Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menegaskan untuk kesekian
kalinya beliau bukan Syiah tetapi hanya membawa nilai-nilai baik dari
Iran untuk diamalkan di negara ini.
Mohamad berkata, beliau dan rakan-rakannya yang membawa konsep
kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam
PAS."Adakah kesemua mereka menjadi Syiah kerana saya membawanya dari
Iran.
Sudah tentu tidak," katanya dalam wawancara khasnya dengan The Malaysian Insider sambil bercerita, kurma dari Iran pun dilarang makan kerana takut dituduh Syiah.
Sudah tentu tidak," katanya dalam wawancara khasnya dengan The Malaysian Insider sambil bercerita, kurma dari Iran pun dilarang makan kerana takut dituduh Syiah.
Katanya, setiap dua tahun sekali iaitu menjelang muktamar yang ada
pemilihan dalam PAS, isu Syiah akan bergema. Kali ini bukan di kalangan
PAS sahaja, isu ini juga dimainkan juga oleh pemimpin kerajaan,
agensinya dan media yang dikawal mereka.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjadi salah satu sasaran mereka apabila isu ini dimainkan.
Isu Syiah menjadi sangat hangat apabila perang saudara meletus di Syria
dan Iran serta Hizbollah (gerakan Islam di Lubnan) menyokong kerajaan
Syria pimpinan Bashar Al-Assad.
Mohamad diserang apabila beliau melawat negara tersebut ketika meletusnya perang saudara di sana.
"Sebenarnya perang di sana adalah agenda perebutan kuasa dan tidak ada
kaitan dengan perang antara Sunnah dengan Syiah sebagaimana yang
digembar-gemburkan.
"Presiden PAS, Hadi Awang telah menjelaskan perkara ini," katanya kesal dengan apa yang berlaku.
Mohamad menceritakan kembali bagaimana beliau boleh tertarik dengan
perjuangan Islam di Iran yang dipimpin oleh Ayatullah Khomeine.
"Semasa saya belajar di ITM dulu, awal 1970-an, kampus ketika itu
dipengaruhi oleh Abim dan PKPIM. Idola kami adalah gerakan Ikhwanul
Muslimin di Mesir pimpinan Hassan Al-Banna dan Syed Qutb.
"Apabila dunia dikejutkan dengan revolusi Iran pada 1978, saya yang
berada dalam Pemuda PAS ketika itu dipimpin Mustafa Ali (sekarang Datuk)
dan Haji Subky Latif selaku setiausaha, kami pergi ke sana," katanya.
"Apabila kita melawat Iran di awal revolusi, kami melihat kehebatan
ulamanya apabila mereka bercakap hal revolusi dan perjuangan. Kami rasa
kagum dengan ketrampilan mereka kerana selama ini di Malaysia, ulama
hanya tukang baca doa dan seumpamanya saja," katanya.
Dari situ, apabila pulang, Mohamad dan rakan-rakannya membawa konsep kepimpinan ulama yang diamalkan dalam PAS sekarang.
"Kami bawa usul kepimpinan ulama ini dalam Muktamar Pemuda 1982 di Bukit
Mertajam. Selepas diluluskan kami bawa ke Muktamar Pusat dan diluluskan
dalam Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun itu.
"Pada 1983, usul ini dibawa ke dalam Perlembagaan PAS, maka terbentuklah
Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS sekarang," katanya.
Sebab itu, katanya, konsep kepimpinan ulama ini bukan datangnya dari
Mesir atau Turki, tetapi datangnya dari Iran, kata Mohamad yang cuba
mengaitkan ramai pemimpin PAS yang terpengaruh dengan gerakan Islam di
Mesir (Ikhwanul Muslimin) dan Turki (AKP pimpinan Tayyib Erdogan dan
Saadet pimpinan Necmetin Erbakan).
Mohamad mengimbau kembali bagaimana beliau diseretkan dengan Syiah.
"Orang tuduh saya Syiah kerana saya kagum dengan perjuangan Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah, Lubnan.
"Saya suka dia kerana, bila dia bercakap soal perjuangan, anaknya mati
di medan perang melawan Israel ketika umurnya 17 tahun, rumah kena bom
hancur berkecai.
"Bila dia cakap Islam dalam keadaan dagang, dia sendiri dagang bila
terpaksa bersembunyi ke sana kemari daripada pengeboman dan pembunuhan
oleh agen Isreal.
"Maka orang seperti Hasan Nasralah datanglah penghormatan kepadanya dari
penyanyi, pemain bola, orang awam, orang Kristian bahkan orang tiada
agama menerima kepimpinan Hassan Nasrallah sehingga kain jubahnya itu
diambil dan dipakai oleh anak-anak muda dan artis kononnya nak ambil
keberkatan... inilah contoh kepimpinan yang saya terima," katanya.
Katanya, kefahaman beliau dan rakan-rakannya ketika itu, kepimpinan
ulama ini bukan bermakna semua jawatan dalam PAS mesti dipimpin ulama.
"Kefahaman kita, presiden dan ke bawah boleh di isi sesiapa saja yang
layak dan mampu tetapi Majlis Syura Ulama hendaklah di isi oleh orang
yang ada latar belakang pendidikan agama secara formal.
"Ini kefahaman kami ketika meletak Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam parti," katanya.
Bagi beliau, pada peringkat awal konsep ini diamalkan, gandingan yang
baik berlaku antara Yusof Rawa dengan Datuk Fadzil Noor dan Datuk Fadzil
dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebetulan semuanya dari aliran
agama.
"Bagi saya siapa saja boleh pegang presiden dan lain-lain jawatan. Kalau
ulama yang mahu memegang jawatan itu, bukan melalui title atau
bertenggek atas nama ulama saja, mesti memenuhi syarat kepimpinan,"
katanya.
Katanya, beliau menerima orang seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk
Fadzil Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi untuk memimpin PAS kerana
kelebihan yang mereka ada.
"Mereka ada kelemahan tetapi kelebihan yang ada pada mereka mengatasi
semua yang lain, maka orang seperti itu layak untuk memimpin," katanya.
Beliau berkata, apabila dia dan rakan-rakannya melawat Iran selepas
revolusi Iran pada 1978, mereka tertarik dengan gerakan sukarela di sana
yang dinamakan Jihad Sizendagi.
Kumpulan inilah yang berjaya membawa keluar rakyat Iran dari buta huruf
yang tinggi di samping masalah bekalan elektrik luar bandar yang rendah.
"Bila kita balik, kami ambil semangat itu maka tertubuhlah Unit Amal,
bahkan lagu Unit Amal adalah inspirasi dari lagu itu yang dinyanyikan
oleh anak muda di sana," katanya yang menjelaskan dari manakah asal usul
Unit Amal, badan kebajikan dan kawalan yang sangat berpengaruh dalam
PAS sekarang.
Katanya, langkah ini diambil sesuai dengan konsep hikmah dalam Islam
iaitu hikmah itu benda yang tercicir dan jika diambil ia akan menjadi
hak orang yang mengamalkannya.
"Kita tidak pun menyeru orang mengambil syiahnya tetapi mengambil
sistem, cara dan bagaimana mereka boleh gerakkan rakyat menumbangkan
satu regim yang zalim," katanya.
Beliau berkata, kunjungannya ke Syria dua tahun lalu dimainkan daripada perspektif mazhab terutama menjelang muktamar kali ini.
"Tahun ini lebih dahsyat bila saya kunjungi Syria sebelum ini. Yang saya
jumpa semuanya ahli Sunnah wal Jamaah. Muftinya, Dr Said Ramadhan
Albutti, Menteri Wakaf, Menteri Perpaduan... semuanya sunnah...
sebenarnya di sana tidak timbul isu Sunni dan Syiah ni, ia adalah
pertarungan merebut kuasa," katanya. ~the malaysian insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan