SEKARANG ini virus 'gila bola' sekali lagi melanda seluruh dunia dengan mulanya pertandingan Euro 2012. Apabila ada perlawanan, peminat bola berkumpul di kedai mamak 24 jam untuk menonton bersama.
Euro 2012 turut mendapat tempias dijadikan sebab kepada penganjuran perjudian yang digambarkan keuntungan lumayan. Ini menunjukkan judi sukar dibendung walaupun ada pemantauan daripada pihak berkuasa.
Judi ialah permainan mengandungi taruhan daripada kedua pihak yang juga menimbulkan keuntungan bagi satu pihak serta kerugian kepada pihak lainnya. Judi ada undur taruhan, permainan yang menentukan menang kalah serta pihak meraih keuntungan, setengahnya pula menanggung rugi.
Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita, anak pinak, harta yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang sebaik-baiknya. - Surah Al Imran, Ayat 14
Pertaruhan yang bergantung pada nasib boleh membawa kepada unsur judi jika tidak berhati-hati sama ada ia sedikit atau banyak, kecil atau besar. Hukum Islam jelas mengharamkan apa juga taruhan berunsurkan judi.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan menenung nasib dengan batang anak panah adalah keji termasuk dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu supaya kamu mendapat kejayaan.” (Surah Al-Maidah, ayat 90)
Maksud lebih mendalam dijelaskan lagi pada ayat seterusnya yang menerangkan keburukan judi sehingga ia diharamkan ke atas umat Islam. Judi menimbulkan permusuhan, kebencian dan memalingkan manusia daripada mengingati Allah serta mengerjakan solat.
Begitulah, pengharaman judi dijelaskan dalam firman bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah, ayat 91)
Judi mudah menarik minat kerana sifat tabii manusia yang suka kesenangan dan harta benda, lebih-lebih lagi jika kesenangan itu diperoleh dengan cepat, mudah tanpa perlu berusaha keras.
Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita, anak pinak, harta yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang sebaik-baiknya.”(Surah Ali-Imran, ayat 14)
Walaupun kesenangan boleh diperoleh dengan mudah serta cepat, lebih banyak keburukan dan kerosakan akibat perbuatan judi antaranya memakan harta secara batil, terjebak jenayah, mencederakan jiwa, mensia-siakan keluarga, melakukan perkara keji dan hina serta permusuhan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar dari manfaatnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 219)
Ada kala amalan judi ini tersembunyi dan mengelirukan contohnya atas nama permainan, peraduan, sukan, pelaburan, cabutan bertuah dan sebagainya. Umat Islam hendaklah mengenal pasti supaya tidak terbabit dalam perkara mempunyai unsur haram seperti judi dan pertaruhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan