Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 1 Mei 2012

Rekod buruk Ketua Polis Negara bermula

Pimpinan KEADILAN melabelkan tindakan ganas polis dalam menahan peserta perhimpunan pada demontrasi membantah kenaikan tarif air pada 5 Disember 2010 lalu, sebagai ‘rekod buruk pertama Ketua Polis Negara (KPN) yang baru”.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin,menyifatkan penangkapan yang dilakukan polis membuktikan tahap sebenar ketelusan dan kebertanggungjawaban PDRM dalam melaksanakan tugas mereka.
Pada 5 Disember lalu terdapat dua kumpulan peserta demo berhimpun di Kuala Lumpur., satu kumpulan terdiri daripada warga Selangor yang membantah cadangan menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sementara satu lagi kumpulan menggelar diri mereka Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps).
“Insiden buruk ini mencalarkan integriti PDRM dan kredibiliti KPN baru, Tan Sri Ismail Omar. Rekod buruk pertama KPN ini membuktikan polis masih berterusan mengamalkan sikap “double standard” dalam melaksanakan tugas.
“Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa semua institusi kerajaan kini, termasuk PDRM dan FRU diperkudakan demi kepentingan politik BN-Umno,” kata Zuraida.
Beliau merujuk kepada tindakan polis mengasari peserta demo menentang kenaikan harga air sehingga ada yang mengalami patah kaki dan peserta wanita pengsan disembur gas pemedih mata. manakala peserta demo Gaps yang didalangi Perkasa serta Pemuda Umno tidak pula ditangkap atau diapa-apakan.
“Warga Selangor yang ingin menuntut keadilan telah ditahan dan disekat secara ganas dengan menggunakan water cannon dan gas pemedih mata, sebaliknya Gaps yang lebih jelas berunsur perkauman dan mencetuskan provokasi dibenarkan berhimpun dan melakukan huru-hara,” kata Zuraida lagi.
“Profesionalisme PDRM juga layak dipersoalkan kerana bersikap biadap dengan tidak menghormati Masjid Negara sebagai sebuah premis rumah ibadah apabila berterusan gas pemedih mata dilepaskan di perkarangan masjid hingga menjejaskan orang awam yang bersolat,” demikian kata Zuraida membidas PDRM yang menceroboh perkarangan Masjid Negara untuk bertempur dengan peserta demo.
Tindakan polis yang ganas juga bertentangan dengan impian meletakkan Malaysia di mata dunia sebagai negara yang mendahulukan rakyat.
“Perlakuan ganas pihak berkuasa ini benar-benar memalukan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi membangun, sekaligus bertentangan dengan hasrat untuk memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara bertaraf maju dan kerajaan yang mementingkan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: