Salam perjuangan dan persahabatan dari saya dan EXCO DPP Malaysia buat seluruh warga belia negara. Sempena sambutan Hari Belia, suka saya menarik perhatian semua khasnya para belia kepada beberapa noktah untuk penelitian bersama ke arah membina masa depan agama, bangsa dan negara yang mendapat keampunan tuhan.
1. Sesungguhnya belia merupakan tonggak kepada sesebuah negara. Belia yang mempunyai nilai jati diri hebat juga merupakan aset terpenting negara. Kita mengerti proses pembaratan [ westernization ] semakin menular namun langkah kita tidak boleh berhenti dan membiarkan ia terus melanda generasi belia hari ini, lantaran syair yang mendesak semangat juang kita senantiasa berdengung di cuping telinga :
لنا يد و العمل لنا غد و الأمل
Kita mempunyai sumber tenaga dan tugasan [ yang perlu diurus ], kita juga mempunyai masa depan dan wawasan [ yang perlu ditunai ]
2. Kita seharusnya konsisten mengatur langkah untuk menganjakkan kepompong paradigma belia. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan supaya negeri - negeri yang diterajui Pakatan Rakyat membuka ruang seluas - luasnya kepada golongan belia untuk mereka mengasah bakat kepimpinan termasuklah menyediakan platform yang sesuai bagi mereka bersuara seperti sudut pidato dan forum anak muda.
3. Sementara itu, Kita juga harus menyedari bahawa generasi belia yang ada hari ini merupakan acuan sistem pendidikan kebangsaan terhadap generasi remaja sewaktu mereka di alam persekolahan beberapa tahun sebelum ini. Generasi remaja yang sedang dibangku sekolah hari ini pula, merupakan generasi belia di masa akan datang.
4. Gejala keruntuhan akhlak dan kebejadan sosial yang berlaku dikalangan belia hari ini juga menjadi indikator yang jelas tentang kelemahan sistem pendidikan kebangsaan. Malah sekiranya kita melihat kepada aspek yang lain seperti perpaduan kaum, keyakinan upaya diri dan daya saing dikalangan generasi belia, kesemuanya menunjukkan sistem pendidikan nasional perlu direformasikan.
5. Malang sekali dasar - dasar berkaitan dengan pendidikan seumpama "sekali air bah sekali pantai berubah" iaitu mengikut kehendak atau selera siapa yang menjadi menteri berkenaan.
6. Peranan golongan belia dan anak muda bukan hanya perlu diperkasa dalam sektor sosial dan ekonomi semata - mata tetapi juga dalam politik. Peranan mereka dalam PRU ke 12 yang lalu sememangnya diakui, malah mereka juga berperanan penting dalam siri pilihanraya kecil pasca tsunami politik 2008. Dewan Pemuda PAS begitu menyedari bahawa golongan anak muda ini tidak mewarisi politik lama yang lebih menjurus kepada perkauman dan konflik, sebaliknya golongan ini lebih terbuka dan rasional.
7. Lantaran itu, saya turut mengambil kesempatan untuk menyeru kepada setiap peringkat anggota pemuda PAS agar mendalami perubahan ini yang bakal mewarnai wajah politik Malaysia di masa hadapan. Wajah baru politik Malaysia sebenarnya telah direalisasikan oleh golongan anak muda, justeru peranan mereka dalam sektor politik tidak boleh diperkecilkan.
8. Meledak suhu perubahan ke arah kerajaan dan pemerintahan yang lebih baik, sejahtera, adil, berkebajikan dan mesra anak muda, saya ingin mengingatkan dan malah menekankan betapa pentingnya golongan belia hari ini yang telah layak mengundi untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih yang sah dan layak.
9. Sekiranya generasi belia ini terdidik dengan tanggungjawab politik mereka sebagai rakyat Malaysia, saya yakin mereka lebih bertanggungjawab dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui negara kelak dan kemungkinan untuk mereka menjana satu lagi tsunami politik adalah lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke 13 kelak.
10. Justeru itu, kita memberi penegasan kepada semua angkatan belia agar menolak perancangan halus pihak yang tidak bertanggungjawab menaja budaya hedonisme untuk melalaikan pemikiran dan merosakkan peribadi belia agar terus hanyut dan tenggelam dibawa arus jahiliyyah tanpa perlu lagi mereka memberikan perhatian kepada gerakan perubahan demi masa depan negara, bangsa apatah lagi agama.
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan