Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 14 Jun 2008

LEBIH 2000 SERTAI HIMPUNAN BANTAHAN KENAIKAN HARGA MINYAK DI KL


KL: Laungan "turunkan minyak" bergema di perkarangan Masjid Kampung Baru sejurus setelah selesai jemaah masjid menunaikan solat Jumaat.

Masjid Kampung baru yang sering dijadikan 'markas' untuk demonstrasi sekali lagi sesak dipenuhi dengan orang ramai. Terkini, pada 2:05 petang laungan meminta kerajaan menurunkan harga minyak bergema di sekitar kawasan masjid.


Mereka yang menghadiri perarakan tersebut turut membawa poster dengan slogan tertera "BN naik minyak naik," Mereka tipu rakyat" dan "BN turun, minyak turun".

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad mengetuai perarakan tersebut.

Kesemua jalan menuju ke Kampung Baru mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk dari semua arah akibat daripada perhimpunan aman tersebut.

Pihak polis sudah mula berkawal ketat menghampiri kawasan Masjid Kampung Baru ekoran rancangan Pemuda Pakatan Rakyat mengadakan perarakan ke Menara Berkembar Petronas bagi membantah kenaikan harga minyak hari ini.

Terdahulu kira-kira 60 anggota polis dari Balai Polis Dang Wangi , termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sudah ditempatkan di depan Masjid Kampung Baru dan kawasan sekitarnya sejak jam 11 pagi tadi sebagai langkah berjaga-jaga.

Jurucakap polis berkata, mereka hanya akan bertindak jika berlaku rusuhan atau perkara yang menganggu ketenteraman awam.

Tiada kejadian tidak diingini berlaku di sana.

Sehingga jam 2.30 petang, mereka yang dianggarkan sebanyak 5,000 orang kini berada di Jalan Tunku Abdul Rahman iaitu berhadapan dengan Kompleks Sogo setelah berarak dari Masjid Kampung Baru mengikut Jalan Raja Alang.

Pihak polis masih mengawal ketat perarakan tersebut di sepanjang jalan.

Difahamkan, sekumpulan penyokong pembangkang turut berarak di sepanjang Jalan Raja Laut, menuju ke arah ibu pejabat PAS diketuai ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Lalulintas kelihatan sesak dan dikawal oleh Unit Amal PAS. Pasukan FRU mengambil sikap berjaga-jaga pada kumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di atas simpang dekat Kompleks Pertama-Sogo. Polis turut mengadakan kawalan di Jalan Dang Wangi.

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Nawawi turut membuat ucapan. Salahuddin berkata satu perhimpunan yang lebih besar akan diadakan pada 5 Julai untuk membantah kenaikan harga minyak.

"Rakyat akan berhimpun lagi pada 5 Julai. Pemimpin BN dah kaya raya, rakyat hidup papa," kata Salahuddin.

Keadaan lalu lintas menuju ke persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Dang Wangi turut mengalamai kesesakan. Mereka yang menyertai demo kelihatan berada di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mengelak bertembung dengan polis.

Tiada ulasan: