Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 12 Jun 2010

MULA SEKOLAH 5 TAHUN : PASTI DAH MULA DULU

Rata-rata badan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik cadangan kerajaan supaya kanak-kanak memasuki alam persekolahan mulai umur lima tahun tetapi menyuarakan kebimbangan "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran".

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhamad Razak Idris menyambut positif rancangan tersebut kerana ia akan memberi kesan yang bagus dari segi pembangunan sumber manusia.

Bagaimanapun, katanya, sistem penilaian yang menyeluruh kepada kanak-kanak berumur lima tahun perlu wujud supaya ia memberi kesaksamaan ruang kepada kanak-kanak antara yang bersedia dan yang belum sedia untuk ke sekolah.

"Yang menjadi kerisauan saya ialah pelajar di luar bandar yang tidak mampu dari segi perkembangan minda yang belum sempurna berbanding pelajar di bandar.

“Kita alu-alukan usaha ini tetapi ianya harus seiring dengan proses penglibatan kualiti pendidikan luar bandar dengan di bandar.

"Penurunan umur bukan paksaaan. Ia harus menerusi beberapa tahap ujian di peringkat pra-sekolah bagi memilih kanak-kanak yang boleh memasuki sekolah rendah," katanya diminta mengulas cadangan tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Bagi kanak-kanak yang tidak bersedia, tambahnya, mereka perlu diberikan pendedahan pendidikan asas sehingga mereka memasuki sekolah rendah pada umur tujuh tahun.

Namun, katanya, perlu wujud satu sistem penilaian pencapaian bagi memastikan kanak-kanak yang tidak bersedia ke sekolah, supaya tidak wujud paksaaan untuk mereka pergi ke sekolah rendah.

Setiausaha Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Mohd Aizat Mohd Salleh pula berpendapat bahawa cadangan tersebut perlu diukur dari beberapa aspek.

"Saya tidak pasti sejauhmana keberkesanan cadangan ini. Ia perlu dilihat dari beberapa aspek. Umur seawal lima tahun akan mula belajar. Kalau dah bersedia ke sekolah, tidak ada masalah, cuma apa yang ditakutkan kalau mereka tidak bersedia, itu yang akan timbul masalah," ujarnya.

Beliau turut tidak yakin dengan rancangan tersebut yang akan dimulakan di kawasan luar bandar dan perladangan.

"Sama macam kes pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), mereka yang di luar bandar agak bermasalah. Ini kerana, mereka (di luar bandar) kurang berpendidikan dan dikhuatiri ia akan mendatangkan masalah kepada guru-guru.

"Saya takut yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran," tegasnya.

Mohd Aizat berkata, sistem ini kurang praktikal kerana masyarakat luar bandar kurang pendedahan dan kelengkapan berbanding kanak-kanak di bandar.

"Saya rasa mereka memerlukan strategi yang lebih panjang dan tidak boleh melakukannya dalam masa yang terdekat," katanya.

Setiausaha Agung, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha'ani Abdullah pula berkata, jika rancangan ini dilaksanakan kelak, penambahan kemudahan perlu dirancang.

"Perancangan ini bukan mudah untuk dilaksanakan dalam masa yang singkat. Banyak perkara perlu dipertimbangkan dan perancangan yang rapi perlu diambil supaya kemudahan mencukupi di sekolah.

"Cadangan ini merupakan suatu perkara yang positif terhadap pendidikan awal tetapi ianya tidak menjamin kualiti modal insan yang baik,” katanya.

Tambahnya, kemahiran dan kepakaran tenaga pengajar harus yang terlatih dan mencukupi agar pelaksanaannya akan menampakkan kesan.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), ditetapkan lebih ramai kanak-kanak akan memasuki sekolah pada umur yang lebih rendah iaitu lima tahun selaras dengan amalan di negara maju.

Pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat dan akan dimulakan di kawasan luar bandar dan perladangan terutama di sekolah yang kurang murid bagi membolehkan pelajar dari kawasan berkenaan mendapat manfaat daripada asas pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal.

Tiada ulasan: