah.
Ibrahim Ali yang akan bertanding di Pasir Mas merupakan seorang bekas ahli Parlimen yang lantang memperjuangkan isu-isu rakyat dan Melayu. Saifuddin pula bertanding atas tikit Keadilan di Machang terkenal sebagai seorang ahli politik pelapis berkualiti yang berhujah menggunakan fakta dan bukti dan cekap mendedah kepincangan Kerajaan berbentuk rahsia.
Manakala Wan Abdul Rahum, speaker DUN Kelantan akan bertanding di Parlimen Rantau Panjang juga merupakan seorang yang artikulek dengan fakta. Bendahari Agung Pas, Dr Mohd Hatta pula terkenal sebagai aktivis dan penggerakan demonstrasi anti Kerajaan yang disebut-sebut akan bertanding di Gombak atau Pasir Puteh akan turut menjadi Kerajaan tidak boleh senyap.
Kehadiran mereka berempat bergabung dengan tokoh-tokoh seperti di atas akan menggegarkan parlimen dan benar-benar bakal merimaskan pihak Kerajaan.
Bayangkan bagaimana kalau kesepuluhan mereka ini berada dalam Parlimen. Parlimen akan jadi riuh randah dengan suara dan bangkangan dan bantahan mereka. Yang jelasnya mereka bukan sepuluh budak hitam! Ibrahim yang sudah berihat selama dua penggal tentu akan melepaskan rindu dan dendamnya dengan menimbulkan kepincangan Kerajaan pimpinan Abdullah selama empat tahun lalu.
Isu-isu kepentingan Melayu dan Islam yang menjadi isu kesukaannya secara konsisten akan bergema kembali di parlimen. Sebagai seorang tokoh politik lama pasti juga apa yang dibangkitkan Ibrahim lebih matang dan bersifat universal.
Begitu juga dengan yang lain, Muhammad Sabu, Mahfuz dan lain-lain akan terus mendesak dan membelasah Kerajaan terutamanya berhubung dengan beberapa tindak tanduk Kerajaan selama ini yang mengabaikan kepentingan rakyat marhaen.
Susun semula
Isu-isu kemiskinan, jenayah, skandal dan penyelewengan akan didominasikan oleh mereka ini. Tidak mustahil juga Muhammad Sabu akan mendesak parlimen agar meminta polis membuka semula siasatan ke atas pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaarribbu yang penuh misteri itu atau pun meminta badan kehakiman disusun semula ekoran pendedahan klik video VK Linggam.
Soal pilihan raya dan demokrasi juga akan menjadi bahan ampuh mereka. Pasti mereka akan mengemukakan hujah memberi bukti betapa pilihan raya hari ini tidak adil, kotor dan korup. Sehubungan itu mereka mungkin akan mengemukakan cadangan agar sistem pilihan raya negera ini diubah seperti di negara-negara Barat ataupun di Indonesia, di mana pemilihan ahli Parlimen mengikut peratus undi yang diraih oleh parti bertanding dan bukan undi popular calon.
Cara demikian lebih adil dan saksama di mana suara rakyat sebenar dilayan dengan penuh keadilan tidak seperti hari ini pilihan dan undi rakyat disia-siakan dan dirosak dengan sistem di mana wakil parlimen dipilih berdasarkan undi peribadi yang diperolehinya.
Sekiranya rakyat mahu melihat Parlimen kita hidup dan hangat pastikan mereka ini berada di Parlimen selepas pilihan raya kelak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan