Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 28 Julai 2013

Pembunuhan Rakyat Mesir; Apa Pendirian Malaysia?

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk kekerasan dan pembunuhan rakyat Mesir yang berhimpun secara aman menyatakan sokongan kepada presiden sah yang digulingkan Dr. Mohamad Morsi. Sehingga kenyataan ini dibuat, lebih 150 penyokong telah terbunuh menjadi mangsa tembakan curi dan tikaman manakala ratusan telah cedera akibat tindakan zalim tentera, polis dan militia Tamarod.

2. Tragedi berdarah ini dicetuskan sebagai provokasi kepada pendokong gerakan Islam untuk mengambil tindakbalas bersenjata. Inilah perancangan jahat AS dan Zionis yang bersekongkol dengan diktator-diktator Arab, bermain wayang dibelakang rejim haram Mesir untuk mencetuskan perang saudara seterusnya dijadikan alasan untuk pihak tentera kekal berkuasa.

3. Rakyat Mesir yang menyokong kudeta ini sedang diperdaya melalui strategi geopolitik licik dengan memainkan sentimen ketakutan mereka terhadap Islam. Dikala rejim beralasan kudeta mereka bertujuan untuk memelihara revolusi Arab Spring, hakikatnya mereka sedang merungkai langkah demokrasi yang sudah dicapai bagi memenuhi dasar pecah dan perintah musuh-musuh Islam ke atas dunia Arab.

4. Dengan implikasi besar yang berpotensi memecah belahkan umat Islam, sikap membisu kerajaan Malaysia di dalam isu Mesir dan permasalahan rantau Arab amat mendukacitakan.

5. Malaysia kononnya ditabal pemerintah sebagai Negara Islam tetapi parlimennya enggan membahaskan isu Mesir. Menteri Luar pula tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk terlibat mencari konsensus berkaitan konflik di Mesir sedangkan ianya merupakan permasalahan Umat Islam yang seharusnya menjadi tonggak polisi luar sebuah negara Islam.

6. Dengan dasar luar yang tidak berdaya menanggapi kepentingan ummah, menunggu Perdana Menteri Dato' Seri Najib sekurang-kurangnya menunjukkan keprihatinan membela nasib umat Islam Mesir yang sedang ditindas ibarat pungguk menunggu bulan.

7. DPPM menggesa kerajaan segera menyatakan pendirian mengutuk pembunuhan rakyat Mesir oleh rejim tentera. Di samping itu, Kementerian Luar perlu mengambil inisiatif untuk menjana konsensus di kalangan negara Umat Islam bagi mencari penyelesaian politik secara aman kepada konflik di Mesir dan rantau Arab. Ya Allah, Kau menangkanlah Islam dan golongan muslimin di Mesir!

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia Merangkap Ahli Parlimen Temerloh

Tiada ulasan: