Rata-rata di dunia, kegagalan sistem Kapitalis terus terserlah. Kepincangan ekonomi dunia khususnya Eropah pada ketika ini semakin parah dan Britain semakin merasa bahangnya. Buktinya, Britain terpaksa menaikkan yuran pengajian pelajar untuk menampung kesan dan akibat daripada kemerosotan ekonomi Kapitalis.
Bukan sahaja di Britain, dunia termasuklah Malaysia pada hari ini terus menderita di bawah kongkongan Kapitalis dunia yang diketuai oleh Amerika. Terlampau banyak fakta yang boleh kita paparkan untuk membuktikan betapa rosaknya kehidupan manusia di dalam sistem kehidupan Kapitalisme saat ini dan bukan hanya di dalam pendidikan. Ini berbeza dengan Islam sebagai suatu ideologi yang pernah diterapkan dan memayungi dunia selama lebih 1300 tahun lamanya.
Di dalam Islam, sistem pendidikan menjadi salah satu keutamaan kerana ia akan menghasilkan potensi insan yang bersahsiah Islam dan ini amat penting untuk menjamin kelestarian Daulah. Kerana itulah ia harus memastikan bidang tersebut dijamin dari segi kualiti dan kewangannya. Pelajar seboleh-bolehnya tidak akan dibebankan kerana mereka harus terus menumpukan usaha mereka di dalam menuntut ilmu dan kemudian akan keluar untuk berkhidmat kepada umat. Sebarang kekurangan akan ditampung oleh Daulah dan sekiranya masih tidak mencukupi maka sejumlah dana harus dikumpulkan dari mereka yang berharta di kalangan umat.
Namun, di dalam sistem Kapitalis hari ini, Negara tidak menganggap sistem pendidikan sebagai satu tanggungjawab yang mutlak. Ini adalah kerana, apabila ada keperluan mendesak, Negara terus menekan para pelajar sedangkan mereka yang kaya terus dibiar mengaut kekayaan semaksima yang mungkin tanpa mengendahkan keperluan umat kerana bagi sesebuah negara kapitalis, individu-individu kaya inilah yang akan menjamin kekuasaan mereka. Jadi, sampai bilakah umat akan terus dikikis dan dihakis sedangkan golongan konglomerat dan individu kapitalis dibiar terus mengikis dan menghakis darah dan keringat mereka? Ayuh, sahutlah perjuangan menegakkan khilafah agar umat dapat keluar daripada kesengsaraan ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan