Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan logo dan tema Hari Kemerdekaan bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat pada Khamis ini.
Keputusan pemilihan logo akan diputuskan pada Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang akan diadakan pada Khamis sebelum pengumuman itu dibuat.
Namun bagi Negeri Kelantan dan Kedah telah diputuskan menggunakan tema berlainan setelah perkara tersebut diputuskan lebih awal pada mesyuarat kerajaan negeri masing-masing.
"Kita telah memutuskan apa logo yang sesuai kita gunakan, namun perkara tersebut akan diputuskan pada mesyuarat pimpinan Pakatan pada Khamis ini.
"Namun untuk tema telah kita putuskan sebelum ini, pengumuman tentang logo itu akan dilakukan sendiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Lagu Merdeka
Menurutnya lagi, selain tema dan logo, lagu sambutan hari Kemerdekaan versi Pakatan Rakayat juga telah dicipta oleh komposer terkenal, namun ia juga turut akan diumumkan nanti.
"Pakatan turut menyediakan sebuah lagu bagi sambutan hari Kemerdekaan dan ia telah cipta oleh komposer terkenal.
"Bagaimana bentuk lagu dan komposer akan kita maklumkan nanti," jelas beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan pemilihan tema ini terpaksa dilakukan apabila melihat ketidak bertanggungjawaban kerajaan yang menjadikan tema Kemerdekaan milik mereka.
"Kita ubah kerana melihat sikap tidak tanggungjawab kerajaan yang menjadikan tema tersebut milik mereka," katanya.
Sebelum itu, kerajaan Umno-Barisan Nasional telah memilih tema 'Janji Ditepati' namun ia dikritik pelbagai pihak sebagai tema kempen politik mereka.
Bagi menjadikan tema tesebut lebih umum untuk semua rakyat, Pakatan Rakyat telah memutuskan menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa', manakala bagi Negeri Kelantan telah memilih 'Menerajui Perubahan', dan Kedah pula dengan tema 'Terus Berbakti'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan