Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 12 Mei 2013

Kepentingan Melayu, Islam di bawah raja bukan PM- Aziz Bari

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, kepentingan agama Islam dan Melayu di negara ini dilindungi perlembagaan di bawah bidang kuasa raja-raja dan bukan Perdana menteri. “Soal-soal ini bukan kuasa PM. Apa yang jadi masalah selama ini ialah PM Melayu yang ada, langgar dan tak pedulikan perlembagaan. “Mereka fikir mereka boleh bolot semua; termasuk kuasa dan peranan Raja. Ini silapnya dan inilah yang menyebabkan orang Melayu ada yang takut. “Mereka fikir PM adalah segala-galanya. Ini tak betul,” katanya kepada Keadilandaily.com.

 Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin parti komponen BN, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok bahawa tidak menjadi masalah jika perdana menteri Malaysia seorang beragama Kristian. Menurut Aziz, meskipun perlembagaan tidak menyatakan bahawa bukan Melayu tidak boleh menjadi perdana menteri, namun dalam amalan politik Malaysia, jawatan itu diberikan kepada majoriti. “Tidak ada kontrak sosial di sini; selama ini apa yang berlaku dalam perlantikan PM ialah bahawa orang itu mewakili majoriti.

 “Apa yang lebih menjadi persoalan dengan kenyataan Dompok itu ialah bolehkah atau wajarkah beliau kekal dalam kabinet sedangkan Umno sebagai tunjang Barisan Nasional mengambil sikap yang berbeza,” katanya yang juga Pensyarah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Menurut Aziz, apa yang lebih penting, seseorang perdana menteri yang dilantik perlu mengikuti dan menghormati prinsip perlembagaan. “Sebab itu bagi saya PM bukan Melayu dan bukan Islam mungkin lebih baik sekiranya beliau menghormati perlembagaan. Apa guna ada PM Melayu dan Islam tapi gila kuasa macam Mahathir? Yang penting peraturan diikut, bukan bangsa atau batang tubuh pemegang jawatan itu,” katanya.

Tiada ulasan: