Kerana meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam pilihan raya umum nanti, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, digantung kerja.
Ekoran itu, pelbagai pihak menyifatkan tindakan itu sebagai zalim, "kerana betindak ke atas mereka yang berkata benar."
Namun begitu, banyak pihak yakin, jiwa anak muda tidak goyah dengannya.
"Pasti ada ganjaran untuk si pemberani dan bercakap benar," komen Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail.
Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah dalam PRU 13 nanti.
Beliau berkata, BN akan kalah tipis dalam pilihan raya yang dijangka sengit itu.
Azrul berkata, hasil kajian maklumat menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperolehi antara 97 ke 107 kerusi sahaja dalam pilihanraya umum akan datang, jauh jika dibandingkan dengan prestasi 140 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya umum lalu.
Bagaimanapun, dengan keputusan hasil maklumat ini, Pakatan Rakyat juga hanya menang antara 115 ke 125 kerusi sahaja dan ia sesuatu yang tidak stabil dari segi ekonomi sesebuah negara.
Bank Islam Malaysia dalam kenyataannya 11 Januari lepas, menjarakkan diri dari ramalan ketua penganalisis ekonominya itu, dengan mengatakan “kami tidak terlibat dengan forum tersebut”.
Dalam satu kenyataannya, pengarah urusan BIMB Datuk Seri Zukri Samat memberi komen tentang laporan The Straits Times Singapura itu berkata;
“Kami kesal dengan laporan yang mengaitkan Bank Islam dengan pandangannya dan ramalannya, dan kami mahu laporan yang silap tersebut dibetulkan.
“Untuk pengetahuan anda, Bank Islam tidak terlibat dan tidak berkaitan dalam forum tersebut,” kata Zukri dalam sebuah kenyataan dihantar ke The Straits Times.
Namun hari ini, Azrul Azwar digantung dari tugasnya sebagai Ketua Ekonomi BIMB.
PRU perlu dipercepatkan
Hujung Julai 2012, Azrul dilaporkan berkata, ekonomi dan pasaran akan memberi reaksi lebih baik seandainya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat (pertengahan tahun 2012) berbanding ditangguhkan kepada tahun depan (2013).
Katanya, pandangan itu berdasarkan persekitaran dan ketidaktentuan ekonomi luaran dan dalaman.
Menurut beliau, pelbagai spekulasi mengenai tarikh pilihan raya telah menyebabkan ekonomi dan pasaran tidak boleh bergerak pada landasan yang betul.
Jelasnya, masalah itu dihadapi oleh syarikat-syarikat korporat kerana sukar untuk membuat keputusan dalam operasi dan hala tuju mereka.
"Meskipun ekonomi negara sekarang dalam keadaan baik tetapi keputusan tidak boleh dilakukan kerana sukar untuk menjangkakan apa yang akan berlaku dalam tempoh jangka pendek dan sederhana.
"Malah, ia juga menjejaskan aliran masuk pelaburan asing kerana mereka juga mahu satu kepastian dalam pelaburan yang dibuat.
"Justeru, kebanyakan korporat memang menyambut baik seandainya pilihan raya diadakan lebih cepat," ujarnya sebagaimana dilaporkan Utusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan