Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 16 Mac 2008

'CACAMERBA' POLITIK DI PERLIS


TEMPO krisis lantikan Menteri Besar Perlis berubah ubah dari masa ke semasa.Ada yang sudah menyifatkan keadaannya sebagai dah jadi cacamarba.

Ini merujuk kepada kenyataan Datuk Dr Md Isa Sabu Sabtu mendakwa keputusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melantiknya sebagai Menteri Besar Perlis dibuat berdasarkan sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Angka yang beliau berikan ialah lapan ADUN.Nama yang beliau senaraikan ialah Yip Sun Onn (ADUN Titi Tinggi), Mohd Rawi Kassim (Beseri), Sabry Ahmad (Santan), Abdul Jamil Saad (Sena), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Mat Hassan (Kuala Perlis), Ahmad Bakri Ali (Kayang) dan Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (Pauh).

Tolak lapan ADUN campur Dr Isa (Bintong) sendiri maka 9.Barisan Nasional menang 14 dari 15 kerusi DUN di Perlis.Maka di pihak Shahidan ada 5 termasuk dirinya.

Kalau mengikut hukum hakam amalan demokrasi betullah kata Dr Isa beliau yang layak.

Sebaliknya sudah menjadi amalan Perdana Menteri yang menetapkan siapa Menteri Besar di sesebuah negeri.

Moral politik yang agak sumbang di sini ialah pastinya ramai yang bertanya siapa sebenarnya yang berkuasa sekarang.

Ini bila Dr Isa berani bercakap secara terbuka kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya menghantar surat cadangan kepada Raja Perlis untuk melantik Menteri Besar dan bukannya watikah pelantikan seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan Jumaat.

"Datuk Seri Shahidan Kassim telah menemui Tuanku pagi semalam dan kami (sembilan ADUN) telah menemui Tuanku kemudiannya untuk menyatakan pendirian masing-masing sambil mengakui pendirian itu dibuat secara sukarela tanpa didalangi mana-mana pihak," katanya.

Kata Dr Isa lagi surat tauliah pelantikan telah disampaikan Raja Perlis kepada beliau untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar berkuatkuasa serta merta.

Sedangkan Abdullah sejelas-jelasnya dipetik oleh satu laporan Bernama Khamis berkata beliau telah menyerahkan surat watikah kepada Shahidan yang membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar Perlis dan membentuk barisan Exco negeri itu.

"Surat watikah itu adalah untuk dipersembahkan kepada Duli Yang Mulia Raja Perlis supaya dia dilantik sebagai Menteri Besar dan tubuh kerajaan negeri Perlis," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri.

Dr Isa berkata Perdana Menteri mempunyai hak untuk memberi cadangan kepada Tuanku Raja tetapi akhirnya Raja yang ada hak untuk membuat pilihan

"Saya telah berjumpa Perdana Menteri Isnin lepas untuk memaklumkan perkara ini dan Perdana Menteri mendengar dan mengambil maklum tentang perkara ini," katanya.

Katanya kesembilan daripada mereka mempunyai sebab kenapa tindakan itu dibuat.

"Kami punyai sebab-sebab tersendiri kenapa sembilan daripada kami bersama-sama untuk melakukan perubahan pucuk pimpinan. Semasa kempen pilihan raya selama 13 hari, kami berkempen bukannya kerana berlawan dengan pembangkang tetapi dengan krisis dalaman pucuk pimpinan Umno Perlis sendiri," katanya.

Bagaimanapun, katanya keputusan pilihan raya memihak kepada mereka dan rakyat memberikan kemenangan yang tinggi kerana yakin terhadap keupayaan mereka. "Saya mendapat maklum balas bahawa rakyat gembira dengan perubahan baru ini. Jika tuan puan tidak percaya, datanglah ke Perlis hari ini dan melihat sendiri sepanduk yang dipasang rakyat untuk menyatakan sokongan," katanya.

Kenyataan Dr Isa menidakkan kenyataan rasmi seorang Perdana Menteri mengejutkan ramai pihak.

ADUN Bintong itu mungkin berani merobek satu keputusan Perdana Menteri kerana merasakan 'kekuatan' kini menyebelahinya dengan 8 ADUN bersamanya ditambah pula dengan sokongan Istana Perlis.

Dalam keadaan senario politik biasa beliau pastinya akan berdepan dengan tindakan disiplin parti.

Namun dalam keadaan kemelut yang kronik di Perlis ini tindak tanduk Dr Isa mungkin masuk dalam kategori special case.

Sumber-sumber UMNO Perlis sendiri mengakui berdasarkan perkembangan terbaru sehingga Sabtu malam ada kemungkinan Shahidan 'terkangkang'.

"Melihat keadaan semasa yang begini dengan 9 vs 5 ADUN dan dokongan Istana Perlis di sebelah Dr Isa saya sendiri tidak tahu bagaimana Pak Lah nak selamatkan Shahidan,"katanya.

Sumber-sumber itu menduga salah satu jalan keluar kepada situasi yang membingungkan ini ialah melantik Shahidan sebagai Senator dan diberikan jawatan menteri.

Seorang ADUN boleh dilantik sebagai senator.

"Soalnya di sini apakah Shahidan sanggup berkompromi begitu?"katanya

Tiada ulasan: