Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 3 April 2008

UMNO/BN AMAL POLITIK HILANG ARAH

Umno/BN Amal Politik Hilang Arah – Versi Semasa

( Artikel asal pernah disiarkan oleh beberapa laman web pro-reformasi dan web Laman Ntzalim adalah di antara 6 laman web pro-reformasi lain yang telah diceroboh secara memalukan justeru menggemparkan kalangan rakyat yang mendokong gerakan reformasi yang melayari web-web pro-reformas -Webmaster Laman Ntzalim 1998~2000 )

TAHNIAH! Kepada Calon-calon Pilihanraya BA (kini akan disebut Pakatan Rakyat, PR) yang telah berjaya memenangi pilihanraya yang baru berlalu. Dan selamat bertugas kepada semua wakil rakyat PR, mudah-mudahan memenuhi aspirasi rakyat khususnya bagi kawasan-kawasan yang telah dimenangi sama ada peringkat DUN mahupun Parlimen.

Satu kemenangan di luar jangkaan sekiranya melihat kepada persediaan parti Barisan Nasional dengan mengeksploitasikan seluruh jentera kerajaan selain menggunakan jentera pilihan rayanya sendiri di dalam membantu kempen calon-calon mereka. Pun demikian, manusia hanya mampu merancang tetapi perancangan dan penentuan Allah mengatasi segalanya. Begitulah hakikatnya.

Cuma, rakyat melihat dan membuat pemerhatian dengan penuh cemas dan 'takut' dengan beberapa kejadian yang berlaku sebelum menjelangnya pilihan raya sama ada dilaporkan atau tidak oleh media pro-pemerintah di sepanjang tempoh kempen sehinggalah ke waktu pembuangan undi. Termasuklah peranan ‘songsang’ SPR yang jelas memihak kepada parti pemerintah.

Akhirnya rakyat dapat membuat kesimpulan daripada pemantauan yang dilakukan bahawa sebenarnya pemikiran dan matlamat berpolitik UMNO dan sekutunya dalam BN sudah hilang arah dan tidak jelas matlamatnya. Yang dapat dikatakan hanyalah, sebenarnya BN sudah didokongi oleh para politikus di kalangan pemimpinnya yang 'bejat', tiada wibawa, berfikiran sempit, dungu, tolol dan mengamalkan budaya politik khianat dan samseng sehingga dilihat tidak berhaluan dan tidak mempunyai arah serta matlamat yang jelas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab politiknya. Dan kini semakin terselah apabila berlakunya kemelut dan huru-hara dalaman yang berlaku di dalam UMNO yang sehingga kini belum jelas menampakan ianya akan pulih ataupun dipulihkan.

Yang rakyat dapat saksikan mutakhir ini, yang penting bukanlah ketelusan, kejujuran, kewibawaan sebagai politikus tetapi kekuasaan, kedudukan dan kemegahan sebagai buruan dan matlamat. Sebab itulah wujudnya berbagai kisah dan cerita darihal penyelewengan dan salahguna kuasa di dalam pengendalian dan pengurusan sesuatu pilihan raya yang diadakan. Mungkin boleh dibuktikan dengan berlakunya 'pengundi hantu' dan senarai nama pengundi SPR yang 'dighaibkan', perlaksanaan 'projek pantas' untuk rakyat, budaya berkempen secara 'samseng', 'merasuah' kepada pengundi, memperalatkan media cetak dan elektronik milik kerajaan yang sebenarnya bukan milik sesebuah parti sehinggalah ke unsur-unsur yang berbau perkauman melalui kempen dan kenyataan-kenyataan media oleh kalangan pimpinan BN. Apakah BN dan pimpinannya menolak tanggapan seperti ini?? Sekiranya menolak, sudah cukup bukti sebenarnya mereka sebagai pemimpin yang sudah tidak layak diberikan amanah untuk memimpin rakyat. Kenapa tidak, sedang rakyat sudah semakin celik dan pandai dan mempunyai berbagai sumber maklumat yang boleh mendedahkan segala ke'bobrok'kan yang telah mereka lakukan??

Bukti lain, sebenarnya Rakyat telah maklum bahawa kerajaan UMNO/BN sudah tidak melaksanakan tanggungjawab mereka untuk rakyat. Oleh sebab itu rakyat telah menggunakan ‘Kuasa Keramat’ mereka melalui PRU-12 yang lalu. Dan rakyat bukan sekadar terhenti penilaian mereka terhadap Umno/BN yang masih berkuasa di peringkat persekutuan setakat ini sahaja, bahkan mereka ingin memastikan Umno/BN menunaikan tanggungjawabnya untuk mengiktiraf wakil-wakil rakyat PR yang telah dipilih oleh rakyat. Seharusnya Umno/BN menyedari bahawa segala hak dan peruntukan bagi wakil-wakil rakyat PR sebagaimana yang tertulis di dalam Perlembagaan negara ataupun negeri seharusnya diberikan dan disalurkan sebagaimana yang dinyatakan tanpa memihak dan memilih sama ada saluran itu melalui calon kerajaan ataupun pembangkang. Yang jelas mereka adalah Wakil Rakyat, yang dipilih dan ditentukan oleh rakyat, calon yang diberi amanah dan keyakinan oleh rakyat, calon yang lebih mereka senangi dan diharapkan lebih mudah berurusan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di kalangan mereka. Mereka (Wakil Rakyat) adalah orang yang memikul amanah dan tanggungjawab kepada rakyat yang memilihnya.

Bagaimana seorang wakil pilihan rakyat (tidak mengira dari parti mana) dapat melaksanakan tanggungjawab mereka khususnya yang berkaitan dengan bantuan, kewangan, projek dan sebagainya sekiranya peruntukan tidak diberikan kepada mereka untuk disalurkan kepada rakyat yang memilihnya? Di manakah rasional politiknya tindakan tidak menyalurkan peruntukan kewangan melalui mereka sedangkan wang tersebut adalah milik rakyat dan bukan milik sesebuah parti? Mereka di amanah untuk mengurus bukan untuk memiliki wang rakyat!!

Adakah salah daripada sudut matlamat politiknya iaitu untuk memberi khidmat sebaiknya untuk rakyat dan kepada rakyat dengan menunjukkan ketelusan dan kejujurannya sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat? Dan sebaliknya, adakah dengan hanya memberikan khidmat dan menunjukkan keperihatinan kepada rakyat pada ketika pilihan raya akan diadakan itu sebagai bukti kejujuran, ketelusan dan kejelasan matlamat berpolitik para wakil rakyat?

Kini, rakyat yang bijak tidak lagi terhasut oleh mainan politik 'hilang arah' Parti Pemerintah. Rakyat sudah dapat mebezakan antara parti dengan kerajaan, jentera parti dengan jentera kerajaan, duit parti dengan duit kerajaan, kepentingan parti dengan tanggungjawab sebuah kerajaan. Dan rakyat yang bijak tentunya bersetuju dengan pendirian MB Selangor Tan Sri Khalid baru-baru ini yang membezakan jawatan parti dengan jawatan di dalam kerajaan dan bagaimana seharusnya ia berfungsi. Kesemuanya berlainan dan tidak sama sekali. Yang sama hanyalah 'ketua' kerajaan dan 'parti' yang menerajui kerajaan di mana 'ketua' dan 'parti'nya adalah mereka yang telah diberikan mandat (memenangi pilihan raya) untuk menerajui sebuah kerajaan dan bukan menjadikan kerajaan sebagai miliknya atau partinya. Itupun sebenarnya bukan kuasa penuh yang dimiliki kerana wakil pembangkang juga berperanan di dalam penggubalan susuatu dasar di DUN mahupun Parlimen dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Bagaimana dalam hal ini para pimpinan politik BN dan sekutunya sudah tidak dapat membezakan lagi? Bukankah ini juga sebagai bukti bahawa mereka sudah semakin kabur dalam menentukan arah dan matlamat perjuangan mereka? Jadi, apakah yang menjadi prinsip dan dasar perjuangan politik mereka kalau bukan kuasa, kedudukan dan kepentingan semata-mata dan bukan rakyat seperti yang diwar-warkan?? Sungguh mengaibkan!! Maka, jelas kalangan pimpinan UMNO/BN perjuangan mereka bukanlah untuk rakyat tetapi kepentingan diri, kepentingan parti dan ‘survivle’nya dalam mempertahankan kuasa yang dimiliki. Sama ada mereka tidak tahu atau tidak sengaja, bukan persoalannya. Yang dipersoalkan adalah ke manakah arah haluan mereka berpolitik dengan hanya berselindungkan slogan dan janji-janji manis tanpa mengkotakannya??

Pandangan ini mungkin lahir dari kalangan rakyat yang 'cetek' dan 'dungu' pemahaman politiknya. Tapi apakah di sana tiada kebenarannya? Rakyat lebih mudah faham dengan apa yang mereka rasa dan lihat hasil dari percaturan politik kotor yang dilakukan dari kata-kata dan slogan indah yang bertujuan untuk mengabui mata mereka. Rakyat bukan sekadar ingin mendengar slogan "Untuk Rakyat", "Kerana Rakyat", "Untuk Bangsa" dan "Untuk Agama" tetapi rakyat melihat dan merasai kesan dari tindakan dan halacara serta perlaksanaannya. Apakah untuk rakyat dan kerana rakyat kalau wang peruntukan pun tidak disalurkan? Kalau disalurkanpun berpilih-pilih, berkala-kala dan tidak mengikut peraturan sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri. Bukankah kenyataan ini ‘releven’ dengan soal Wang Royaliti Petronas yang telah menjadi Wang Ehsan suatu ketika dahulu? Dan, apakah untuk agama dan bangsa (Islam dan Melayu) dengan menghad dan membatas aktiviti mengimarahkan mesjid dan surau di kebanyakan negeri seperti Selangor sebelum ini?

Seringkali rakyat memprotes, mengkritik sama ada melalui laman-laman blog mahupun siri-siri demonstrasi sebelum ini terhadap tindakan golongan pimpinan politik Umno ini yang dilihat sudah hilang arah dalam memikir dan menentukan masa depan agama dan akidah bangsa melayu lalu menge'cap' mereka sebagai pro kepada pembangkang yang berkebetulan mereka berjuang atas dasar dan matlamat yang selari dengan kehendak dan kemahuan rakyat dalam soal bangsa dan agamanya. Atau mereka, ahli politik UMNO/BN seringkali berhelah dengan mengatakan bahawa tujuan mereka adalah kerana 'kesucian agama' dan semata-mata kerana agama seperti yang menjadi agenda parti mereka, benarkah begitu, Padahal rakyat melihat dan menilai sebaliknya.

Di dalam berpolitik, bagaimana seharusnya memenangi hati rakyat? Bukankah parti sebagai landasan berpolitik itu yang pertamanya perlu jelas matlamat dan dasarnya, yang jelas perlembagaan partinya. Sekiranya perlembagaan dan dasarnya ciptaan manusia yang telah terbukti gagal 'menguruskan' dan 'mendidik' serta 'membentuk' manusia yang mendokongnya ,bagaimana ianya harus dikekalkan lagi?? Soal dasar dan prinsip parti perlu jelas baharulah boleh mengharap pendokongnya berprinsip dengan jelas. Kalaulah dasar dan prinsip parti tidak menjurus dan menggambarkan 'tauhid' kepada Allah dan tidak bermatlamatkan agama yang dianut, bagaimana halnya para pendokongnya ? Lalu bebaslah mereka sebebas-bebasnya tanpa merasai sedikitpun ikatan tanggungjawab mengabdi kepada Allah. Dalam ertikata di dalam urusan berparti dan berpolitik seolah-olah tiada mempunyai kaitan keagamaan. Lalu wujudlah apa yang berlaku sekarang, rasuah, penyelewengan kuasa, kronisma dan nepotisma ?

Mengapa harus ditangisi gejala rasuah dan penyelewengan yang melemahkan parti UMNO tetapi tidak menangisi dasar dan perlembagaan parti sebagai acuannya yang telah melahirkan insan-insan bernama 'perasuah' dan 'penyeleweng' dalam parti?? Ternyata, samada tangisan itu mainan, lakonan ataupun akibat kejahilan yang enggan menerima teguran, nasihat mahupun melihat dari persfektif Islam sebagai ad-din. Maka terbukti sudah dan akibatnya adalah lahir juga manusia-manusia politikus yang hilang arah tujuan dalam perjuangannya.

Oleh itu, bangunlah wahai politikus UMNO/BN dari khayalan dan mainan pemikiran logik kamu dalam menentukan arah perjuangan kamu. Kembalilah kepada Islam anutan kamu dan rombaklah dasar dan prinsip serta perlembagaan parti kamu agar selaras dengan kehendak Islam yang kamu sendiri akui lengkap dan amat syumul. Sekiranya dasar kamu Islam, insyaAllah kamu tak perlu takut untuk meneruskan perjuangan politik kamu, kamu tidak perlu menangis lagi dan kamu tak perlu takut rakyat akan menolak kamu lagi, percayalah! MB, Dato' Nik Aziz pernah bertegas bahawa, sekiranya UMNO kembali kepada Islam dengan menjadikan Islam sebagai dasar Parti dan perjuangannya, PAS tidak perlu wujud dan pasti dibubarkan! Maka pada ketika itu kamu tidak runsing lagi bahawa umat melayu berpecah-belah seperti yang kamu sangkakan. Dan masa yang paling sesuai bagi ahli UMNO untuk melihat bangsa Melayu kembali kuat, mulia dan dihormati adalah dengan bersama-sama PAS kerana PAS menyakini kemulian bangsa Melayu adalah kerana Islam yang telah diwarisinya. Seandainya ahli UMNO belum begitu yakin terhadap PAS dan agenda perjuangannya, apakah salah bersama-sama PKR yang menjadikan keadilan, ketelusan sebahagian dari agendanya?? Janganlah malu dan begitu sombong untuk meninggalkan parti yang 'sakit dan usang' itu hanya semata-mata atas dasar negara, bangsa dan agama canangannya sedangkan ia telah gagal untuk merealisasikannya akibat sistem yang telah rosak dan didokong oleh kepimpinannya yang telah rosak juga.

Ntzalim
2 April 2008

Tiada ulasan: