Sebanyak 72,051 MyKid masih belum dituntut ibu bapa atau penjaga bayi dan kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun sejak dokumen peribadi itu diperkenalkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2003.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim, berkata jumlah berkenaan daripada 1,438,824 MyKid yang dikeluarkan JPN sehingga 17 Mei lalu.“Walaupun tempoh pengeluaran MyKid hanya mengambil masa 30 hari, lebih 70,000 lagi masih belum dituntut dan kerjasama orang ramai serta ibu bapa perlu untuk membuat kutipan di pejabat kami di seluruh negara,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Pengeluaran MyKid selaras hasrat kerajaan memperluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan semua anak baru lahir diberikan dokumen pengenalan dan maklumat diri itu mulai 1 Januari 2003.
Alwi berkata, walaupun MyKid bukan dokumen peribadi yang wajib dimiliki warga tempatan berusia kurang 12 tahun, ia digalakkan kerana dapat memudahkan urusan rasmi kerana menggunakan nombor 12 digit yang kemudian akan menjadi nombor MyKad.
“Rakyat Malaysia harus mengambil peluang untuk pastikan anak mereka memiliki MyKid bagi bayi atau kanak-kanak yang lahir di negara ini tetapi bukan warga Malaysia, mereka tidak layak memohon MyKid,” katanya.
Beliau berkata, antara kelebihan MyKid adalah saiznya yang kompak berbanding sijil kelahiran yang bersaiz A4, selain mencatatkan maklumat asas kanak-kanak seperti nombor identiti 12 angka, nama, alamat, jantina serta taraf kanak-kanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan