Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 12 Mei 2009

S/U POLITIK DERIS KENA LOKAP

Polis Kontinjen Terengganu mendapatkan waran tangkap terhadap Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir kerana beliau gagal hadir memberi keterangan selepas tempoh tiga hari, berakhir jam 3 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC II) Hamzah Mohd Jamil, berkata Ahmad Ramzi masih tidak menghubungi atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, bagi memberi keterangan untuk melengkapkan siasatan kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugut bunuh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), bulan lalu.

Hamzah, berkata berikutan itu, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

"Polis memberi tempoh tiga hari bermula Jumaat lalu kepada Ahmad Ramzi supaya ke IPD bagi membantu siasatan dan jika dia gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan.

"Kita juga mendapatkan bantuan Jabatan Imigresen dan Interpol bagi mengesan Ahmad Ramzi jika dia berada di luar negara. Bagaimanapun, setakat ini polis masih menunggu laporan daripada agensi berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, polis sudah mengeluarkan makluman sejak 25 April lalu kepada keluarga termasuk isteri Ahmad Ramzi yang mengaku tidak tahu suaminya berada.

"Ahmad Ramzi tidak perlu menyembunyikan diri jika tidak bersalah kerana polis hanya mahu mengambil keterangan berhubung kes SMS itu," katanya.

Beliau berkata, polis sudah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan dan hanya menunggu Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan.

Hamzah berkata, siasatan yang dibuat setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh yang diterima Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Mohd Ariffin Abdullah (Paka) bukan dihantar daripada telefon mudah alih milik Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan polis mengenai kes itu dijangka selesai apabila Ahmad Ramzi memberi keterangan.

Pada 13 April lalu, Rosol, Abdul Halim dan Zakaria Abdullah membuat laporan polis selepas menerima SMS yang dikatakan dihantar daripada nombor telefon mudah alih didaftarkan sebagai milik SUSK Menteri Besar.

Berikutan SMS itu, tujuh lagi Adun BN yang bersimpati dengan tiga Adun berkenaan bersepakat tidak hadir pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selagi tidak mendapat jaminan keselamatan polis.

Semua Adun berkenaan bagaimanapun hadir pada hari ketiga sidang DUN selepas diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jaminan keselamatan daripada polis.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 23 April lalu, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta, di Bandar Baru Bangi, serta merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi lelaki terbabit yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berkenaan.

Tiada ulasan: