Washington: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan pencabarnya dari Parti Republikan, Mitt Romney berusaha sedaya upaya menunjukkan mereka adalah sahabat karib terbaik Israel dalam debat ketiga menjelang pilihan raya presiden dua minggu lagi. Ketika menekankan bahawa serangan untuk memusnahkan program nuklear Iran adalah langkah terakhir, Obama dan Romney juga menegaskan bahawa keselamatan Israel adalah perkara utama. Tinjauan selepas debat menunjukkan Obama sebagai pemenang dengan Cable News Network (CNN) menyatakan beliau meraih 48 peratus sokongan manakala Romney, 40 peratus.
Pada masa sama, tinjauan CNN juga mendapati 60 peratus responden setuju bahawa Romney berupaya menjadi pemimpin angkatan tentera jika menjadi presiden. Tinjauan CBS News pula menyatakan Obama menerima 53 peratus sokongan berbanding 23 peratus untuk Romney dan 24 peratus menganggap debat itu tiada pemenang, Program nuklear Teheran yang disyaki Barat bertujuan menghasilkan senjata atom adalah antara cabaran terhadap dasar luar presiden seterusnya selepas sekatan gagal menyekat negara Teluk itu memberhentikannya. Dalam isu berkenaan, Obama dan Romney tidak banyak berbeza apabila bersetuju perlunya terus mengenakan tekanan ekonomi terhadap Iran selain melindungi Israel.
"Jika Israel diserang, kita akan lindungi mereka bukan saja dari segi diplomatik tetapi juga kepada penduduk dan secara ketenteraan," kata Romney. "Saya akan sokong Israel jika mereka diserang," kata Obama pula. Pemimpin Israel menganggap senjata nuklear Iran sebagai ancaman. Pada masa sama, Israel turut mempunyai senjata nuklear yang tidak pernah diisytiharkan. "Kita perlu pertingkat tekanan ke atas Iran dari masa ke masa kerana tanpa penyelesaian yang dapat memberhentikan usaha mereka, cita-cita memiliki senjata nuklear tidak dapat diterima Amerika," kata Romney.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan