Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei kesal tindakan zalim polis terhadap peserta perhimpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ 28 April lalu.
“Dikesalkan tindakan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam menangani peserta perhimpunan yang bukan sahaja dihadiri warga tua, malah anak-anak kecil dengan tindakan pengecut dan bacul membedil gas pemedih mata dan menembak air kimia ke arah mereka; mirip benar seperti dilakukan polis Israel.
“Kezaliman PDRM dalam Bersih 2.0 rupanya diteruskan juga pada Bersih 3.0 walaupun Menteri Dalam Negeri sudah mengisyaratkan agar PDRM dapat bertindak sewajarnya berlandas kepada peraturan,” katanya pada kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas insiden keganasan polis ke atas peserta dan golongan media.
Shuhaimi berkata, tindakan polis itu sama sekali tidak mengikut prosedur bahkan sengaja bertindak zalim kepada peserta membuktikan negara masih dijajah Umno.“Tembakan gas rambang yang tidak disasarkan ke udara, malah ditujukan agak mendatar terus ke arah para demonstran, menyaksikan ratusan kecederaan, yang malangnya tidak mahu dimuatkan dalam berita arus perdana.
“Kalau dalam etika perang pun perkara yang dilakukan PDRM boleh dianggap keterlaluan dan zalim. Malah wakil antarabangsa yang dijemput Parlimen Malaysia termasuk daripada Pakistan dan Australia menganggap Malaysia ‘jumud’ dan ‘keterbelakang’ apabila melihat gerak gaya Umno BN,” ujarnya.
Justeru itu, katanya KEADILAN Selangor akan menganalisa video dan gambar Bersih 3.0 bagi membuktikan kepada awam bahawa dakwaan polis mengatakan peserta bertindak liar adalah tidak benar.“KEADILAN Selangor sedang dan akan terus menganalisa segala video dan gambar daripada pelbagai sumber untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Bersih 3.0 adalah aman.
“Namun, ‘amarah rakyat’ dilihat sudah tidak dapat dibendung lagi. Sudah sampai masanya apabila kezaliman dan keganasan PDRM terhadap rakyat Malaysia berleluasa dan dibela oleh sang penguasa, rakyat pasti menghukum Umno BN dalam PRU 13 akan datang,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan