Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 12 September 2013

Universiti Malaysia Perlu Suntikan Rohani

PAS berharap semua pihak yang berkaitan pembangunan pendidikan di negara ini meneroka kemampuan Islam dan peradabannya dalam melahirkan manusia yang berketrampilan dalam semua bidang, sekaligus mampu membangunkan tamadun yang memakmurkan negara.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata dalam tradisi ilmu Islam, kejayaan bukan sahaja pada segi produk yang bersifat benda, bahkan kejayaan membangunkan tamadun dunia dengan akhlak yang terpuji.

"Kita percaya bahawa tokoh-tokoh zaman seperti Imam al-Ghazali, Ibnu Sina, al Farobi dan lain-lainnya adalah lahir daripada institusi pendidikan yang hebat di bawah bimbingan mahaguru yang hebat. 
 
"Ketika barat masih dalam kegelapan, dunia Islam mempunyai universiti dan perpustakaan yang besar seperti yang terdapat di Darul Hikmah, Baghdad ketika  zaman khalifah al-Makmun Abbassiyah), juga di Mesir pada zaman Salahudin al-Ayubi," kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kemerosotan ranking universiti awam di Malaysia bagi 2013.

Tambah beliau, pihak kerajaan dan universiti-universiti hendaklah mengambil kira kelebihan yang ada pada universiti yang ada, dalam mencapai hasrat membangunkan sumber dan manusia, khususnya dalam konteks penyenaraian ranking universiti terbaik dunia.

Katanya, biarpun Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon mengatakan universiti di Malaysia belum bersedia bagi memasuki universiti terbaik dunia, syarat untuk disenaraikan di bawah QS adalah lebih terbuka dan lebih munasabah.

Katanya, kita seharusnya berusaha mencapai tahap kemajuan yang tinggi dalam bidang keilmuan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia bersesuaian dengan kelebihan yang ada di universiti awam negara.Justeru, katanya semua pihak perlu melihat kembali sejarah kegemilangan Islam dalam melahirkan ilmuan-ilmuan yang berketrampilan dalam pelbagai bidang seperti astronomi, kedoktoran dan juga saintis.

"Dalam mengejar ranking terbaik, kemajuan dalam bidang keilmuan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia itu perlu ditumpukan dengan menyuntik kembali nilai-nilai keilmuan Islam yang gemilang, yang mampu membentuk tamadun gemilang," tegas beliau lagi.Baru-baru ini, dalam kedudukan 'QS World University Rankings 2013/14', universiti terbaik di Malaysia iaitu UM jatuh 11 anak tangga dari kedudukan 156 pada 2012 kepada 167 pada tahun ini.

Selain UM, universiti lain ternyata masih jauh ketinggalan dan dilihat tidak berdaya saing dan maju untuk menempatkan diri dalam senarai universiti terbaik dunia.

Tiada ulasan: