Perdana Menteri berkata, KPI yang diperkenalkannya bukan hanya pengukur secara kualitatif atau kuantitatif kepada pencapaian serta apa yang perlu dicapai dalam waktu tertentu, malah bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan memuaskan hati rakyat.
Najib berucap kali pertama pada perhimpunan bulanan agensi JPM sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 3 April lalu. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.
Najib berkata, semua jabatan perlu memberikan tumpuan kepada cara menambah petunjuk kepada kepuasan hati rakyat dalam perkhidmatan."Kita boleh selesaikan masalah, penjawat awam yang produktif dan selebih itu saya tekankan pendekatan yang lebih inovatif dan kreatif dalam mengorak langkah jadikan Malaysia negara berjaya pada abad ke-21," katanya.
Perdana Menteri berkata, pendekatan inovatif dan kreatif bukan saja membabitkan penyelidikan dan pembangunan, malah boleh dilaksanakan dalam pentadbiran awam dan swasta seperti kaedah penyelesaian masalah dan proses kerja. "Apabila ada adunan inovatif dan kreativiti, maka kita dapat lonjakan berganda dari segi pencapaian negara, bukan saja peningkatan dalam prestasi," katanya.
Beliau juga berkata, penerapan budaya inovatif dan kreatif perlu bermula pada alam persekolahan dan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sedang mengkaji perkara itu.Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, hubungan pentadbir dengan penjawat awam perlu berasaskan kepada 'wa'ad' dan 'bai'ah' yang menggambarkan satu ikat janji, tautan persetiaan dan komitmen padu antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, hubungan itu pula bukan bersifat sehala, iaitu penjawat awam hanya menerima arahan kerana anggota pentadbiran juga bertanggungjawab memastikan kebajikan mereka. "Atas bahu pentadbiran juga ada tanggungjawab untuk menjaga (supaya) penjawat awam mendapat kepuasan bekerja, skim perkhidmatan yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dan menentukan latihan serta pembangunan kerja dilakukan secara tersusun," katanya.
Perdana Menteri berkata, hubungan diasaskan kepada faktor itu mendorong penjawat awam melakukan tugas dengan penuh komitmen dan kesetiaan tidak berbelah bahagi. "Akhirnya kerajaan akan dapat memberi kepuasan kepada rakyat... rakyat yang puas hati dengan kerajaan ialah rakyat yang akan terus bersama-sama dengan kerajaan," katanya.
ulasan admin:
Najib lupa, kuasa rakyat juga menentukan jatuh bangun beliau sebagai PM.Jika rakyat tak puas hati dengan cara pentadbiran dan pemerintahan beliau, rakyat berhak tukar PM lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan