Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 6 Julai 2009

Surau Taman Kota Laksamana Ibarat ``Retak Menanti Belah''

Walaupun Taman Kota Laksamana, di sini terletak di tengah-tengah kepesatan pembangunan Bandaraya Melaka, namun keadaan surau di taman itu ibarat "retak menanti belah".

Pengerusi Lembaga Surau dan Badan Kebajikan Penduduk Islam Taman Kota Laksamana, Jasmi Md. Sudi berkata, surau kayu itu telah dibina pada tahun 1984 secara gotong-royong oleh penduduk, namun telah mendapat peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM60,000 pada tahun 2002 yang lalu.

"Bagaimanapun, keadaan surau yang telah dinaiktaraf itu hanya dapat digunakan selama empat tahun sahaja kerana struktur asas pemasangan siling telah dimakan anai-anai, sekaligus membahayakan para jemaah untuk bersolat di surau berkenaan," katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Jasmi mendakwa, pada pertengahan tahun 2008 lalu, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubu telah memaklumkan peruntukan bagi membina semula surau itu yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM120,000, namun, hingga kini masih tiada khabar berita.

"Kami penduduk Islam di taman ini tidak dapat melaksanakan solat berjemaah di surau ini, malah sejak dua tahun lalu, kami bersolat Tarawih di masjid-masjid berhampiran seperti di Masjid Selat dan Masjid Kampung Hulu," katanya.

"Saya selaku Pengerusi Lembaga Surau berharap sekiranya peruntukan yang dijanjikan itu dapat disegerakan, harapan penduduk taman untuk melaksanakan solat Tarawih pada tahun ini di surau itu menjadi kenyataan," ujarnya.

Jasmi memberitahu, sekarang ini segala aktiviti kemasyarakatan di taman berkenaan seperti kelas Fardu Ain, mengaji al-Quran dan sebagainya diadakan di bangunan lama Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terletak bersebelahan surau berkenaan.

Jelasnya, terbaru, pada mesyuarat Badan Kebajikan Penduduk Islam Taman Kota Laksamana baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Latiff Tamby Chik yang merasmikannya telah berjanji akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi membina semula surau terbabit.

Tiada ulasan: