Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 17 Mac 2008

GERAKAN CADANG BUBAR PARTI PERKAUMAN: BN UNTUK SEMUA


IPOH: Parti Gerakan Negeri Perak mencadangkan supaya semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dibubarkan dan sebaliknya BN menjadi sebuah parti politik tunggal yang menerima keahlian semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Pengerusinya Datuk Chang Ko Youn berkata cadangan ini wajar bagi memastikan BN terus relevan dalam senario politik semasa kerana berdasarkan trend pilihan raya yang baru selesai, rakyat Malaysia kini tidak lagi mengundi parti yang mewakili satu-satu kaum kaum.

"Ramai pemilih tidak lagi mengundi calon mengikut bangsa atau keturunan... ini menunjukkan politik kaum telah dikurangkan. Kalau mengikut keputusan pilihan raya lepas, inilah waktu yang mana mereka (parti komponen BN) patut meminda perlembagaan parti masing-masing yang mana mereka boleh menerima rakyat Malaysia tidak mengira keturunan," katanya kepada pemberita di Wisma Gerakan di sini hari ini.

Chang, yang juga Naib Presiden Gerakan, berkata sekiranya cadangan itu dipersetujui, parti komponen BN perlu dibubarkan dan BN dijadikan sebagai parti tunggal bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya cadangan itu adalah hasil maklum balas dan pandangan kebanyakan bahagian parti Gerakan di Perak.

Chang berkata penubuhan BN sebagai satu parti tunggal dilihat dapat menghadapi cabaran daripada parti pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

Gabungan BN yang diterajui oleh Umno bersama-sama dengan parti komponen lain seperti MCA, MIC dan Gerakan hanya menang majoriti mudah pada pilihan raya umum ke-12 apabila kekurangan lapan kerusi bagi membolehkannya mendapat majoriti dua pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Tiada ulasan: