Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 28 Mac 2008

LIM GUAN ENG DAN MELAYU PULAU PINANG


Oleh: Zukri Aksah

Bagi menyeimbangkan berita-berita krisis perlantikan Menteri-Menteri Besar dari kalangan Umno dan Barisan Nasional di Negeri Terengganu serta Perlis, maka fokus media-media arus perdana cuba dialihkan ke Negeri Pulau Pinang, yang mana buat pertama kalinya dalam sejarah, DAP yang diterajui oleh YAB Saudara Lim Guan Eng berjaya menguasai pejabat Ketua Menterinya.

Sebaik sahaja menduduki kerusi Ketua Menteri, YAB Saudara Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa segala bentuk korupsi, kronisme, nepotisme, ketidaktelusan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran yang mana ruangnya terbuka akibat perlaksanaan DEB akan dihentikan. Berita RTM dengan cekap dan pantasnya menyiarkan kenyataan Ketua Menteri yang baru ini. Dan dari kenyataan yang panjang dalam Bahasa Inggeris, sarikata Bahasa Melayu yang disiarkan oleh RTM hanyalah berbunyi "perlaksanaan DEB akan dihentikan." Begitulah jahatnya media tunggangan Barisan Nasional, siapakah sebenarnya yang sedang bermain dengan sentimen perkauman? Tidak serik dan tidak belajar lagikah Barisan Nasional dari prestasi terburuk yang mereka perolehi dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini? Yang antara lainnya seperti dikupas oleh sesetengah bijak-pandai adalah disebabkan oleh propaganda yang sangat melampau yang disiarkan semenjak pembubaran parlimen sehingga hari pengundian di dalam semua saluran media arus perdana, baik elektronik mahupun bercetak, setiap hari tanpa henti, sampaikan rakyat menjadi meluat dan menyampah.

Maka berdemonstrasilah "orang-orang Umno," kononnya mewakili "orang-orang Melayu Pulau Pinang," kononnya lagi untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu. Persoalan yang sama muncul lagi, siapakah yang sedang mencetus sentimen perkauman? Saya tetap dengan prinsip bahawa perhimpunan aman haruslah dibenarkan selagimana ia selaras dengan semangat demokrasi seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi yang memelikkan, mereka inilah yang sebelum Pilihanraya Umum dahulu saban hari mengiklankan di kaca-kaca televisyen bahawa demonstrasi ini BUKAN BUDAYA MEREKA! Yang memelikkan juga, setelah diberi peluang berdekad-dekad oleh rakyat Pulau Pinang untuk memerintah negeri tersebut, akhirnya Barisan Nasional ditolak dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini, saham kekalahan Barisan Nasional Pulau Pinang ini juga turut disumbangkan oleh pengundi-pengundi Melayu. Apakah jasa Umno Pulau Pinang kepada orang Melayu di pulau itu selama berpuluh tahun Barisan Nasional memerintah? Kalau benar Umno atau umumnya Barisan Nasional menjaga kebajikan orang Melayu Pulau Pinang selama ini, mengapa di tahap klimaksnya mereka ditolak? Tepuk dada tanya selera, dah terhantuk jangan baru terngadah!

Saya menjadi tertanya-tanya, mengapa pula Umno Pulau Pinang khususnya, dan Umno Malaysia amnya tiba-tiba menjadi begitu sentimental dengan DEB? Bukankah DEB sudah dihentikan ketika zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri? Bukankah ia sudah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional? Bukankan Dr. Mahathir pernah berkata orang Melayu harus mula belajar untuk hidup tidak bertongkat? Kenapa ketika itu, Umno Pulau Pinang tidak pakat berarak beramai-ramai ke Putrajaya, berdemonstrasi di hadapan pejabat Dr. Mahathir?

Sedarlah, dan mengakulah, bahawa isu Melayu Pulau Pinang bukan isu baru, bukan isu sehari-dua, tiada kaitan pun dengan YAB Saudara Lim Guan Eng, beliau baru sahaja mengangkat sumpah. Selami masalah Melayu Pulau Pinang dari teks ucapan Dato’ Ahmad Ibni Hajar, Ketua Umno Bahagian Tanjong, Pulau Pinang semasa majlis perasmian bangunan Umno yang telah disempurnakan oleh Pak Lah pada 5 September 2006, anda boleh perolehinya di arkib Agendadaily.com, kajilah fakta-fakta dan data-data ketidakseimbangan ekonomi yang didedahkan. Masalahnya salah siapa maka berlakunya keadaan sebegini? Nyata ia bukan salah DAP atau YAB Saudara Lim Guan Eng, dan yang lebih jelas DEB telah gagal di Pulau Pinang!

Soalnya kenapa DEB gagal? Seperti yang dijelaskan oleh YAB Saudara Lim Guan Eng ketika mengambil-alih kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang, DEB selama ini telah membuka banyak ruang kepada berlakunya korupsi, kronisme, nepotisme, ketidaktelusan dan salahguna kuasa. Menggambarkan senario cara dan gaya hidup pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang ini, saya suka mengutip kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Dr. Nungsari Dato' Hj. Ahmad Radhi, bekas Ahli Parlimen Balik Pulau dari Umno sendiri, "Jangan nanti Umno dikenal sebagai parti kenduri-kendara, parti mesyuarat setahun sekali, dalam Umno tidak boleh terlalu pandai…," malangnya di tangan pemimpin-pemimpin seperti yang digambarkan oleh Dr. Nungsari inilah, nasib Melayu Pulau Pinang diperjudikan! Pemimpin yang hidup dengan kebodohan, bermewah-mewah dengan segala macam kenduri dan parti, entah wang siapa dan wang untuk siapa yang dibelanjakan. Bila semakin diasak dengan aduan dan keluhan rakyat, jari cuba menuding kepada orang lain, maka ketika itu Gerakan dan Koh Tsu Koonlah yang menjadi mangsa dan kambing hitam, sedang pemimpim Umno yang memegang kerusi nombor dua dalam hirarki pentadbiran Pulau Pinang sepertinya ma'sum dan suci. Nampaknya YAB Saudara Lim Guan Eng sedang cuba dipalit dosa yang sama.

Kalau sudah terbukti DEB itu gagal, maka kenapa menjadi kesalahan bagi mana-mana pemimpin untuk memperkenalkan satu pendekatan yang baru, satu dasar yang baru, yang mereka yakini boleh menjadi pengganti yang lebih baik kepada DEB? Saya tidak nafikan bahawa DEB ada jasanya, DEB ada baktinya, tetapi DEB juga ada zamannya, semakin ke penghujungnya, DEB akan berhadapan dengan kesalahan demi kesalahan, kegagalan demi kegagalan. Mengambil Pulau Pinang sebagai kajian kes, maka terbuktilah sekarang bukan lagi zaman DEB.

Barisan Alternatif atau Barisan Rakyat sekarang menerajui lima buah kerajaan negeri, enam termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka punya ruang yang memadai untuk mempraktikkan apa yang dinamakan Agenda Ekonomi Malaysia. Kepada pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional, apa salahnya jadikan masa sekarang untuk memerhati dan menilai apakah Agenda Ekonomi Malaysia ini boleh menjadi strategi yang betul dalam memenuhi ruang yang ditinggalkan oleh DEB. Paling tidakpun, masa inilah yang boleh digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional untuk merangka satu dasar baru yang lebih kompetitif, buat dijaja dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Kata putus sama ada terlaksana atau tidaknya dasar-dasar yang dirangka ini, akhirnya berada di tangan rakyat. Kepada para pemimpin, di Barisan Rakyat atau Barisan Nasional, kejujuranlah yang paling penting dalam kita menungguli perubahan…

Tiada ulasan: