Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyanggah kenyataan bekas Timbalan
Pengarah Cawangan Khas, Tan Sri Yuen Yuet Leng kononnya parti-parti
pembangkang termasuk DAP, telah dibantu oleh komunis untuk memenangi
banyak kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) 1969.
Dalam kenyataan medianya Lim berkata, walaupun keputusan PRU
1969 mengecewakan Perikatan, ia juga sebenarnya memberi tamparan hebat
kepada Parti Komunis Malaya (PKM) yang menggesa rakyat memboikot
pilihan raya.
Yuen yang dipetik akhbar The Sun, 9 September lalu mendakwa kononnya komunis telah membantu parti pembangkang termasuk DAP memenangi banyak kerusi pada PRU 1969 dengan cara menyusup dalam parti-parti pembangkang sebelum pilihan raya umum berlangsung.
"Komunis telah menyusup masuk ke dalam banyak organisasi sah termasuk parti-parti politik dan ini membawa kepada kemenangan pembangkang (dalam PRU 1969)," dakwa Yuen pada majlis "Cerita Tanah Airku" sempena sambutan Hari Malaysia anjuran Syarikat Telekom Malaysia Bhd.
Parti-parti pembangkang yang mengambil bahagian dalam PRU 1969 adalah DAP, Parti Progresif Rakyat (PPP), Gerakan dan PAS.
PPP dan Gerakan kini menjadi parti komponen BN.
Mengulas lanjut, Lim menyifatkan dakwaan Yuen itu sebagai bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku menjelang PRU 1969 berdasarkan pengalaman beliau sendiri dan kajian para sarjana.
"Saya tidak menafikan bahawa komunis, seperti juga Cawangan Khas, telah cuba untuk menyusup ke dalam barisan pembangkang, manakala DAP pula telah menjaga sebaik-baiknya parti ini agar tidak ditembusi oleh komunis atau Cawangan Khas.
"Bagaimanapun, Yuen membuat kesilapan besar apabila beliau menyebut komunis telah membantu pembangkang untuk menembusi kawasan-kawasan (pilihan raya) yang dipegang (dimenangi) oleh Perikatan dalam PRU 1969," jelas Lim.
Menurut ahli politik veteran itu, menjelang pilihan raya komunis telah menyeru rakyat supaya memboikot PRU 1969, manakala parti-parti pembangkang yang ikut-serta dalam pilihan raya tersebut telah dikecam puak komunis sebagai “juak” dan “boneka” Perikatan.
Ini kerana parti-pati pembangkang, ujar Lim tidak menyambut seruan komunis untuk menolak proses demokrasi dan mengadakan protes di jalanan bagi melakukan perubahan politik di luar garis perlembagaan.
"Komunis tidak membantu pembangkang, sebaliknya mereka mahu rakyat memboikot PRU 1969 dan mereka juga mahu pembangkang kalah teruk.
"Kerana itulah 44 tahun yang lalu, saya telah menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, iaitu pada 5 Ogos 1969 dari Pusat Tahanan Muar, ketika saya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), untuk meluahkan kebimbangan saya tentang masa depan Malaysia dan menggesa Tunku untuk memulakan usaha penyatuan dan perdamaian nasional," jelas Lim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu juga mempersoalkan asas yang dipakai Cawangan Khas untuk merumuskan bahawa pada tahun 1969 komunis telah membantu parti-parti pembangkang untuk memenangi sejumlah besar kerusi dalam pilihan raya, padahal komunis melakukan perkara yang sama sekali berlainan ketika itu dengan menyeru rakyat supaya memboikot pilihan raya umum.
"Di manakah 'sejumlah besar kerusi' yang didakwa telah dimenangi oleh DAP, Gerakan, PPP, dan PAS dalam pilihan raya umum 1969 dengan 'bantuan' komunis?" soal Kit Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan