Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 13 Mac 2008

KITA SERING TERTIPU KERANA DEK NAFSU

PENDAHULUAN :

Liga Bolesepak Juara-juara Eropah hampir menuju kemuncaknya. Saingan semakin rancak ke pusingan kalah mati. Semalam dua malam kita dihidangkan aksi menarik 14 pasukan yang bertanding dalam pusingan kalah mati yang mendebarkan itu. Kecuali perlawanan Liverpool dan Inter Milan yang ditangguh seketika disebabkan Liverpool terlibat dengan perlawanan liga domestik Inggeris.


RUGI MASA :
Mula lah peminat muslim di Malaysia bangun malam semata-mata untuk melihat aksi menarik bintang terkenal pujaan mereka. Tidak syak, kelibat Kaka', Lionel Messi, Ronaldinho, Ronaldo, Tevez, Cesc Fabregas, Adebayor, Kanoute menarik perhatian. Justeru, orang kita sanggup bangun awal pagi untuk menikmati siaran langsung bermula 3.30 - 5.00pg. Biar mengantuk..asalkan puas hati. Itulah gelagat nafsu.


KITA TERTIPU :
Sebenarnya kita tertipu, amat tertipu dengan kepenggunaan masa. Masa untuk berehat disalahgunakan untuk bersengkang mata. Waktu perdana ibadat (qiyamulai, berzikir dan berdoa) dibazirkan kepada perkara yang sia-sia. Masya Allah! Orang kita sanggup bangun malam kerana bola. Tapi tak sanggup bangun malam untuk qiyamulail. Ternyata, Nafsu memperbolakan kita. Allahu Allah.

Sesetengah dari kita syok menonton di kedai mamak. Kekadang berlanjutan sampai 6.00pg dek masa tambahan perlawanan. Balik rumah tak juga mendirikan solat. Pergi kerja dalam keadaan berat dan penat. Bila bekerja banyak menguap. Allahu akbar!

MEREKA MENANG KITA TEWAS :
Tahniah kepada pasukan yang menang dan layak ke suku akhir. Antaranya seperti Manchester United, Barcelona, Fenerbahce dan kemenangan bergaya Arsenal ke atas juara bertahan AC Milan 2-0 digelanggang lawan. Arsene Wenger mula terbayang kejuaraan menjadi milik mereka lantaran mereka telah berjaya menyingkirkan juara bertahan.
Perlawanan semalam pula menghidangkan kejayaan cemerlang Chelsea 3-0 ke atas Olympiakos. Kelab Porto disingkir Schalke 04 dek tendangan penalti 3-1 setelah seri 0-0 di saingan sebelumnya. Peminat Real Madrid nyata kecewa kerna kelab itu rebah ditangan AS Roma 2-1 di Santiago Barnabeu. Menjadikan aggregate ketewasan mereka 2-4. Ingat Ustaz JAKIM jumud ke?

HAKIKAT KALAH DAN MENANG:

Bagi pasukan yang menang, mereka terus mengaut keuntungan lumayan. Pasukan yang kalah tetap menang jualan tiket, penajaan dan royalti siaran. Kelab, jurulatih dan pemain masing-masing terima habuan.
Rasionalnya, yang tewas secara hakikat adalah kita. Kalah judi/bertaruh 1-0. Kalah dgn masa rehat (tidur) 2-0. Kalah dengan qiyamulail 3-0. Kalah dengan sia-siakan waktu (nikmat Allah) 4-0. Kalah dengan bil elektrik 5-0. Kalah dengan bil astro 6-0. Kalah kepada mamak/tauke kedai 7-0. Kalah kepada kerja 8-0. Kalah kepada mengantuk 9-0 dan kalah kepada sms 10-0. Kalah bual 11-0 dan kalah sindir-menyindir 12-0. Kalau kalah secara total terbukti anda tidak layak 'bermain'. Dan permainan anda itu amat memalukan. Allahu akbar!
Kalau perlu sedar .. kita sebenarnya yang kalah. Kalah besar dan memalukan. Benar kata orang klate : "Bo..lah" Maksudnya..berhenti lah. Niat nak berhenti..tapi itulah nafsu.

Seringkali nafsu bangkit mengajak kita untuk menghiburkan jiwa dengan perkara sia-sia. Justeru, Kita perlu bijak mendidik nafsu. Supaya ia kembali kepada Allah yang Satu.

RUGI WANG RINGGIT :

Peminat bolasepak semakin teruja dengan kejayaan pasukan mereka. Mereka mula menggayakan citarasa masing-masing termasuklah memakai jersi pasukan kebanggaan. Namun, tahukah anda bahawa jersi pasukan kebanggaan anda itu ada simbolik yang bertentangan dengan Islam.

Jersi MU contohnya mengandungi Red Devils. Iaitu lambang 'setan puaka' yang menjadi pujaan dan kepercayaan mereka. Islam menegaskan bahawa Syaitan itu musuh Allah yang paling nyata.

Jersi Barcelona, AC Milan, Inter Milan, Porto dll (termasuk Brazil, England, Denmark, Sweden DLL) pula berlambangkan salib kristian yang jelas dilencana kelab mereka. Jersi Liverpool pula gah dengan Carlsberg sebagai penaja arak.

Sayangnya, perlambangan syaitan, salib kristian dan arak ini tidak diambil endah sebahagian muslim kita. Mereka memakainya tanpa segan silu. Bahkan ada yang menggunakan jersi berkenaan untuk menunaikan solat. Rupa-rupanya tindakan kita 'haram' secara diam. Melakukan tindakan haram menyebabkan kita terhijab dari rahmat Allah yang Rahman. Nau'zubillah.

Orang kita sanggup berkorban ribuan ringgit untuk membeli jersi yang bertentangan syariat Islam. Tapi jarang yang sanggup mendermakan ribuan ringgit untuk membangunkan Islam dan umatnya. Sekali lagi kita tertipu dengan permainan nafsu. Ingatkan.. Tipah je tertipu. Rupa-rupanya ramai juga profesional, pensyarah, ustaz, cikgu dan orang awam kita yang tertipu. Termasuk aku.

Inilah sebahagian dari permainan dunia yang menipu daya. Kita kehilangan banyak masa, tenaga, harta dan pahala semata-mata jadi hamba kepada dunia. Bukankah Rasulullah SAW berpesan : Sebahagian dari kecantikan Islam seseorang itu adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya-al-Bukhari) . Ulamak sufi jua selalu mengingatkan kita supaya berwaspada dengan daki-daki dunia supaya ia tidak melomorkan kekotorannya ke dalam tasik hati kita. Sekaligus mengeruhkan pandangan hati kita terhadap kewujudan, kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Kesimpulannya, liga juara anda yang sebenarnya ialah Ilmu, Iman dan Taqwa. Jangan sesekali tertipu dengan nikmat dunia yang sementara. Tewas di liga dunia kemungkinan besar kita diplih calon neraka. Nau'zubillah min zalik.

Tiada ulasan: