Ketika guru saya, Almarhum Dr Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha, Mufti Jordan bercuti di rumahnya di Eidon, Irbid selepas dua tahun menjadi duta Jordan ke Iran, saya menziarahinya. Antara soalan saya kepadanya: “Apa yang menarik dan boleh diambil manfaat daripada Iran?’ Beliau menjawab: “Ada dua perkara. Pertama, Iran melantik para ulamanya menjadi pengerusi atau orang penting dalam pelbagai agensi kerajaan. Penasihat boleh sahaja dari pakar-pakar tertentu.
Kedua sanjungan rakyat terhadap ulama mereka sangat tinggi.”
Beliau juga menceritakan kepada saya, ketika di Iran, beliau menunaikan solat Jumaat di pejabat kedutaannya bersama para pegawai kedutaannya dan asing. Katanya pegawai dari kedutaan Malaysia pun ada solat Jumaat di situ. Khutbah Jumaat dalam bahasa Arab diterjemah dalam bahasa Inggeris untuk manfaat pegawai kedutaan yang tidak faham bahasa Arab.
Dua perkara positif yang disebut oleh Almarhum Mufti Jordan itu baik untuk diteliti. Ulama disanjung dan diberi tempat tertentu bagi mengawalselia perjalanan sesuatu agensi supaya menurut agama. Ulama disanjung bukan bermakna dijadikan tuhan atau maksum atau seperti Ayatullah dan mullah. Ulama disanjung kerana para ulama mewarisi Nabi. Warisan ilmu naqli dan aqli, bukan mewarisi wang ringgit atau pangkat dan darjat. Kedua, ulama berperanan penting dalam memantau perjalanan sesuatu agensi supaya berlaku amanah, tidak berlaku khianat dan penyelewengan.
Justeru, bagi para ulama sendiri tentulah mesti mempersiapkan diri dengan ciri-ciri tertentu agar kompeten menerima amanah itu.
Ulama dalam PAS menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah mereka, akidahnya, amalnya, sifat dan akhlaknya. Ulama PAS membaca hadis-hadis Nabi, meneliti sirah Baginda dan menuruti jalannya. Ketua Dewan Ulama dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat telah menjawab seorang bekas mufti yang memberi tanggapan negatif terhadap ulama PAS. Ia mungkin peringatan tetapi kekadang dibaca dan difahami dengan cara yang salah. Oleh itu perlu segera dijawab dan dibetulkan.
Ketika Revolusi Islam Iran meletus dan menjadi perhatian dunia ketika itu, saya masih dibangku sekolah menengah. Ketika di peringkat matrikulasi UKM, agak teruja dengan revolusi itu, bukan kerana syiahnya tetapi kerana suatu revolusi yang menamatkan pemerintahan kuku besi agak lama oleh pemerintah zalim sebelumnya. Sekali lagi, teruja itu bukan kerana syiahnya! Gambar Khomeini diletak di banyak tempat, di dinding almari baju, di atas meja dalam kelas. Dunia Islam kehilangan khilafah. Maka apabila ada sebuah negara yang kelihatan zahirnya diterajui oleh ulama dan orang agama maka tentunya sedikit sebanyak memberi kesan kepada umat Islam di tempat lain. Apatah lagi slogan seperti ‘Amerika Syaitan Besar’, anjuran ‘Hari Quds Sedunia’ dan lain-lain menjadikan umat Islam yang sensitif kepada agamanya agak terkesan.
Malangnya dari sisi yang lain, tanpa sedar atau secara sedar, mereka juga terpengaruh dengan akidah syiahnya lalu berlakulah syiah jadi-jadian atau menganut faham syiah. Yang melampau ialah apabila ada yang sangat celupar mulutnya mengeji dan mencela para Sahabat radhiAllahuanhum ajmain.
Alhamdulillah, walaupun saya ketika itu pernah juga membaca buku ‘Imam Khomeini: The Inspirational Force Of Islam’ dan membaca tulisan Ali Syariati serta beberapa tokoh lain dan pelbagai majalah dan makalah yang sangat cenderung kepada Revolusi Iran ini tetapi tidak pernah pula terfikir dan terdetik untuk menganut fahaman Syiah ini. Yang diambil manfaatnya ialah cara berfikir dan menganalisa yang kritis dan menarik, terutama isu politik antarabangsa dan isu-isu sejagat manusia.
Isu syiah ini seingat saya sudah beberapa kali muncul di Malaysia. Cuma tenggelam timbul. UKM sendiri pernah mengadakan Seminar Ahli Sunnah Dan Syiah Imamiyyah: Aspek Persamaan Dan Perbezaan pada 26 dan 27 Disember 1993. Buku Prosidingnya telah dikeluarkan selepas itu. Resolusinya juga dibuat.
Mutakhir yang berlaku ialah pembebasan Syria oleh FSA dari regim Basyar Assad. B
ukan sahaja negara yang tidak percaya tuhan seperti Russia menyokong, termasuk Cina, bahkan Iran dan Hizbullah juga terheret dan terseret sama.
Tulisan Presiden PAS mengenai isu Syria menjelaskan isu yang berlaku dan sikap PAS dalam isu ini. Dr Yusof al-Qaradawi pula dalam khutbah Jumaatnya mengecam Iran dan Hizbullah yang menyokong regim zalim Bashar Asad membunuh rakyatnya sendiri. Peranan Iran dan Hizbullah dalam menyokong regim Basyar ini amat dikesali. Justeru, sekiranya ada ahli PAS atau mereka yang masih membesar-besarkan Hizbullah atau Ayatullah yang menyokong penyembelihan penduduk Sunni di Syria sekarang, maka mereka mesti menarik balik sokongan dan sikap mereka serta akidah mereka itu.
Cukuplah akidah ahli Sunnah waljamaah. Memadailah Fiqh yang muktabar dan para imam yang telah mentelaah. Istiqamahlah dengan PAS sebagai gerakan dan jemaah. Jadikanlah Nabi SAW sebagai qudwah hasanah, bukannya Syiah, Ayatullah, Hasan Nasrullah atau Hizbullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan