Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 28 Julai 2013

Pengamal Syiah Boleh Dikesan

Mereka yang menafikan penglibatan dalam aktiviti Syiah boleh dikenal pasti melalui perbuatan atau kenyataan mereka kerana ia akan menjurus kepada fahaman itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, walaupun mereka menafikan menyokong gerakan Syiah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengesahkan pembabitan pemimpin itu dalam gerakan Syiah yang berselindung di sebalik Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

“Bukti itu ada, ia tersembunyi. Kita hanya perlu teliti dari aspek kenyataan mereka sebelum ini, sama ada dalam ceramah atau tazkirah yang pastinya ada unsur menyokong fahaman Syiah,” katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah kenal pasti pemimpin politik terlibat dan akan mengambil tindakan jika ada laporan daripada majlis agama Islam negeri.

Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata, setakat ini, kerajaan negeri belum menyediakan laporan berkaitan aktiviti Syiah di negeri ini, dan maklumat berkaitan sedang dikumpul untuk tindakan lanjut.

“Maklumat berkenaan akan dijadikan rujukan dan panduan untuk proses mewartakan fatwa itu, yang akan dibahas dalam sidang Dun 25 Ogos ini. Kita akan wartakan segera fatwa anti Syiah selepas mendapat persetujuan dewan,” katanya.

Bagaimanapun, hanya selepas diwartakan katanya, tindakan boleh diambil terhadap mereka yang terbukti cuba menyebarkan fahaman Syiah.

Mukhriz berkata, fatwa itu tidak akan dikuatkuasakan secara drastik, sebaliknya menggunakan pendekatan berhemah agar pengikutnya kembali ke pangkal jalan.

“Langkah awal ialah mulakan usaha memperbetulkan akidah golongan ini sebelum diambil tindakan perundangan. Ada pihak yang tidak sedar mereka terikut-ikut dengan fahaman itu.

Jadi kita wajar sedarkan mereka dan bawa mereka kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Menurutnya, jika tidak berhasil dan gerakan itu tetap menular secara berleluasa di negeri ini, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/teliti-bukti-tersembunyi-dalam-pengikut-syiah-1.187563

Tiada ulasan: