Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 1 April 2008

AKADEMI FANTASIA KE-6, FAIZAL AKAN 'BERDAKWAH' ATAU 'DIDAKWAH' ??

Assalamualaikum,

Secara sepintas lalu, tulisan Wan Nordin ini seolah-olah lahir dari andaian bahawa penyanyi-penyanyi nasyid adalah orang-orang yang mantap dan tinggi ilmu agamanya, jauh dari melakukan kemaksiatan (pelanggaran hukum) dan orang-orang yang sangat warak. Apabila umat Islam mempunyai pandangan seperti ini, maka mereka akan membuat kesimpulan bahawa barangsiapa yang bernasyid dan tampil dengan pakaian ahli-ahli nasyid, mereka adalah orang-orang yang alim, orang-orang yang bertaqwa (patuh perintah Allah dan tinggalkan larangan-Nya), orang-orang yang menjaga iffah (maruah) dan izzah (kemuliaannya) hanya kerana mendendangkan lagu-lagu yang dianggap dapat mendekatkan diri sang pendengar kepada Penciptanya.

Malah, seorang juara Akademi Fantasia yang dianggap 'alim' menimbulkan huru-hara sedikit masa dulu bila terlibat dalam gossip dan skandal.

Benarkah mereka iaitu penyanyi nasyid ini adalah orang-orang alim yang layak dihormati?Menyanyi, melalak-lalak di hadapan umum (selagi bukan menyanyi yang haram, menghina Allah, Rasul dsb) adalah mubah(harus) kepada kaum lelaki kerana mereka tidak terkena hukum tabarruj. Akan tetapi, ini bukan bermakna mereka bebas berada di mana sahaja atas tiket - untuk menyampaikan pesanan, nasihat dsb.Hakikat menunjukkan ujud penyanyi dan kumpulan nasyid di Malaysia tidak menjaga maruah mereka sebagai orang Islam. Buktinya, mereka terlibat dalam majlis anugerah yang mana berlaku bercampuran lelaki wanita.

Suatu masa dulu, jika tak silap majlis anugerah di Arena of Stars yang mana amat janggal apabila penyanyi wanita yang seksi, memakai pakaian ketat dan sendat tiba-tiba berada di pentas bersama-sama dengan kumpulan nasyid. Sakit mata memandang. Sangat 'odd'. Really 'out of place'.

Sayang sungguh kerana kumpulan nasyid hanya mendendangkan pujian dan peringatan, tetapi mereka tidak melakukan tindakan 'one-step ahead' iaitu menyedlidiki hukum berada dalam majlis bercampur lelaki-wanita bukan mahram yang mana wanita tak menutup aurat, bertabarruj, tak berakhlak (contoh ahli 'ngeri' Ferratic menjerit2 termasuk yang bertudung).

Sesungguhnya haram berada dalam majlis seperti itu. Di zaman khalifah Umar Abdul Aziz, seorang lelaki telah berada dalam majlis yang mana arak dihidangkan. Dia tidak minum kerana berpuasa. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan khalifah, orang itu diperintahkan dikenakan hukuman sebat terlebih dahulu berbanding yang minum khamar walaupun air syaitan tidak menyentuh tenggoroknya.

Kenapa? Kerana dia berada di majlis itu dan tidak menegur/menghalang perlakuan maksiat (minum arak) tersebut. Bila dikiaskan dengan kumpulan nasyid yang seronok duduk dalam majlis lagha, adakah mereka (penasyid-penasyid) sedar akan dosa berada dalam majlis dan tidak menegur/mengingatkan orang-orang yang melanggar hukum syarak tersebut?

Paling malang, apabila salah seorang anggota kumpulan nasyid tersohor meninggal dunia dalam majlis maksiat di Genting Highland juga. Kematian adalah qada (takdir/ketetapan) yang tidak akan berubah bermakna, apabila ajal tiba, maut akan mendatangi kita walau dimana kita berada.

Seorang manusia yang berusaha mematuhi perintah dan menjauhi larangan Allah mungkin ditakdirkan Allah mati di Genting Highland tetapi bukan sebagai seorang peserta dalam majlis lagha/maksiat sebaliknya berada disitu sebagai penguatkuasa pencegahan maksiat.

Berapa ramaikah yang mengambil iktibar kematian ahli kumpulan nasyid di majlis maksiat tersebut? Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,Hukum berpakaian bagi wanita beriman telah jelas sebagaimana surah an-Nur ayat 31, surah Ahzab ayat 59, termasuk larangan bertabarruj.

Akan tetapi berpakaian bagi lelaki Islam adalah menutup aurat mereka tidak seperti wanita yang sangat berbeza.Janganlah hanya menilai ketaqwaan seseorang lelaki berdasarkan pakaiannya jika terbukti mereka melanggar hukum Allah walaupun dibibir mereka kita saksikan mereka bernasyid memuji dan mengingatkan kita kepada Allah.

Janganlah menganggap penyanyi nasyid itu maksum lalu kita terlalu risau mereka akan d'idakwahkan' dengan dakyah Barat.

Sesungguhnya, salah satu usaha seseorang untuk menjaga ketaqwaannya ialah dengan memastikan dirinya dikelilingi orang-orang yang baik akhlaknya, golongan alim-ulamak iaitu orang-orang yang mana dari mereka kita mendapat ilmu, merasa keinsafan akan dosa-dosa, merasa tak ingin bertangguh mencari pahala, darinya kita diperingatkan tentang ancaman Allah dan balasan di Akhirat.

Jika seseorang, betapa besar pun songkok/kopiah di kepala, semua itu tidak menjamin dirinya akan dapat menjaga iman jika dikelilingi orang-orang yang melakukan maksiat seperti golongan artis yang tampil dengan mendedahkan aurat, bersolek depan bukan mahram dsb.Seseorang yang menyertai progran realiti seperti AF ini, walaupun punya latarbelakang Pengajian Islam dan yang seumpamanya adalah seumpama meletakkan sebelah kakinya ke dalam neraka kerana kita menyaksikan AF melibatkan percampuran lelaki wanita, menyanyi depan bukan mahram, lelaki-wanita bersentuhan. Semua ini tidak akan dapat ditutup dengan sehelai tudung yang melilit menutup rambut seperti peserta AF5.

Semuga Allah Azza wa Jalla akan memberi hidayah kepada kita sehingga kita memahami yang haq itu adalah haq dan kita mampu mematuhinya.

Semuga Dia Subhanahu wa Taala juga akan memberi petunjuk kepada kita hingga kita menyedari yang batil itu batil dan kita mampu menjauhinya.

Wassalam.


............................................

Akademi Fantasia ke-6, Faisal akan 'berdakwah' atau 'didakwah'?
Wan Nordin Wan YaacobSun Mar 23, 08 10:48:27 am MYT


Semalam, buat pertama kalinya penulis menonton rancangan Akademi Fantasia setelah enam musim rancangan itu dianjurkan stesen televisyen berbayar Astro.Bukan mahu mencuci mata, sebaliknya penulis terpanggil dengan khabar kehadiran seorang yang didakwa sebagai penyanyi nasyid yang menyertai Akademi Fantasia ke-6 (AF6) selepas beberapa tahun lalu Asmawi Ani (Mawi) memulakan langkah menyanyi lagu-lagu nasyid sebagai pertaruhan bakat dalam AF.

Malangnya kini suara nasyid Mawi kurang kedengaran, dan fenomena Mawi sudah agak hilang bisanya, apabila pencetus fenomena baru dalam dunia hiburan itu dikaitkan dengan beberap gossip panas.Itu kisah Mawi yang kini masih lagi menjadi antara penyanyi pujaan anak muda dan juga yang tua akibat auranya satu ketika lalu.Kini Mohammad Faisal Abdullah (21) adalah antara yang menjejaki Mawi untuk mempertaruh bakat nyayiannya dengan menggunakan lagu Nasyid untuk tatapan khalayak pengirim SMS dan pengkritik Af-6.

Semalam adalah pentas pertama Faisal menunjukkan bakat dengan membawa lagu yang pernah didendang oleh Ustaz Asri Ibrahim (Asri Rabbani) yang bertajuk 'Satu Kiblat Yang Sama'.

Dalam profilnya di laman web Akademi Fantasia tidak pun menyebut latar belakang beliau sebagai penyanyi atau anggota kumpulan nasyid tertentu.Ada sumber yang menyatakan bahawa Faisal adalah anggota sebuah kumpulan nasyid, namun selepas penulis melayari web milik sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan Faisal mendapati muka salah seorang anggota kumpulan itu memang sama seperti Faisal.

Penulis bagaimanapun tidak mendapat maklumat lanjut kerana gerbang web kumpulan tersebut tidak dapat diakses sepenuhnya.Cuma yang ada hanya satu mesej dalam kolum sms yang dikirim seorang peminat kumpulan nasyid tersebut yang berbunyi 'Salam, betul ker salah sorang dari anggota ...(nama kumpulan nasyid tersebut) akhi Faisal masuk AF6????".

Hingga kini tiada sebarang jawapan mengesahkan keanggotaan Faisal atau tidak dalam kumpulan nasyid tersebut.Berbalik kepada isu nyanyian Faisal yang dikritik hebat oleh para pengkrtitik antaranya Ning Baizura, OGY Ahmad Daud dan Ajai yang lansung menolak persembahan Faisal.Mungkin satu kejutan kepada Faisal kerana nyanyiannya dikritik hebat, namun apa rahsia disebalik penyertaannya dalam AF mungkin hanya Allah dan Faisal sahaja yang mengetahuinya.

Kerja dakwah bukan mudah, seorang rakan yang baru pulang dari Jordan mengikuti pengajian Syariah peringkat Sarjana (Master) di sana ada memberitahu penulis bahawa, kini kelompok pendakwah bukan hanya perlu berdakwah di masjid-masjid tetapi mensasarkan dakwah di tempat yang mana kelompok yang perlu dirawat.Namun rakan penulis tidak pun menyebut mana-mana tempat yang dimaksudkan.

Terfikir penulis bahawa adakah kemungkinan pendekatan ini yang digunakan Faisal untuk berdakwah?Jika inilah hasrat Faisal, penulis mungkin boleh tabik dengan beliau, namun beliau perlu meletakkan kebimbangan dengan arus yang mengalir dalam AF sebagaimana yang dipertontonkan kepada khalayak dimana terdapatnya pergaulan yang agak bebas antara lelaki dan perempuan.

Itu tidak termasuk soal menutup aurat atau isu-isu lain yang mungkin terselindung di balik tirai AF yang tidak terlihat.Atau mungkin, kelompok muda yang meneruskan irama nasyid kini seperti Faisal tidak lagi yakin dengan irama nasyid untuk dipertaruhkan untuk menjadi ladang dakwah dan tempat meneruskan bakat seni yang sedia ada.

Lihat sahaja apa yang terjadi kepada nasib Faizal Tahir (bekas anggota kumpulan nasyid Miwarna) yang digam akibat membuka baju dalam satu konsert di sebuah stesen televisyen swasta.

Faizal Tahir menyertai One In A Million pada tahun 2006 kini meniti arus 'getir' meskupun telah menempa kejayaan dalam albumnya yang pertama, namun semuanya tidak menjadi apabila Allah menurunkan ujian kepadanya mungkin kerana tersasar dari apa yang pernah dinasihatkan dalam lagu-lagu dakwah semasa bersama Miwarna.

Kini Faisal pula menyertai AF satu rancangan yang cukup mendapat kritikan daripada penceramah-penceramah bebas tentang pergaulan bebas yang tersedia dalam rancangan ini.

Mungkin ia ujian kepada Faisal(Af-6), namun seharusnya bakat nasyid yang dimiliki beliau digunakan sebaiknya untuk menjadi anak muda yang meneruskan cita-cita penasyid terdahulu yang kini masih terus berdakwah dan diminati ramai.Antaranya, Munif Ahmad (Hijjaz), Nazrey Johaney (bekas Raihan) dan Ustaz Akhil Hayy Rawa, selain melihat bakat baru yang cukup popular seperti Inteam, Castury, Unic, Saffone dan Now See Heart.

Semua mereka ini masih menggunakan lapangan nasyid sebagai wadah untuk mengasah bakat sedia ada selain berdakwah kepada ummah.

Penulis terus berharap agar Faisal memiliki kekuatan untuk berdakwah di AF-6 namun turut bimbang apakah Faisal mampu melaksanakan misi dakwah atau sebaliknya beliau akan didakwah dengan 'doktrin huburan barat' yang kini mula membayangi artis-artis Malaysia.Terpulang kepada kebijaksanaan dan sejauh mana keikhlasan Faisal untuk meletakkan dirinya sebagai 'entiti' yang wujud untuk terus bernasyid.

Kisah Faizal Tahir menjadi pengajaran kepada penasyid, dan ia mungkin boleh dijadikan iktibar kepada Faisal yang kini menyertai Af-6.

Sama-sama renungkan.

Tiada ulasan: