Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 12 Mei 2009

DASAR YANG TAK PERNAH BERUBAH

Pas tetap mengekalkan dasar kepimpinan ulama seperti diputuskan Majlis Syura pada Muktamar Tahunan Pas 1982 walaupun barisan kepemimpinan parti itu diterajui golongan profesional selepas berakhirnya pemilihan parti bulan depan.

Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, berkata dasar Pas yang memperjuangkan Islam tidak akan tersasar jika dipimpin golongan profesional kerana hal berkaitan dasar ditentukan oleh Majlis Syura Ulama.Beliau yang juga calon Timbalan Presiden berkata, perkara berkenaan jelas sudah termaktub dalam perlembagaan dan semua ahli Pas perlu memahaminya tanpa perlu membangkitkan soal latar belakang kepemimpinan tertinggi parti.

"Jawatan tertinggi parti ditandingi secara terbuka dan tidak kira seseorang calon itu golongan ulama atau profesional. Ia kerana akhirnya sebarang keputusan parti akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulama terlebih dulu jika ada sebarang kekeliruan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.Muktamar Tahunan Pas ke-55 pada Jun ini dijangka menyaksikan perebutan sengit bagi jawatan timbalan dan naib presiden parti itu apabila beberapa tokoh kanannya dicalonkan untuk bertanding mengisi kerusi berkenaan.

Persaingan sengit itu menyebabkan wujud pertembungan antara dua aliran utama dalam Pas iaitu kelompok proulama dengan proPakatan Rakyat Kelmarin, Mesyuarat Majlis Syura Ulama memutuskan pertandingan jawatan tertinggi Pas terbuka kepada semua ahli dan tidak terhad kepada ulama mahupun profesional.Mesyuarat itu bagaimanapun sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan dasar kepemimpinan ulama.

Ketua Dewan Pemuda Pas yang juga calon Naib Presiden, Salahuddin Ayub, berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan dan menentukan barisan kepemimpinan yang layak menerajui parti.

"Ahli parti perlu berpegang kepada amanat Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu menyerahkan kepada perwakilan siapa yang patut berada dalam barisan kepemimpinan parti," katanya.

"Walau siapapun nanti, yang pasti Majlis Syura Ulama akan menjadi pemandu bagi setiap perkara bagi memastikan ia tidak tergelincir dari sempadan yang sepatutnya ahli ikuti," katanya.Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berharap ahli parti itu tidak menimbulkan lagi pertikaian mengenai calon yang layak menyandang jawatan tertinggi Pas.

"Kadang-kadang mereka (pemimpin Pas) tidak rujuk dulu dengan perlembagaan. Majlis Syura Ulama sudah putuskan sesiapa saja boleh bertanding dan boleh berada di kedudukan tertinggi parti.

"Calon dari golongan ulama atau profesional boleh memimpin parti, tetapi Majlis Syura Ulama akan membuat garis panduan untuk menentukan kewajaran sebarang keputusan," katanya.

Tiada ulasan: