Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 12 Jun 2010

Kibar Bendera PAS Sempena Sukma XIII

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu hingga ke siku dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu hingga ke kedua-dua mata kaki dan jika kamu junub, maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan kembali daripada tempat buang air (tandas) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperolehi air, maka bertayamum dengan tanah yang baik (bersih), sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah SWT tidak menyukarkan kamu, tetapi dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur." (Al-Maidah: 6)***

MENDEKATI ahli parti peringkat akal umbi memberi peluang kepada seseorang menyelami nuraini mereka. Kebanyakan perkara yang luahkan adalah daripada isi hati mereka yang benar-benar mahu melihat kesinambungan perjuangan parti atau pakatannya terus berbunga sehinggalah kepada kejayaan mentadbir negeri dan negara.

Baru-baru ini penulis berpeluang berbincang dengan beberapa ahli PAS Melaka yang begitu bersemangat mahu melihat PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat mentadbir negeri Melaka yang udara dan cuacanya kini membahang tidak kira siang atau malam, dipercayai akibat pelbagai gejala kurang sihat yang bermaharajalela di negeri ini. Pelbagai kejutan berlaku, sehinggakan dilaporkan ada buaya dikesan di perairan negeri manakala Ketua Menteri mengizinkan sebuah syarikat melakukan uji kaji ke atas binatang.

Sekutu PAS dalam Pakatan misalnya DAP sudah mempunyai kerusi dalam Dun Melaka, namun parti Islam itu masih terbenam dengan impian melahirkan anak sulungnya. Demikian juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih tertunggu-tunggu buah pertamanya, tetapi insya-Allah, berdasarkan perkembangan semasa, hasrat itu akan tertunai jua.

Namun, impian tidak sewajarnya dibiarkan dengan angan-angan. Kerja keras perlu dilakukan mulai sekarang. Yang lepas itu sudah lepas, tak usah dikenang-kenang. Kritikan bukan untuk menjatuh, tetapi untuk memuhasabah diri seterusnya melakukan langkah-langkah pembaikan.

Salah seorang ahli akar umbi yang hanya mahu dikenali sebagai Wak mendakwa kerja-kerja PAS Melaka adalah pada peringkat sederhana saja, malah boleh disifatkan sebagai lesu. Kata beliau kelas pengajian dalaman jarang diadakan manakala majlis ceramah yang dulunya cukup popular kini ibarat hidup segan mati tak mahu.

“Kalau ada pun ceramah, saya perhatikan pengerusi majlis banyak membebel, sepatutnya berilah masa yang lebih panjang kepada pencemarah undangan yang datang dari jauh. Bayangkan pada satu-satu majlis (malam) ada tiga penceramah, apabila pengerusi banyak mengulas, berapa banyak masa penceramah boleh bercakap sedangkan majlis perlu berakhir jam 12.00 tengah malam?” tanyanya.

Beliau mahu kepimpinan PAS Melaka memikirkan strategi untuk menyemarakkan kembali majlis ceramah yang semasa era reformasi dulu dapat menarik begitu ramai hadirin. “Orang sekarang, malahan anak-anak muda sendiri pun tidak berminat mengikuti ceramah, mungkin kita kena fikirkan pendekatan baru untuk menarik minat mereka,” katanya.

Seterusnya, beliau mengkritik kepimpinan dan ahli PAS Melaka yang dakwanya sudah berpuak-puak (ada klik); mereka suka menjadi orang itu dan orang ini. “Perkembangan ini sangat bahaya,” katanya sambil menambah penyakit orang Umno ini sedang menular hebat dalam PAS.

“Kenapa ini berlaku dalam parti, pemimpin itu disenangi, pemimpin ini tidak disukai. Saya cukup bimbang, jika hal ini tidak diperbaiki segera, tautan sesama pemimpin akan hancur, ahli akan hilang pedoman dan kepercayaan,” katanya.

Beliau berpendapat selagi ahli termasuk pemimpin PAS negeri tidak berpadu sukar bagi mereka mendapatkan ‘anak sulung’ apatah lagi menegakkan kerajaan Pakatan Rakyat, sekali gus mengakhiri dominan Umno-BN yang sudah lebih 50 tahun membelenggu pemikiran rakyat, kononnya hanya mereka yang berupaya mentadbir.

Hakikatnya, di negeri ini ada banyak masalah tidak beres sehinggakan Allah SWT datangkan suasana panas, siang dan malam seseorang itu terpaksa berkipas atau memasang penghawa dingin, jika tidak berpeluh-peluhlah dia.

Wak berkata bagi menunjuk dan membuktikan perpaduan, ahli PAS boleh mengusahakan pelbagai cara, yang terdekat mereka boleh berpakat memasang dan mengibarkan bendera PAS di premis niaga dan kediaman mereka sempena penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka pada 10-19 Jun ini.

“Saya perhatikan sekarang ini (wawancara ini dilakukan pada Rabu, 26 Mei), di ibu pejabat PAS di Semabok pun tidak dipasang bendera parti. Bendera PAS tidak berkibar, jadi mana orang tahu kehadiran apatah lagi kekuatan kita. Kalau di ibu pejabat parti pun tak dikibarkan bendera, di markas dan tempat lain tentulah sukar kita melihat bendera parti,” katanya.

Beliau berpendapat ketika Sukma XIII inilah peluang bagi aktivis menunjukkan ‘kewujudan’ PAS dengan mengibarkan bendera parti. “Tidak kiralah bendera PAS, PKR dan DAP, yang penting kita mesti tunjukkan ‘kehadiran’ kita kepada peserta sukan dan orang ramai yang berkunjung ke negeri ini,” katanya.

“Jika gambar Ali Rustam (Ketua Menteri) yang besar boleh dipasang di tiang-tiang lampu jalan-jalan utama di negeri ini, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh kibarkan bendera parti di premis kita sendiri,” katanya.

Sementara itu seorang lagi ahli PAS peringkat akar umbi yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Z yang ditemui di sebuah masjid, berkata tarbiyah di kalangan anak-anak muda tersangat lemah dan perkembangan ini membahayakan perjuangan parti pada masa hadapan.

Katanya, sekalipun mempunyai semangat berkorbar-korbar memperjuangkan parti termasuk mengarak bendera, tidak ramai anak muda berupaya meluangkan masa untuk meningkatkan ilmu mereka.

“Kamu lihatlah sendiri majlis ilmu ini,” katanya. “Ada kamu nampak anak muda? Seorang pun tidak ada, ini sangat bahaya kerana dalam perjuangan menegakkan Islam pembabitan anak muda adalah perlu. Ia hanya boleh dilakukan dengan kefahaman iaitu ilmu,” katanya.

Beliau berkata untuk menghadapi musuh, pejuang Islam perlu memperkasa diri termasuk memperhebatkan munajat, berdoa kepada Allah SWT yang boleh dilakukan dengan bersembahyang, berzikir dan membaca al-Quran.

Katanya, doa adalah senjata ampuh orang mukmin, jadi kalau anak-anak muda hanya kuat dari segi semangat saja tetapi pengisian dari segi ilmu dan amal kurang, dikhuatiri perjuangan menegakkan Islam akan bermasalah.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin parti mempertingkatkan program tarbiyah dan dakwah agar anak-anak muda dapat disiapkan mental (batin) dan fizikal mereka bagi menghadapi perjuangan yang semakin getir.

Katanya, sudah sampai masanya untuk PAS benar-benar menyerap dalam segenap program masyarakat dan tidak semata-mata bergerak secara berasingan di markas dan pusat kegiatan mereka saja kerana interaksi adalah perlu bagi menambat hati orang ramai sekali gus mencerahkan peluangnya pada pilihan raya.

Tiada ulasan: