PAS tidak menolak kemungkinan dan bersedia menghadapi himpunan Bersih 4.0 jika kerajaan gagal membuat perubahan daripada kejayaan penganjuran Bersih 3.0 pada 28 April lalu.Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan jika kerajaan tidak membuat perubahan sebagaimana tuntutan Bersih 3.0, tidak mustahil Bersih 4.0 akan diadakan lagi.
Menurutnya, tuntutan Bersih 3.0 agar kerajaan membuat perubahan dengan kebebasan media dilaksanakan, tidak ada penipuan dalam pilihan raya, bersihkan daftar pemilih dan sebagainya.
“Kita tengok dulu Bersih 3.0 sama ada kerajaan buat perubahan atau tidak. Jika kerajaan tidak buat perubahan, media tidak bebas, pilihan raya tipu lagi, daftar pemilih tidak bersih, kita akan buat lagi.“Celup dakwat pun belum tentu lagi, dakwat jenis mana kita tidak tahu lagi. Ketua-ketua pengarang yang cuba hendak bebas akan dipecat dan dilantik yang ikut arahan sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) kali ke-43, di Dewan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (Kudqi), Kubang Lembek, Manir,.
Ketika menjawab dakwaan kerajaan bahawa peserta Bersih 3.0 bertindak ‘ganas’ beliau mahu siasatan secara rapi dan adil dilakukan bagi mencari pihak bertanggungjawab.
Katanya, demonstrasi di negara ini cuba dibendung, disekat dan dikawal dengan kawalan-kawalan yang boleh mengongkong bukan kawalan yang boleh meluahkan rasa dengan bebas.
“Kerajaan kena siasat siapa bertanggungjawab. Minta siasatan itu secara adil dan hakim juga kena adil. Kebebasan kuasa itu kena ada antara badan kehakiman dengan eksekutif. Ini penting dalam sistem demokrasi,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan