SEMALAM sungguh menakjubkan. Banyak banner diregang sekitar Kuala Lumpur dan Gombak menuntut anak Badawi "UNDUR" dari menjadi Perdana Menteri.
Ketika yang sama Shahidan Kasim ditikam dari belakang oleh entah sesiapa di Perlis, nama Datuk Dr. Mohd Isa Sabu (bukan Mohd Sabu) tiba-tiba dijulang sebagai Menteri Besar baru negeri itu.
Kecelaruan dan sesak nafas dalam Umno kian teruk dan bertambah teruk sejak kalah di enam negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).
Shahidan yang tujuh kali keluar masuk Putrajaya mendesak anak Badawi agar memberikan watikah beliau bertanding Dun di Perlis, sejurus bubar parlimen tempoh hari; makin sesak nafas dengan perkembangan terkini.
Anak Badawi menenangkan politik Perlis kononnya watikah sudah diberi kepada Shahidan untuk dilantik sebagai MB.
Tetapi, kelihatan Istana Perlis tidak "berkenan" - istilah yang wajar - untuk melantik Adun Tambun Tulang itu mengetuai negeri kecil Perlis Indera Kayangan.
Strategi Shahidan ketika mengasak anak Badawi agar tidak digugurkannya dari bertanding nampaknya digunakan semula. Perhimpunan para penyokongnya kian bertambah.
Shahidan terus menundung jari kononnya ada "orang" yang telah menikam dan memperbodoh-bodhkannya. Dia tidak boleh menerima sama sekali Isa Sabu menggantikan tempatnya di Perlis.
Tuduhan Zahid Hamidi terhadap Lim Kit Siang sebagai biadap terhadap Istana Perak, kerana tidak menghormati perkenan Sultan atas perlantikan Ir. Nizar Jamaluddin sebagai MB negeri itu, patut juga dihala dan ditala kepada Shahidan, sekutunya di Perlis.
Apakah Shahidan tidak kurang ajar macam Lim Kit Siang? Apabila enggan akur dengan perkenan Sultan terhadap Isa Sabu sebagai MB yang baru di negeri itu?
Apa pula lebih dan baik ajarnya (sifat berlawan kurang ajar) anak "Kassim Baba" ini yang mengumpulkan para penyokongnya untuk menentang perkenan Sultan itu.
Dia tidak puashati dengan siapapun yang menikamnya, perkenan Sultan patut dihormati. Soal dia marah dengan Radzi Sheikh Ahmad atau Azmi Khalid, itu isu ke 10 yang patut diselesaikannya sendiri.
Barangkali, Shahidan melihat watikah anak Badawi yang diserahkan kepadanya itu sudah tiada taring dan tidak berbisa lagi. Jika betul watikah itu laku, mengapa dia ditolak mentah-mentah oleh Istana.
Kemelut yang membungkus kerajaan campuran di Perak sudah tamat. Isnin ini, mungkin acara angkat sumpah berlangsung. Pelbagai tuduhan dilemparkan oleh pemimpin BN terhadap "kekalutan" yang menyelubungi isu perlantikan MB Perak yang baru.
Tetapi, "kemelut" itu nampaknya bukan milik mutlak PAS, DAP dan PKR Perak semata-mata, kini yang melanda Perlis dan Terengganu. Isunya di sana, Istana tidak perkenankan calon MB yang dikemukakan oleh BN dan anak Badawi.
Ia jauh lebih teruk dari apa yang tercetus di Perak. Shahidan dan Idris bukanlah calon dari PAS atau PKR. Jauh seklai calon dari DAP.
Mereka adalah kerabat BN dan penyandang jawatan itu penggal lalu.
Mengapa mereka ditolak Istana menjadi suatu tandatanya. Adakah kerana watikah anak Badawi yang jadi Pengerusi BN sudah tiada nilai atau memang Istana sendiri tidak berkenan dengan Shahidan dan Idris yang memiliki perwatakan "gedebe" dan angkuh dengan rakyat jelata yang dinaungi al-Sultan.
Pagi tadi, seramai 23 Adun BN Trengganu yang sepatutnya mengadap al-Sultan negeri itu di sebuah hotel Putrajaya tidak kesampaian.
Tiada Sultan datang dan tiada sebab-sebab yang kemukakan mengapa acara itu gagal disempurnakan.
Nampaknya, Umno terpaksa membiarkan negeri-negeri baru kuasaan PAS, PKR dan DAP berdiri sendiri tanpa lebih banyak serangan dilakukan. Sebab Umno pula dilanda tsunami baru di Perlis dan Terengganu.
Pada masa yang sama, Presidennya anak Badawi sudah dimalukan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir yang juga anak Tun Mahathir, musuh nombor satu anak Badawi sekarang yang mengutus surat meminta anak Badawi undur.
Umno benar-benar bergolak.... Paling menarik, Shahidan bersedia menjadi pembangkang dalam Dun Perlis jika Isa Sabu menjadi Menteri Besar.
Maka dari segi semangatnya, Koridor Pembangkang makin lengkap apabila jalur kekuatan itu dimulakan geraknya dari Kelantan menuju "PERLIS" dan meneruskan gelombangnya ke Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan berhenti seketika di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
TMJ: sanggahtoksago.com
15.03.2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan