Kuala Lumpur, 30 Nov : Festival Mahasiswa Nasional 2.0 (FEMINA) yang dianjur Exco Hal Ehwal Wanita MPMUM disabotaj pentadbiran universiti.
Exco Hal Ehwal Wanita dengan kerjasama NAM,Institute For The Empowerment Of Women Malaysia (NIEW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, diberitakan akan mengadakan program mega berkenaan mulai 2 Disember hingga 4 Disember ini di Universiti Malaya Kuala Lumpur.
FEMINA 2.0 merupakan kesinambungan FEMINA 1.0 yang diperkenalkan barisan kepimpinan MPMUM Sesi 2008/2009 di bawah kendalian MPM Shahrizul Ayuni.
Menurut maklumat yang diperoleh, cubaan sabotaj itu telah mula dijalankan pentadbiran Universiti Malaya dan juga beberapa universiti lain di seluruh negara.
FEMINA tekad teruskan program
FEMINA 2.0 menurut Pengarahnya, Siti Najwa Haron (atas) bertekad akan cuba mengumpulkan seramai mungkin wakil-wakil mahasiswi dari seluruh negara untuk membincangkan peranan mahasiswi dalam mendepani arus massa.
“Golongan wanita terutamanya mahasiswi perlu menonjolkan peranan yang penting dalam mendominasi informasi, isu, masalah dan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat dan kesan serta kaitannya dengan fungsi wanita”, ujarnya dalam satu kenyataan.
Namun, hasrat itu mungkin tidak kesampaian di peringkat penganjur berikutan terdapat halangan besar di peringkat Bahagian Hal Ehwal Pelajar di UM dan juga beberapa universiti lain.
“Ya, memang ada halangan yang sedikit sebanyak merencatkan persiapan program.”, ujar seorang tenaga penggerak utama program berkenaan yang enggan dikenali.
“Halangan itu berhubung dengan jemputan wakil-wakil MPP dan mahasiswa IPT seluruh negara yang mana kelulusannya dihalang pentadbiran universiti.
“Dan kami dapat maklumat, halangan itu adalah ‘kerjasama’ yang dilakukan di peringkat HEP UM dan juga HEP-HEP di kampus lain.”
“Rata-rata MPP dan wakil mahasiswa respon kepada kami ingin turut hadir bagi bersama-sama memeriahkan program.
“Namun hasrat mereka dihalang daripada mendapat kelulusan HEP kampus masing-masing.”, tambahnya yang turut menyatakan pihak penganjur sedang berusaha sedaya-upaya memastikan sasaran mengumpulkan seramai mungkin mahasiwa/i tercapai.
Senator Mumtaz turut dihalang
Dan menurut isu berlainan yang hampir sama situasinya, seorang jemputan kenamaan diberitakan akan dihalang daripada memasuki Universiti Malaya walaupun di pihaknya sudah mendapat kelulusan.
Senator Hajah Mumtaz Md. Nawi, seorang aktivis dan merupakan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS (mulai 2009) telah dihalang daripada terlibat dalam FEMINA 2.0.
Beliau yang dilantik menjadi senator pada 2006, merupakan lulusan Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim / bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akan terlibat secara langsung sebagai salah seorang panel forum.
Akan tetapi, pihak penganjur dimaklumkan akan tetap meneruskan acara bersama senator terbabit.
Pihak HEP UM dan Datuk Rohan Yusof (Timbalan Naib Canselor HEP UM) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan sebab berhubung perkara-perkara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan