Hari ini 30 November 2011 telah tercatat satu lembaran sejarah baru buat aktivis mahasiswa dan alumni Universiti Malaya setelah hampir 45 tahun berlalu.
Pentas ‘Speaker Corner’ mahasiswa yang ditubuhkan sekumpulan anak muda ketika itu telah kembali ke tapak asalnya pada hari ini selama hampir 1 jam (bermula jam 10 pagi) untuk mengembalikan nostalgia dunia mahasiswa UM.
Ditubuhkan 1966, mereka kembali menghangatkan pentas ‘Speaker Corner’ Universiti Malaya sebentar tadi setelah 45 tahun ia diasaskan.
Ramai teruja aksi pemidato
Ravee Raghavan (Pengasas Sudut Pidato 1966), Ghazali Yusof (Pengasas Sudut Pidato 1966), R. Thillainathan (Pengasas Sudut Pidato 1966), Khong Kim Hoong (Presiden UMSU 1968/69), Syed Hamid Ali (Presiden UMSU 1969) dan Yoong Suan (Pengasas Kelab Sosialis UM) telah bergabung suara keramat mereka hari ini untuk menggamit nostalgia 45 tahun.
Kira-kira 150 mahasiswa dan aktivis hadir dalam perasmian yang dilancarkan Naib Canselor UM.
Rata-rata mahasiswa alaf baru dalam tinjauan di beberapa laman sosial teruja dan gembira dapat menyaksikan secara ‘live’ tokoh-tokoh hebat UM kembali memecahkan suasana pidato mahasiswa sebentar tadi.
Diberitakan juga, terdapat satu pameran dan jamuan ringan disediakan penganjur sebaik sahaja selesai ‘suara keramat’ alumni Universiti Malaya dipentaskan.
Naib Canselor ‘tulang belakang’ sambutan 45 tahun ‘Speaker Corner’ 2011
Menurut sumber, individu yang memainkan peranan penting menganjurkan sambutan 45 tahun ‘Speaker Corner’ UM hari ini adalah Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.
Ghauth Jasmon diberitakan bersemangat dan bertungkus lumus dalam memastikan ‘Speaker Corner’ di Universiti Malaya kembali ‘panas’ dan ‘meletup’ di mata warga kampus UM.
Naib Canselor bersama Timbalan Naib Canselor HEP UM, Datuk Rohana Yusof diberitakan turut sama-sama hadir bagi meraikan kehadiran alumni-alumni UM berkenaan.
Selain itu, turut bersama adalah aktivis muda sosial, Fahmi Reza yang terkenal dengan sejarah mahasiswanya yang hadir bagi tidak melepaskan peluang merasai suasana nostalgia tersebut.
Namun, tidak ketinggalan juga beberapa wakil MPMUM dan PMIUM turut diberi peluang merasai suasana pentas ‘asal’ yang dikembalikan nostalgianya hari ini.
MPMUM diwakili Nasrul Alam, Mohd Syahid Mohd Zaini, Tan Tiong Yih dan PMIUM diwakili Naib Presidennya, Rohayu Rusli.
Situasi berlainan UM, UKM
Jika di Universiti Malaya, pentadbiran amat menyokong usaha penggiat ‘Speaker Corner’ yang sering dipanaskan dengan isu-isu semasa dan suara keramat ‘Student Power’, lain pula situasinya di sebuah lagi universiti Lembah Klang di Bangi.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini dikejutkan dengan syarat baru yang ditetapkan pentadbiran mereka yang ternyata seakan-akan tidak mengikhtiraf suara keramat mahasiswa.
Bulan ini (November), pentadbiran UKM telah mengeluarkan pekeliling baru terhadap peraturan menganjurkan ‘Speaker Corner’ di kampus tersebut (baca).
Situasi berkenaan ternyata menimbulkan 1001 persoalan terutama aktivis mahasiswa tatkala beberapa universiti sudah memainkan peranan masing-masing untuk menghidupkan suasana ‘Speaker Corner’ mahasiswa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan