Kementerian Pelajaran sedang mengkaji secara mendalam untuk melaksanakan ‘lesen perguruan’ kepada pendidik di negara ini bagi meningkatkan integriti perguruan. Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan diterima kementeriannya itu bagaimanapun bergantung kepada kesesuaian dan keperluan sebelum dilaksanakan.
“Ada cadangan yang kami akan kaji dan lihat sama ada guru memerlukan lesen macam doktor dan akauntan. Apabila ada sijil, kalau peraturan dilanggar maka sijil itu akan ditarik balik dan tidak boleh diamalkan.“Guru juga harus mewujudkan badan profesional, tetapi kami perlu menerokai dalam keadaan kami mempunyai 390,000 guru yang juga jumlah besar. “Bukan perkara mudah untuk mempertahankan integriti guru,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussein dan Pengetuanya, Fauziah Muhamad.Katanya, cadangan mengkaji lesen perguruan tepat pada masanya berikutan pelbagai insiden dan salah laku jenayah membabitkan golongan itu mencemar kerjaya perguruan.
“Soal integriti perlu menjadi perhatian. Kalau integriti guru tercemar, akhirnya orang akan hilang kepercayaan.
“Berikutan itu, ada cadangan mengkaji lesen perguruan di kalangan guru.“Saya dukacita kes seperti ini (jenayah) yang sepatutnya tidak berlaku, tetapi diharap ini tidak akan mencemarkan imej perguruan.
“Bagaimanapun, kementerian tidak berkompromi (dalam kes membabitkan jenayah) dan akan mengambil tindakan tegas,” katanya. Ditanya sama ada cadangan untuk mengkaji lesen perguruan itu sudah dikemukakan kepada Kabinet, Mohd Puad mengesahkan ia belum diusulkan kementeriannya.“Cadangan itu belum diusulkan di Kabinet, sebenarnya kami sedang menerokai, tetapi kajian belum dibuat. Ini bukan mudah kerana profesyen perguruan membabitkan jumlah yang ramai. “Apakah dibenarkan kita mewujudkan badan profesional seperti ini? Sebab kalau peguam dan doktor, mereka ada doktor swasta dan peguam swasta yang memiliki firma guaman atau klinik persendirian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan