Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPP) menyifatkan kejayaan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka Sabtu lalu sebagai bukti komitmen dan keberanian rakyat untuk melakukan perubahan.
Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al-Jundi juga berkata, HKR juga berjaya membuktikan rakyat yang hadir boleh diberi kepercayaan bagi memastikan keselamatan dan keamanan sepanjang acara berlangsung.
"HKR KL112 adalah peristiwa paling manis dalam sejarah perjuangan setiap aktivis kebangkitan rakyat.
"Selain mega dan megah, perhimpunan ini berjaya membuktikan rakyat yang bangkit menuntut perubahan itu sebenarnya adalah mereka yang bertanggungjawab dan boleh diharap memastikan keselamatan dan keamanan Negara tanpa adanya provokasi daripada pihak polis," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau juga berkata, laungan 'merdeka' yang bergema dalam stadium merupakan simbolik hasrat rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan telus.
"Laungan 'Merdeka Rakyat' itu pula sangat asli dan tulus. Upaya mengetuk pintu kesedaran dan kesungguhan setiap warga bagi sama-sama merealisasikan hasrat menumbangkan regim yang zalim agar kita upaya mengurus tadbir Malaysia secara lebih baik untuk fasa 50 tahun kedua kemerdekaan Malaysia.
"Lebih menarik ianya dilabuhkan dengan doa, Azan Asar dan Lagu Negaraku. Sangat menginsafkan dan membangkitkan semangat," katanya lagi.
Menyentuh mengenai enam tuntutan wanita pula, Aiman berkata, suara wanita berjaya dibawa ke HKR dan yakin ia akan terus diperjuangkan selari dengan perjuangan Pakatan Rakyat.
"Ia berjaya memberi nafas baru dan segar serta penjenamaan baharu khususnya kepada perjuangan Wanita Malaysia yang usaha memacakkan visi merakyat: Martabat dan Hormat Wanita merentas setiap dasar dan program pembangunan negara," katanya.
Enam tuntutan wanita yang dibawa ialah:
1. Kerajaan yang bebas dari rasuah
2. Gaji yang berpatutan
3. Kualiti kehidupan yang lebih baik
4. Hentinya keganasan berasaskan gender/jantina
5. Permansuhan Akta Perhimpunan Aman yang menyekat hak rakyat
6. Pilihan raya yang bebas dan bersih
sumber : HRKH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan