Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 7 Ogos 2012

Tanda Putera Cetus Provokasi Menjelang PRU 13

Gagasan 1Malaysia yang diterapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menyemai benih ketegangan di antara kaum, selain menyumbang kepada fitnah yang boleh menggugat perpaduan negara. Trend fitnah seperti yang dapat dilihat dalam pembohongan dan pemalsuan insiden 13 Mei melalui filem tajaan kerajaan, 'Tanda Putera' itu boleh dianggap menggugat perpaduan negara.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dan Hari Malaysia Ke-49, Najib harus berfikir sejenak mengapa polisinya yang terkenal, 1Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini telah menyemai benih ketegangan di antara kaum. "Tidak lain, ianya daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menekankan bahawa pilihan raya umum yang akan datang ini akan bersasarkan “perkauman" kerana “keadaan negara kini bersifat amat rasis berbanding dengan sebelum ini","dakwa ahli parlimen Ipoh Barat itu, kepada Harakahdaily, hari ini. Tambah Kit Siang, dengan berlandaskan agenda program 1Malaysia, Najib telah merekrut angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ Umno dan BN melalui Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang dijalankan di seluruh negara, bukan untuk menyampaikan mesej 1Malaysia tetapi untuk memutarbelitkan kebenaran dan fakta.

 "Apa yang jelas kelihatan adalah akibat buruk tindakan Najib merekrut angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ Umno dan BN apabila menyemai benih prasangka buruk di antara kaum. "Ia jelas berdasarkan kepada rusuhan 13 Mei 1969, di mana angkatan ‘cybertrooper’ ini menyebarkan dakwaan palsu, tidak masuk akal, karut dan berbaur fitnah terhadap saya kononnya saya telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dengan membunuh orang Melayu, selain insiden kononnya saya telah kencing di bawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor, walhal saya tidak berada pun di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969," tegas beliau lagi. 

 Begitu juga dengan beberapa dakwaan lain yang telah diputarbelikan angkatan Media Sosial 1Malaysia, yang menyatakan Setiausaha Agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut terlibat memprovokasi dan mencetus rusuhan 13 Mei sebagai Ketua Pemuda DAP, sedangkan beliau berumur lapan tahun ketika itu. Selain beliau dan Guan Eng, dakwa Kit Siang, mendiang Timbalan Setiausaha Agung DAP, P. Patto, juga tidak terlepas dari tuduhan memprovokasi rusuhan 13 Mei 1969 apabila Patto sendiri tidak berada di Kuala Lumpur pada masa itu.

 "Lebih-lebih lagi, mendiang hanya terjun dalam dunia politik pada 1973 apabila meletakkan jawatan sebagai seorang guru sekolah dan menerima tawaran saya untuk dilantik sebagai setiausaha politik saya," kata Kit Siang. Beliau menambah 43 tahun selepas tragedi 13 Mei, sudah sampai masanya untuk menutup insiden tersebut, bukan sahaja untuk menggunakan titik hitam rusuhan 13 Mei sebagai taktik intimidasi terhadap mana-mana komuniti. Sebaliknya, tegas Kit Siang ia harus digunakan sebagai satu teladan dan pengajaran yang amat penting bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri, status, umur atau jantina untuk menyatukan semua rakyat Malaysia satu perubahan bagi kebaikan negara ini dan rakyatnya, samada BN atau Pakatan Rakyat. 

Malah, tambah Kit Siang, tiada ruang untuk insiden 13 Mei berulang sekiranya kedua-dua gabungan parti-parti politik – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat memberi jaminan secara ikhlas bahawa mereka akan bekerja bersama untuk menghalang kejadian ini berulang dengan mengambil kira kepentingan dan kedaulatan negara. 

"Saya telah menekankan dan menjelaskan secara terbuka bahawa DAP dan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk memberi kerjasama penuh dengan Umno dan BN untuk memastikan tiada ulangan peristiwa 13 Mei dalam pilihan raya umum yang akan datang ini. "Persoalannya, adakah Umno dan BN akan memberi komitmen yang sama terhadap usaha ini seperti kesediaan Pakatan Rakyat melalui PKR, PAS dan DAP?" soal beliau.

Tiada ulasan: